Wikipedia:Kesalahan biasa Wikipedia

(Dilencongkan daripada Wikipedia:SALAH)

Wikipedia merupakan projek bersama untuk mewujudkan ensiklopedia terlengkap dalam semua bahasa di dunia, ini termasuklah Bahasa Melayu. Oleh itu, beberapa panduan atau adab ringkas akan disertakan pada laman ini tentang Wikipedia

Wikipedia bukanlah:

  • Sebuah kamus. Rencana-rencana yang terdapat di Wikipedia haruslah bercirikan ensiklopedia yang memberi penerangan yang agak mendalam tentang sesuatu perkara. Masukan entri yang bercirikan kamus harus diletakkan dalam projek Wiktionary.
  • Papan buletin untuk memaparkan mesej. Semua rencana dalam pangkalan data Wikipedia haruslah berguna. Janganlah tulis mesej-mesej yang bersifat peribadi dan khabar angin. Jika anda ingin melakukan percubaan sebelum menyunting, gunakan kotak pasir.
  • Bilik sembang (chatroom). Wikipedia bukan tempat untuk bersembang atau chatting, halaman perbualan tidak disediakan untuk perkara itu.
  • Portal berita. Wikipedia merupakan sebuah ensiklopedia, jadi hindarilah daripada menyajikan berita-berita semasa yang terlalu banyak. Berita sebegitu boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan ke Wikinews.
  • Satu forum politik. Wikipedia menjunjung tinggi hak kebebasan bersuara, tetapi sebuah ensiklopedia haruslah bersifat neutral dan informatif, bukan bercirikan politik atau perniagaan.
  • Tempat berdakwah. Wikipedia menjunjung kebebasan beragama dan beribadah. Oleh itu, pengguna-pengguna haruslah menghormati kebebasan orang lain untuk memperoleh kepercayaannya. Jika ingin menulis sebuah rencana yang berkaitan dengan agama, cubalah bersikap neutral. Jangan terlalu mengagung-agungkan golongan sendiri dan jangan menghentam atau mencaci golongan lain.
  • Tempat menulis halaman penggemar (fan page). Wikipedia ialah sebuah ensiklopedia serius, jadi hindarilah daripada menulis rencana yang memuji-muji idola kegemaran anda, terutamanya artis-artis ternama.
  • Tempat meletakkan iklan. Janganlah meletakkan iklan sebuah produk di Wikipedia. Pengguna diperbolehkan meletak pautan (link) di halaman yang memperkatakan produk tersebut, tetapi janganlah berlebihan. Bersikaplah neutral dan jangan mencaci produk lain.
  • Tempat bergaduh. Jika anda tidak setuju dengan sesuatu rencana, ubahlah ia. Tetapi jika suntingan anda dipadamkan, janganlah cepat marah. Lihat etika Wikipedia (Wikiquette) untuk adab-adab di Wikipedia.

Juga jangan:

  • Membuat rencana bertindan. Sebelum mencipta halaman baru, cubalah cari dahulu rencana yang mungkin berkenaan. Juga cuba carian Google yang mungkin lebih efektif daripada carian Wikipedia.
  • Memadam isi berguna. Sesuatu rencana mungkin tidak ditulis dengan elok, tapi masih mempunyai isi yang berguna. Sebaliknya, cubalah memperbaiki/menulis kembali rencana tersebut. Jika isi tersebut mungkin lebih baik diletakkan di laman lain, pindahkan ia.
  • Memadam isi berat sebelah. Buangkan berat sebelah itu dan tinggalkan isinya. Kemudian perbaikilah rencana tersebut.
  • Memberikan kritikan sahaja. Jika ada isi yang salah atau kurang sesuai, perbaikilah isi. Jangan sekadar mengkritik penyumbang tersebut. Wikipedia adalah wiki, sesiapa pun boleh menyumbang.
  • Merendahkan diri kerana rencana kurang bermutu. Wikipedia adalah kerja dalam pembinaan, terutamanya Wikipedia Bahasa Melayu. Sabarlah dalam menghadapi kekurangan ini dan bantulah kami. Lihat juga jawapan kepada bantahan biasa mengapa Wikipedia boleh berjaya.
  • Memadam sebahagian/seluruh laman perbualan anda. Laman perbualan adalah sebahagian daripada catatan sejarah Wikipedia, dan laman perbualan merupakan cara terbaik untuk berbincang dengan anda. Jika tidak, anda mungkin disalah faham sebagai mahu menyembunyikan sebarang teguran. Namun, tidaklah salah jika anda sekadar mahu mengarkib dan mengemaskini laman perbualan anda.


Dan akhir sekali, ingatlah bahawa Wikipedia Bahasa Melayu diadakan bukan untuk orang atau warga Malaysia sahaja, tetapi untuk penutur Bahasa Melayu di seluruh dunia.

Terima kasih dan selamat berwikipedia!