Wan Mokhtar Ahmad

ahli politik Malaysia

Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Wan Ahmad (21 Mac 1932 – 21 September 2020) merupakan mantan Menteri Besar Terengganu dari tahun 1974 hingga 1999. Beliau juga merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 2000 hingga 2005.

Yang Berbahagia Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji

Wan Mokhtar Wan Ahmad

PSM; SSMT, SPMT (Terengganu); DA (Sarawak); DPMJ (Johor); KMN; JP, PJK (Terengganu)
Menteri Besar Terengganu
Dalam jawatan
1 September 1974 – 29 November 1999
Didahului olehNik Hassan bin Wan Abdul Rahman
Digantikan olehAbdul Hadi Awang
Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu
untuk Chukai
Dalam jawatan
1974–1999
Didahului olehTeh Hassan
Digantikan olehAwang Jusoh
Majoriti1,435
Butiran peribadi
Lahir(1932-03-21)21 Mac 1932
Terengganu Kampung Nesan Empat, Kuala Terengganu
Meninggal dunia21 September 2020(2020-09-21) (umur 88)
Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor
Parti politik Barisan Nasional
UMNO
PasanganPuan Sri Aishahtun Mohd Fadlullah Suhaimi (m. 2018)
Anak-anak5
PekerjaanGuru, Ahli politik

Kehidupan awal sunting

Wan Mokhtar merupakan anak kepada Wan Ahmad bin Wan Abdul Hamid (berasal dari Kampung Daik), seorang peniaga runcit dan kain songket di Pasar Payang, Kuala Terengganu. Wan Ahmad berasal daripada Patani dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ulama-ulama Patani seperti Syeikh Wan Abdul Qadir Bukit Bayas, Tok Syeikh Duyung, Syeikh Nik Mat Kecik al Fathani dan lain-lain.

Ibunya, Fatimah Mohamad, yang berasal dari Kampung Nesan Empat meninggal dunia ketika Wan Mokhtar berusia 5 tahun. Selepas itu Wan Ahmad mengahwini adik iparnya sendiri, Wok Khatijah (iaitu emak saudara Wan Mokhtar, meninggal pada tahun 2012 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, Wan Mokhtar sejak kecil dipelihara oleh neneknya, Wan Mandak di Kampung Daik.

Bersama Wok Khatijah, Wan Mokhtar mempunyai 3 orang adik iaitu Wan Asiah (menetap di Kuala Lumpur, exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan balu kepada bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Wan Abdul Kadir), Wan Latifah (menetap di Dungun, Terengganu) dan Wan Zaki. Seperti Wan Mokhtar, Wan Asiah juga dipelihara oleh neneknya, Wan Mandak. Oleh itu, Wan Mokhtar lebih rapat dan mesra dengan Wan Asiah berbanding adik-adik yang lain.

Pendidikan sunting

Beliau telah mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Melayu di Kuala Terengganu dan kemudiannya telah melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Arab Zainal Abidin Kuala Terengganu. Menurut salah satu bekas gurunya, Sheikh Mahmud Bakar Rafie, beliau adalah seorang pelajar yang cerdas dan aktif dalam bidang penulisan. Beliau pernah menghasilkan beberapa artikel dan terjemahan.

Beliau juga rajin berulang alik ke Kampung Duyung untuk belajar Bahasa Arab dengan guru beliau, Ustaz Wan Yaakob (keturunan ke-4 Tok Syeikh Duyung yang merupakan bapa kepada Dato' Indera Guru Haji Wan Abdul Manan, bekas Mufti Negeri Terengganu).

Berbekalkan cita-cita untuk mendalami ilmu, beliau telah meninggalkan negeri untuk melanjutkan pelajaran di Anglo Chinese Afternoon School, Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau telah dianugerahkan hadiah biasiswa kerajaan negeri untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Mesir, bersama-sama dengan sahabat beliau (Dato' Engku Pangeran Diraja) Engku Alwi bin Engku Ambak Al Aidrus yang kemudiannya menjadi Mufti Negeri Terengganu.


Beliau merupakan kumpulan pelajar terawal kelulusan Sekolah Sultan Zainal Abidin yang diterima masuk ke Universiti itu. Semasa menuntut di Al-Azhar, beliau turut terlibat secara aktif dan memimpin Persatuan Melayu Republik Arab Mesir.

Kerjaya sunting

Setelah tamat pengajiannya di Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun 1963 dan memperolehi Ijazah Sarjana (M.A.), Tan Sri Haji Wan Mokhtar kembali ke tanahair dan seterusnya bertugas sebagai seorang guru dan mengajar di Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk. Beliau mengajar Bahasa Arab, Hadis dan Pengajian Islam. Disebabkan sekolah itu melahirkan tokoh-tokoh politik Terengganu seperti Tan Sri Ibrahim Fikri, Datuk Wan Abdul Kadir Wan Ismail, maka dengan sendirinya Wan Mokhtar turut terseret ke kancah politik.

Dalam tahun 1964 pula, beliau dipilih untuk bertanding di dalam pilihan raya umum di atas tiket Parti Perikatan bagi kawasan Parlimen Kemaman dan telah mendapat kejayaan yang cemerlang. Pada tahun 1969, beliau telah dipilih semula bagi kawasan yang sama. Kemudian dalam pilihan raya 1974, beliau telah bertanding dan menang di Dewan Undangan Negeri Kawasan Chukai. Pada 1 September 1974 beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dalam pilihan raya-pilihan raya umum yang berikutnya, beliau telah berjaya mengekalkan kerusinya dan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu selama enam penggal. Kemudian pada pada pilihan raya yang kesepuluh pada 29 November 1999, beliau tewas kepada calon PAS, Haji Awang bin Jusoh dengan majoriti 436 undi iaitu di kawasan Chukai, Terengganu. Beliau mendapat 6,128 undi manakala lawannya mendapat 6,564 undi. Beliau kemudian dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi pada 1 November 2000 hingga Julai 2005.

Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad juga merupakan salah seorang pemimpin UMNO di peringkat tertinggi, iaitu pernah terpilih sebagai Naib Presiden UMNO. Beliau mendapat undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada 1987. Beliau juga diberi kepercayaan mempengerusikan Biro Agama UMNO, Ahli Jawatankuasa Disiplin UMNO dan Ahli Jawatankuasa Barisan Nasional Pusat. Beliau masih menjadi Ketua UMNO cawangan Chukai, Bekas Ketua Umno Bahagian Kemaman, Bekas Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Ketua Barisan Nasional bahagian Kemaman dan Ketua Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu.

Beliau bukan sahaja terkenal sebagai tokoh politik veteran dalam UMNO, tetapi juga sebagai seorang tokoh ulama terkenal berkelulusan Universiti Al-Azhar Mesir.

Sebagai ketua pentadbir yang berpendidikan agama beliau banyak membuat pembaharuan dan mewujudkan projek-projek yang berlandaskan kepada penerapan nilai-nilai Islam. Dato' Seri Haji Wan Mokhtar telah mempopularkan tulisan Jawi dengan mengarahkan jabatan-jabatan kerajaan negeri menggunakan tulisan Jawi di papan-papan tanda dan juga di kepala-kepala surat rasmi jabatan kerajaan. Beberapa buah institusi juga ditubuhkan antaranya Kolej Agama Sultan Zainal Abidin di Gong Badak Kuala Terengganu yang merupakan sebuah kolej untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berpengetahuan agama Islam yang sebenar.

Di antara kurnia-kurniaan gelaran, darjah-darjah dan bintang-bintang kebesaran yang di perolehi oleh Yang Amat Berhormat ialah:-

Dato' Seri Amar Di Raja ., S.S.M.T ., P.S.M ., S.P.M.T ., D.A., D.P.M.J ., K.M.N ., J.P ., P.J.K.

Keluarga sunting

Dato' Seri Amar DiRaja Tan Sri Dato' Seri Haji Wan Mokhtar telah berkahwin dengan Puan Sri Dato' To' Puan Seri Hajjah Aishahtun binti Mohd Fadhlullah as-Suhaimi (1937–2018) dan mereka dikurnai lima orang anak.

Di antara hobi beliau ialah bermain ping pong, beriadah dan menulis.

Meninggal dunia sunting

Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada 6.20 pagi, 21 September 2020. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun. Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, Selangor.[1]

Rujukan sunting

Bahan Rujukan: ( Koleksi Terengganu PPAT )

  • Wan Mokhtar: Pemimpin Empat Zaman / oleh Zabidi
    Haji Saidi ; Kemaman, Terengganu: Busara Teguh , 1994
  • Sekali Penyu Menyusur Pantai / diselenggarakan oleh Shariff Putera
    Kuala Terengganu: J/Kuasa Kemajuan & Penerangan Agama Negeri, 1995


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Terengganu
September 1974 - November 1999
Penyandang Kemudian
Nik Hassan bin Wan Abdul Rahman Abdul Hadi bin Awang