Wikipedia:Manual gaya penulisan (Jawi)

(Dilencongkan dari Wikipedia:JWI)

Tulisan Jawi adalah sinonim dengan bahasa Melayu dan Wikipedia Bahasa Melayu tidak menghalang penggunaan Jawi di dalam rencana. Walau bagaimanapun, setiap rencana yang ingin memasukkan tulisan Jawi hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Wikipedia Bahasa Melayu.

Pengguna Wikipedia Bahasa Melayu adalah digalakkan, tetapi tidak dipaksa, untuk menggunakan tulisan Jawi di platform ini. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak pasti tentang ejaan untuk sesuatu perkataan, lakukan semakan terlebih dahulu dan jangan letakkan di dalam rencana. Pengguna juga boleh mewujudkan perbincangan di laman perbincangan rencana untuk membincangkan ejaan Jawi yang terbaik dan disokong ramai untuk sesetengah perkataan yang mungkin rumit atau asing.

Ejaan Rumi bahasa Melayu adalah lebih piawai mengikut abjad (vokal dan konsosnan) dan suku kata seperti yang telah ditetapkan oleh badan-badan pelaras bahasa seperti DBP. Berbeza dengan standard ejaan Rumi, ejaan Jawi adalah bergantung kepada bunyi sesuatu perkataan dan versi ejaan juga berbeza sama ada ejaan baharu (yang banyak menggunakan huruf vokal, ا, و, ي) atau ejaan lama (lebih penekanan kepada huruf konsonan). Walau bagaimanapun, penggunaan mesin untuk mentrasliterasikan Rumi ke Jawi haruslah digunakan secara berhati-hati memandangkan bahasa Melayu mempunyai banyak perkataan pinjaman dan serapan bahasa Arab yang ejaannya masih dan patut dikekalkan, sebagai contoh:

Sari kata
Rumi Jawi Salah
Rakyat رعيت ركيت
Imsak امساك امساق
Rujukan روجوعن روجوكن


Penggunaan bentuk huruf

Huruf-huruf Jawi adalah berasal dari huruf hijaiyah yang diasimilasikan dalam bahasa Melayu. Teknologi perisian yang telah maju juga mampu menaip dan mencetak setiap huru Jawi. Maka, bagi tujuan keseragaman penggunaan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu, Pengguna diingatkan bahawa penggunaan huruf-huruf Jawi tidak boleh lagi digantikan dengan huruf Arab, sebagai contoh bunyi "P/p" hendaklah menggunakan huruf "ڤ" dan bukan huruf "ف" kerana huruf tersebut mempunyai bunyi "F/f", "ۏ" untuk "V/v", dan seterusnya.

Huruf yang mempunyai bunyi "K/k" dan "G/g" pula, Pengguna digalakkan untuk menyelaraskan pengunaan bentuk dengan menggunakan "ک" dan "ݢ" berbanding "ك" dan "ڬ" apabila menggunakan Jawi walaupun kedua-dua bentuk huruf itu boleh ditukar ganti. Walau bagaimanapun, panduan ini tidak terpakai kepada perkataan yang memang berasal dari bahasa asing, contohnya bahasa Arab seperti امساك.

Penggunaan dalam perenggan

Tulisan Jawi diletakkan pada ayat pengenalan (bersebelahan dengan kata tajuk) untuk memperkenalkan tajuk rencana dalam bahasa Jawi. Tajuk jawi hendaklah diletakkan di dalam kurungan, dipekatkan tulisannya (kerana ia kata tajuk) dan diletakkan label "Jawi:" untuk membezakan tulisan ini dengan versi bahasa Arab, sekiranya ada. Walau bagaimanapun, sekiranya perkataan yang dijawikan bukan tajuk, perkataan bertulisan Jawi tersebut tidak perlu dipekatkan/ditebalkan.

Sekiranya kata tajuk itu berasal daripada bahasa asing yang mempunyai bentuk tulisan asli bahasa tersebut, kedudukan tulisan Jawi hendaklah mendahulukan tulisan asal dalam struktur "Kata tajuk (Bahasa 1, Bahasa 2, ..., Jawi)".

Penggunaan dalam perenggan

Pengguna disarankan unuk menggunakan templat Jawi iaitu {{Jawi}} untuk memudahkan keselarasan jenis dan bentuk fon Jawi yang akan digunakan. Sebagai contoh

Nama tempat

Nama negara/negeri

Nama-nama negara, negeri, wilayah atau daerah pentadbiran ialah kata nama khas rasmi yang harus berhati-hati untuk penjawiannya. Sekiranya terdapat dua ejaan yang boleh dipakai untuk nama yang sama (rasmi Jawi dan Arab), kedua-duanya boleh diletakkan dengan meletakkan pembeza yang khusus.

Contoh:

Malaysia (Jawi: مليسيا) ialah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan di Asia Tenggara yang terdiri
Amerika Syarikat (Jawi: اميريکا شريکت) ialah sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan yang terdiri daripada lima puluh negeri.
Luxembourg atau nama rasminya Duchy Agung Luxembourg (Perancis: Grand-Duche de Luxembourg, Jerman: Großherzogtum Luxembourg, Luxembourg: Groussherzogtum Lëtzebuerg, Jawi: دوچي اڬوڠ لوكسمبورڬ) ialah sebuah negara yang tidak bersempadan dengan laut di bahagian barat laut Eropah.
Australia (Jawi: استراليا) ialah sebuah negara di Hemisfera Selatan.
Sabah (Jawi: سابه; Bahasa Arab: صباح) ialah sebuah negeri yang paling timur di Malaysia.
California (Jawi: كاليفورنيا) ialah salah sebuah negeri Amerika Syarikat yang terletak di pesisir barat Amerika Syarikat.
Prefektur Ōsaka (大阪府 Ōsaka-fu; Jawi: ڤريفيكتور اوساك) ialah sebuah prefektur sebahagian kawasan Kansai di pulau Honshu, Jepun.

Nama kawasan/institut

Kes yang sama juga terpakai bagi nama untuk kawasan yang lebih kecil seperti bandar, kejiranan, kampung, sekolah dan institusi.

Contoh:

Pulau Tioman (Jawi: ڤولاو تيومن) merupakan sebuah pulau di Rompin, Pahang, Malaysia.
Kampung Lingga (Jawi: كامڤوڠ ليڠڬا) merupakan sebuah kampung yang berada dalam Bahagian Sri Aman, Sarawak.
Ogin-dong (Hangul: 옥인동, Hanja: 玉仁洞, Jawi: اوڬين-دوڠ) ialah sebuah kejiranan (dong) di Jongno-gu, Seoul.
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa (Jawi: سكوله منڠه جنيس كبڠسأن چوڠ هوا) juga dikenali sebagai SMJK Chong Hwa terletak di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), (Jawi: اونيۏرسيتي تيكنيكل مليسيا ملاك) yang ditubuhkan sebagai Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM; Jawi: كوليج اونيۏرسيتي تيكنيكل كبڠسأن مليسيا), ialah sebuah universiti awam yang bertempat di Melaka.
Hospital Sultanah Nur Zahirah (Jawi: هوسڤيتل سلطانه نور ظاهيره) atau juga dikenali sebagai Hospital Kuala Terengganu (Jawi: هوسڤيتل كوالا ترڠڬانو) ialah sebuah hospital yang terletak di Terengganu.

Nama orang

Nama Melayu:

Kebanyakan nama yang digunakan oleh orang Melayu kini mempunyai asal daripada bahasa Arab. Apabila meletakkan tulisan Jawi kepada nama Melayu yang mempunyai asal Arab, hendaklah Jawinya tidak menyimpang daripada ejaan Arab yang asal.

Contoh:

Mahathir bin Mohamad (Jawi: محضير بن محمد) ialah seorang doktor dan ahli politik Malaysia yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Iyeth Bustami (Jawi: اييث بسطامي) ialah seorang penyanyi Melayu Indonesia dari Bengkalis.

Nama bukan Melayu:

Apabila mengeja nama orang yang bukan berbangsa Melayu, tulisan Jawi hendaklah mempunyai berdasarkan bunyi nama tersebut dan bukan ejaan Ruminya. Maka, sesetengah huruf tambahan adalah tidak diperlukan.

Contoh:

Mah Hang Soon 马汉顺 (Jawi: مه هڠ سون) merupakan seorang ahli politik dari parti Persatuan Cina Malaysia.
Daniel Henney (Jawi: دانيل هيني) ialah seorang pelakon berketurunan Korea-Amerika.
Akira Toriyama (Jepun: 鳥山 明 Toriyama Akira, Jawi: اكيرا تورياما) ialah seorang mangaka Jepun.

Nama filem/lagu

Nama filem atau lagu berbahasa Melayu boleh diletakkan tulisan Jawi sebagai tambahan di dalam ayat pengenalan. Bagi tajuk filem, lagu atau karya berbahasa asing, Jawi boleh diletakkan untuk terjemahan rasmi tajuk ataupun menjawikan tajuk asal dengan bergantung kepada bunyinya.

Contoh:

Sembilu (Jawi: سمبيلو) ialah filem Malaysia tahun 1994 arahan Yusof Haslam.
One Two Jaga (Jawi: وان تو جاݢ) ialah sebuah filem aksi jenayah Malaysia 2018 yang diarahkan oleh Nam Ron.
Let It Go atau versi Melayunya Bebaskan (Jawi: بيبسكن) ialah lagu daripada filem animasi 2013 terbitan Disney.
Captain America: The Winter Soldier (Jawi: كڤتن اميريکا: ذ وينتر سولدر) ialah sebuah filem adiwira Amerika Syarikat 2014 menampilkan watak Marvel Comics.

Kata nama khas lain

Bagi kata nama khas lain, tulisan Jawi boleh digunakan sebagai tambahan kepada kata nama tersebut, sama ada bahasa Melayu atau bahasa lain.

McDonald's (Jawi: ميک دونل; Bahasa Arab: ماكدونالدز) ialah sebuah rangkaian restoran makanan segera yang terbesar di dunia.
Proton Saga (Jawi: ڤروتون ساݢا) ialah model pertama syarikat automotif pertama Malaysia.
Bahasa Occitan (IPA Inggeris Amerika: /ˈɑksəˌtæn/; Jawi: اوكستين) ialah sebuah bahasa yang dituturkan di Occitania, Selatan Perancis, Lembah Occitan di Itali dan Monaco.

Kata nama am

Bagi kata nama am pula, tulisan Jawi boleh digunakan sebagai tambahan kepada kata nama tersebut, sama ada bahasa Melayu atau bahasa lain.

Pengawetan makanan (Jawi: ڤڠاويتن ماكنن) ialah proses yang menjadikan makanan tahan lebih lama
Stesen bas (Jawi: ستيسين بس) ialah struktur untuk bas berhenti mengambil dan menurunkan penumpang.
Kimchi (Hangul: 김치, gimchi; Jawi: كيمچي) ialah makanan tradisional Korea.

Nama saintifik

Nama saintifik, khususnya nama botani dan zoologi, tidak perlu mempunyai tulisan Jawi di dalam rencana pengenalan melainkan terdapat nama lazimnya. Sesetengah istilah saintifik yang bukan nama botani seperti anatomi, astronomi, dan sebagainya, digalakkan untuk diletakkan tulisan Jawi.

Contoh:

Kaempferia galanga atau cekur (Jawi: چكور) ialah sejenis tumbuhan yang sering digunakan sebagai ulam.
Hemoglobin (Jawi: هيموڬلوبن) ialah molekul protein di dalam sel darah merah yang bergabung dengan oksigen dan karbon dioksida
Zuhrah (juga dikenali sebagai Kejora; Jawi: كجورا ,زهره) ialah planet kedua terdekat kepada Matahari dan mengorbitnya pada setiap 224.7 hari bumi.

Penggunaan dalam kotak maklumat (infobox)

Tulisan Jawi juga boleh digunakan di dalam kotak maklumat sama ada jenis menegak (lazimnya di bahagian kanan rencana) atau secara melintang (lazimnya di bahagian bawah rencana). Kata nama Jawi boleh diletakkan di bawah bahagian nama konvensional atau diletakkan dalam kotak "nama alternatif". Format yang disarankan untuk bentuk Jawi bagi kotak maklumat ialah {{lang|ms|{{Script|Arab|توليسن جاوي}}}} yang akan memberi hasil توليسن جاوي.

Penggunaan tajuk bahagian

Bagi tajuk bahagian, penggunaan tulisan Jawi akan menyukarkan memautkan perenggan itu di halaman lain. Untuk mengelakkan kesukaran timbul, {{Anchor|###}} boleh digunakan.

Contoh:

=={{anchor|Tamadun Awal Asia Tenggara}}Tamadun Awal Asia Tenggara تمدون اول اسيا تڠڬارا ==
==={{anchor|Pengaruh Hindu Buddha}}Pengaruh Agama Hindu Buddha dalam Kerajaan Awal ڤڠاروه اڬام هيندو بودا دالم كراجأن اول ===
Sebelum kedatangan pengaruh kebudayaan .... semenjak dari Zaman Logam.
===={{anchor|Cara Kedatangan}}Cara kedatangan Hindu Buddha ke Asia Tenggara چارا كداتڠن هيندو بودا ك اسيا تڠڬارا ====
Terdapat beberapa pendapat .... ke Asia Tenggara.

Penggunaan dalam rencana

Penggunaan tulisan Jawi dalam rencana adalah khusus untuk rencana yang wujud terjemahan dari bahasa asing ke bahasa Melayu.

Contoh:

Albert Speer, dalam bukunya Erinnerungen (Melayu: Kenangan; Jawi: کنڠن) telah menyebut bahawa...

Nota kaki


Rujukan