Wazir (Brunei)

golongan pembesar diraja Brunei

Wazir merupakan salah satu golongan pembesar diraja di Brunei, yang mana kedudukannya adalah tertinggi dalam susunan pembesar diraja selepas Sultan. Dalam sejarah Brunei, khususnya dalam era sebelum kedatangan dan seterusnya di bawah naungan British, wazir telah berperanan sebagai individu kanan Sultan dalam pentadbiran kerajaan ketika itu.

Wazir terdiri daripada seorang Kepala Wazir, iaitu Perdana Wazir, sebagai ketua wazir, dan empat orang Wazir Empat di bawahnya, iaitu Bendahara, Di-Gadong, Pemancha dan Temenggong.

Sejarah sunting

Kedudukan wazir telah wujud di Brunei sebagai jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan Sultan sejak beberapa kurun. Pada zaman pemerintahan Sultan-Sultan Brunei terawal, wazir hanya terdiri daripada Bendahara dan Temenggong.[1][2] Pemancha dan Di-Gadong mula diperkenalkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Hasan di penghujung abad ke-16 Masihi.[1][2] Perdana Wazir adalah secara relatif diperkenalkan baru-baru ini, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Brunei sekarang, Sultan Hassanal Bolkiah.[2]

Terasul sunting

Gelaran sunting

Pada asasnya gelaran bagi Kepala Wazir adalah 'Perdana Wazir' dan bagi Wazir Empat 'Bendahara', 'Di-Gadong', 'Pemancha' dan 'Temenggong'. Walau bagaimanapun, memandangkan wazir-wazir biasanya dipilih daripada golongan Pengiran, khususnya kerabat diraja dan Pengiran Bertaras, gelaran tersebut sentiasa didahului oleh 'Pengiran'. Juga, gelaran wazir telah dipanjangkan dengan ditambah beberapa perkataan selepas gelaran asas. Tetapi, perkataan-perkatan tambahan ini hanya akan digunakan semasa penyandang masih hidup. Gelaran penuh wazir-wazir adalah seperti berikut:[3][4][5]

  • Kepala Wazir:
    • Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar
  • Wazir Empat:
    • Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara
    • Pengiran Di-Gadong Sahibul Mal
    • Pengiran Pemancha Sahibul Rae' Wal-Mashuarah
    • Pengiran Temenggong Sahibul Bahar

Rujukan kehormat sunting

Individu yang dipilih menjadi wazir mempunyai rujukan hormat tertentu yang mana dalam hal surat-menyurat ianya mendahului gelaran dan nama wazir tersebut. Rujukan kehormat bagi wazir ditentukan sama ada wazir tersebut merupakan putera Sultan yang gahara (bondanya berketurunan darah diraja) atau tidak. Bagi wazir yang merupakan putera Sultan yang gahara, ianya adalah 'Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri', manakala selain daripada itu, ianya dirujuk dengan 'Yang Teramat Mulia Seri Paduka'.[3] Bandingkan dua contoh berikut:


"Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien" - Wazir dari 1979 hingga sekarang.


"Yang Teramat Mulia Seri Paduka Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Hashim ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman" - Wazir dari 1952 hingga 1977.


Pengurniaan sunting

Mengikut Bab 2 (1) Pemasyhuran Mengangkat dan Melantik Pemangku Raja 1959, wazir hanya dipilih daripada golongan kerabat Diraja Bertaras, iaitu mana-mana putera kerabat diraja yang gahara.[6] Walau bagaimanapun, gelaran wazir boleh juga dikurniakan kepada Pengiran-Pengiran Kebanyakan, atas perkenan Sultan. Perlantikan seseorang menjadi wazir serta pengurniaan gelaran yang berkaitan dilaksanakan dalam suatu upacara yang dipanggil 'mengarak'.[2]

Pada masa ini, hanya tiga sahaja kedudukan wazir yang sedang diisi, iaitu Perdana Wazir, Bendahara, dan Di-Gadong. Mereka terdiri daripada kerabat diraja Brunei, iaitu khususnya saudara lelaki dan sepupu lelaki Sultan Hassanal Bolkiah sendiri.

Wazir Penyandang sekarang dengan terasul Penyandang sebelumnya
Perdana Wazir Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien (diarak menjadi Pengiran Perdana Wazir pada tahun 1970)[7] (gelaran baru)
Bendahara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien (diarak menjadi Pengiran Bendahara pada tahun 1979)[7] Yang Teramat Mulia Seri Paduka Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Hashim ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman (1907-1998; diarak menjadi Pengiran Bendahara pada tahun 1952, bersara dari tugas pada tahun 1977)
Di-Gadong Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Di-Gadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien (diarak menjadi Pengiran Di-Gadong pada tahun 1979)[7] Yang Teramat Mulia Seri Paduka Pengiran Di-Gadong Sahibul Mal Pengiran Anak Haji Khamis ibni Al-Marhum Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1899/ 1900-1980; diarak menjadi Pengiran Di-Gadong pada tahun 1971, bersara dari tugas pada tahun 1975)
Pemancha (kosong) Yang Teramat Mulia Seri Paduka Pengiran Pemancha Sahibul Rae' Wal-Mashuarah Pengiran Anak Haji Mohamed Alam ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman (1918-1982; diarak menjadi Pengiran Pemancha pada tahun 1951)
Temenggong (kosong) Yang Teramat Mulia Seri Paduka Pengiran Temenggong Sahibul Bahar Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Abdul Rahman Piut (1906-1976; diarak menjadi Pengiran Temenggong pada tahun 1971)

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b Al-Sufri, Mohd. Jamil (1997). Tarsilah Brunei: Zaman Kegemilangan dan Kemasyhuran. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah Brunei. m/s. 109.
  2. ^ a b c d Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 19. ISBN 9991734228.
  3. ^ a b Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 10–11. ISBN 9991734228.
  4. ^ Melayu Islam Beraja Menengah II. Jabatan Perkembangan Kurikulum. 1998. m/s. 185. ISBN 9991722394.
  5. ^ "Wazirs and Cheterias". www.bruneiresources.com (dalam bahasa Inggeris). 2012-05-28. Dicapai pada 2018-01-27. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  6. ^ Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 14. ISBN 9991734228.
  7. ^ a b c "Wazir dan Cheteria" (PDF). www.adat-istiadat.gov.bn. Dicapai pada 2018-01-27. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)