Wau daun

(Dilencongkan dari Wau barat)

Wau daun atau juga dikenali sebagai wau barat atau wau pagi merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.

Wau Daun.

Wau daun menyerupai bentuk wau bulan tetapi adalah lebih lebar dan ringan. Wau daun turut memiliki corak-corak yang menarik, tetapi corak-corak tersebut adalah dilukis dan tidak menggunakan teknik sobek ("potong dan tampal"), sebagaimana wau-wau yang lain. Ia juga satu-satunya wau tradisional yang tidak memiliki pedengung.

Oleh kerana corak-corak tersebut hanya dilukis pada badan wau, dan bukannya ditampal, ia mampu terbang tinggi walaupun semasa pada waktu angin bertiup dengan perlahan, seperti ketika pada waktu pagi. Oleh itu, ia juga dikenali sebagai wau pagi. Selain itu lukisan pada badan wau sering kali menggunakan teknik batik; malah ia sering kali dilukis oleh pelukis batik, dan bukannya pembuat wau.

Selain itu, bentuk dan rupa wau daun adalah lebih dinamik dan cepat berubah, sering kali ia memaparkan reka bentuk asli dan unik yang mulai diterima pakai dalam pertandingan-pertandingan. Antara puncanya adalah corak-corak tersebut dilukis oleh ahli seni dalam bidang lain dan juga oleh kerana ia dilukis, adalah lebih mudah mencipta corak-corak baru berbanding teknik sobek potong dan tampal.

Pautan luar sunting