Asal usul Wan Nawang sunting

Wan Nawang atau nama sebenarnya adalah Wan Awang, tidak diketahui asal usul sejarah nenek moyangnya namun mempunyai susur galur generasi bawahan yang cukup lengkap sehingga ke hari ini. Wan Nawang ini dikatakan anak kepada Wan Mayu, anak perempuan bagi Raja Pah Pauh Panji, gelaran bagi nama tempat yang ada bersebelahan Kota Jembal. Ayahandanya Raja Pah, yang awalnya menetap di Kota Pauh Panji atau kini dikenali sebagai Kampung Pauh Panji kemudiannya membuka pekan di Peringat. Wan Nawang turut mempunyai adik yang dikatakan bernama Wan Su, yang kemudiannya berpindah ke Pattani.

Tidak diketahui sejarah pendidikan namun dikatakan sangat mahir menempa emas. Beliau yang menetap di Kampung Bechah Mulong merupakan orang terawal yang membuka Jajahan Peringat memiliki keluasan tanah yang sangat luas. Beliau juga antara orang yang membuka Pekan Bechah Mulong yang wujud pada akhir 1910-an sehingga 1955 yang menjadikan Bechah Mulong sebagai pekan yang sangat sibuk. Dikatakan sebahagian tanah ini dihadiahkan kepada para pengikut Raja Pah yang merupakan nenda kepada Wan Nawang bagi menetap dan bermukim sebagai tanda penghargaan di atas taat setia mereka.

Generasi pertama sunting

Wan Nawang ini memiliki enam anak yang bernama:

  • Wan Sulong
  • Wan Klimah
  • Wan Yoh
  • Wan Minah
  • Wan Esoh
  • Wan Moh

Sehingga kini, sudah lapan generasi telah dikesan dari keluarga besar Wan Nawang ini yang kebanyakannya mengamalkan perkahwinan campur yang menyebabkan generasi seterusnya tidak dapat direkodkan secara terperinci. Dianggarkan jumlah ahli keluarga besar keluarga Wan Nawang adalah melebihi 12,000 orang. Kerabat Wan Nawang ini mudah dikenali, apabila si ayah akan menamakan anak seperti nama ayahnya (nama datuk dan cucu adalah sama). Nama yang paling banyak dikesan di dalam susur galur salasilah ini adalah Wan Awang, merujuk kembali kepada asal keturunan Raja Pah yang merujuk kepada gelaran nama kerabat Kesultanan Pattani yang berada di Tanah Melayu sebagai Wan.

Awang merujuk kepada anak lelaki yang berdikari, meninggalkan tanah air demi memastikan kelangsungan hidup keluarga yang tercinta. Panggilan ini diguna pakai di Pattani dan Tanah Melayu, seperti mana penggunaan nama Long merujuk kepada anak lelaki Sulong bagi sesebuah keluarga beraja.

Pantang Larang Wan Nawang sunting

Seperti mana pantang larang kepada keturunan Long Yunus, sebahagian besar kerabat Wan Nawang yang mempunyai peredaran darah kerabat Long Yunus melalui perkahwinan sepupu atau sedara dekat dikatakan perlu menjauhi perkara berikut:

  • Buluh Betong
    • Menggunakan atau memakan apa-apa bahagian daripada hasil buluh betong.
  • Rotan
    • Menggunakan atau membuat apa-apa bahagian yang dihasilkan daripada rotan.


Sekiranya darah yang mengalir daripada kerabat Wan Nawang adalah dari keturunan yang asli, akan berlaku kegatalan seperti alergik pada kulit atau berlaku bisa-bisa / lenguh pada badan sekiranya menggunakan, memakan atau tidur pada benda yang dibuat daripada buluh betong mahupun rotan. Ikan kekacang juga perlu dijauhi kerana turut dikatakan mempunyai perjanjian keturunan oleh keturunan Raja Pah yang dikatakan merupakan keturunan daripada Tengku Mahmood Mahyideen yang merupakan keturunan daripada Long Yunus, Raja Kelantan pertama pada era 1760-an. Walau bagaimanapun, pantang larang ini dianggap hanya mitos. Namun sebahagian besar kerabat Long Yunus masih berpegang kepada pantang larang ini sehingga ke hari ini.

Himpunan Keluarga Wan Nawang sunting

Sekitar tahun 2012, buat julung kali pertemuan keluarga besar Wan Nawang diadakan di Kampung Bechah Mulong bagi meraikan dan mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan pada hari raya ke-3 dengan menyaksikan kehadiran lebih 5,000 ahli kerabat berjaya dipertemukan. 20 khemah telah didirikan dan 3 ekor lembu direbahkan bagi meraikan pertemuan hari besar keluarga Wan Nawang ini yang ditaja oleh cucunda generasi ke-5 Wan Ismail, anakanda kepada Wan Jusoh. Dianggarkan kehadiran ini hanya merupakan separuh daripada jumlah sebenar bagi kerabat Tok Wan Nawang.

Bangsawan Misteri sunting

Nenda Wan Nawang, Raja Pah atau Wan Awang ada disebut di dalam sejarah Tengku Mahmood Mahyideen yang dikatakan sebagai putera kedua Tengku Abdul Kadir Kamaruddin yang merupakan Kerajaan Melayu Pattani terakhir daripada keturunan Raja Muda Long Ismail ibni DYTM Long Yunus. Wan Nawang merupakan keturunan Wan yang kedua selepas ibunya Wan Mayu yang tinggal di Peringat, lokasi kedua Tengku Mahmood dikatakan mengembara selepas Kota Pauh Panji bagi melarikan diri daripada buruan Siam dan British kerana memperjuangkan penyatuan melayu Pattani dan Tanah Melayu pada 1949 daripada kekuasaan Siam.

Kerabat Wan Nawang adalah satu-satunya keturunan bangsawan yang memelihara berbelas ekor gajah dan memiliki emas yang banyak di Jajahan Peringat. Keturunan ini mempunyai perkaitan bukti sejarah yang rapat dengan socio ekonomi kesultanan Melayu Pattani dari segi pemilikan harta dan jajahan taklukan yang mirip sebuah kerajaan atau kesultanan terdahulu. Generasi Wan Nawang ini masih mempunyai kerabat di Pattani dan wilayah sekitarnya walaupun sebahagian sejarah generasi dirahsiakan di atas faktor tertentu.