Wan Ahmad bin Muhammad Zain

ulama dari Patani

Syeikh Ahmad al-Fathani (1856 - 1908) atau lebih dikenali sebagai Syeikh Wan Ahmad Patani merupakan salah seorang tokoh ulamak di nusantara yang terkemuka.

Nama sebenarnya ialah Wan Ahmad bin Muhammad Zain atau gelarannya Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggungjawab dalam mengembangkan syiar Islam di nusantara.

Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Mereka yang bertaraf ulamak biasanya pernah melanjutkan pengajian ke Semenanjung Arab seperti di Mekah, atau Universiti Al-Azhar. Di sana mereka juga terdedah kepada kebudayaan Parsi, Rom dan Turki sebagaimana yang dapat dikesan dalam sastera golongan istana seperti Hikayat Amir Hamzah, dan juga oleh kebudayaan China seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, dan Syair Siti Zubaidah.

Pengetahuan agama dan politik dunia ini menjadikan mereka seseorang yang berpengaruh sekembalinya mereka ke nusantara ketika itu.

Dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada 10 April 1856 dengan nama Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin, beliau disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek merangkumi dunia dan akhirat. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, budaya dan pentadbiran.

Wan Ahmad al-Fathani mempunyai sejarah berliku dan mencabar dalam usahanya untuk menuntut ilmu dan menyebarkannya kepada masyarakat. Pada peringkat awal, beliau dibimbing oleh bapanya sendiri, Wan Muhammad Zain al-Fatani dan kemudian berguru dengan bapa saudaranya, Syeikh Wan Abdul Kadir Wan Mustafa.

Pada usia empat tahun, beliau berhijrah ke Makkah kerana mengikuti ibu bapanya ke sana untuk mencari ilmu agama. Justeru, beliau dibesarkan dalam budaya menuntut ilmu.

Di Makkah, beliau berkesempatan bergaul dengan ramai alim ulama. Kecerdasan otaknya terserlah pada usia yang muda iaitu 12 tahun. Dari Makkah, beliau ke Baitulmaqdis untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran dan seterusnya ke Mesir.

Ketika di Baitulmaqdis dan Mesir, beliau mula mengarang kitab. Pada usia yang masih belum mencecah 30 tahun, ilmu pengetahuannya telah begitu tinggi hingga tiada guru yang sanggup mengambilnya sebagai anak murid. Kepakarannya dalam bahasa Arab menarik minat Raja Makkah ketika itu lalu beliau dilantik sebagai ahli bahasa kerajaan.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Syeikh Nik Mat Kecik iaitu Siti Saudah Wan Abdullah dan dikurniakan tiga cahaya mata, Wan Ismail Qadhi, Wan Fatimah dan Wan Zainab.

Wan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada malam Rabu, 11 Zulhijjah 1325 bersamaan 14 Januari 1908. Tahun tersebut genap 100 tahun beliau meninggal dunia mengikut takwim Islam.

Pengkaji sejarah ulama Nusantara, Wan Mohd Shaghir Abdullah, berkata:

"Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai pengaruh besar dalam penggalian dan penyebaran pelbagai disiplin ilmu di Nusantara, khususnya ‘Alam Melayu’."

Katanya, hal itu tidak menghairankan kerana beliau suatu ketika dulu pernah berada pada tahap nombor dua terpenting di Makkah selepas ulama Arab.

"Mereka paling ramai mengajar di Masjidil Haram dan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak terkecuali daripada senarai itu."

“Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai kehebatan tersendiri. Contohnya, beliau pernah dipilih oleh ulama Makkah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian khilafiah antara Syeikh Muhamad Abduh dengan Syeikh Yusuf Nabhani di Beirut,” katanya.

Syeikh Ahmad al-Fathani hidup dalam masa peralihan antara zaman klasik dengan moden.

Beliau mengajar belajar dan bergaul dengan ulama tradisional dan sempat pula hidup dalam awal dunia moden, bergaul dan berdialog atau bertukar-tukar fikiran dengan tokoh reformasi (tajdid) dunia Islam.

Wan Mohd Shaghir, cucu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, yang juga tokoh ilmuwan dalam dunia manuksrip klasik Melayu, berkata datuknya menguasai 47 bidang ilmu pengetahuan.

Katanya, antaranya adalah pemikiran dan penulisan mengenai Islam serta Melayu; penerbitan kitab dan percetakan serta politik dan pentadbiran.

Selain itu, katanya, beliau terbabit dalam pemikiran ekonomi, sains, teknologi, pendidikan, perubatan, kemasyarakatan, sejarah, geografi, sosiologi, ilmu khat, ilustrasi dan pertanian.

“Perjuangan dan keilmuan serta pemikiran datuknya bersifat kepentingan umat Islam sejagat, terutama dunia Melayu,” katanya dalam pertemuan di pejabat Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara, Taman Melewar, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Wan Mohd Shaghir menghabiskan keseluruhan usia hidupnya untuk mencari dan membongkar teks klasik tulisan ulama alam Melayu. Usahanya membongkar, memelihara dan menyimpan, malah menulis semula pemikiran dalam kitab itu bagi manfaat generasi hari ini.

Wan Mohd Shaghir berkata, ulama besar ini mempunyai tujuh jenis ilmu antara yang menakjubkan adalah ilmu membedah tubuh manusia (perubatan), menghasilkan emas 24 karat menggunakan bahan campuran yang bukan daripada emas (kimia) dan memperkenalkan tempat menyemai tanaman (pertanian).

Syeikh Ahmad al-Fathani juga seorang ahli fikir yang hebat dari segi politik, pemerintahan dan pentadbiran negara. Pemikirannya dalam bidang ini terserlah melalui harapan dan wasiat yang ditulisnya untuk raja Melayu kerajaan Patani, Kelantan, Terengganu, Johor dan Deli.

Antara kandungannya adalah meminta raja mengukuhkan perbendaharaan ilmu, pertandingan kepandaian dan membuka mata masyarakat untuk memandang kepada kebijaksanaan.

Tujuannya supaya bangsa Melayu menjadi bangsa paling megah dalam dunia. Begitu juga paling tinggi nama antara semua anak Adam. Ia juga untuk menjadikan ulama Melayu mampu mengatasi ulama bangsa lain di dunia serta Islam menjadi agama yang semakin nyata dan mampu mengalahkan semua agama lain.

Begitulah betapa tingginya harapan sang ulama agung.

Pautan luar sunting


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.