Wisma Negeri, Kedah

Wisma Negeri yang terletaknya di sebelah bangunan Balai Besar, Alor Star, merupakan nadi pentadbiran kerajaan Negeri Kedah pada suatu masa dahulu. Perasmian bangunan ini telah disempurnakan pada 11 Syawal 1393 bersamaan 8 September 1973 oleh D.Y.T.M. Tuanku Haji Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pemangku Sultan Kedah pada waktu itu. Lokasinya terletak berhampiran Balai Besar dan terletak di dalam kawasan Medan Bandar.

Bangunan ini pada awalnya menempatkan pejabat-pejabat penting seperti pejabat KDYMM Tunku Sultan, DYTM Raja Muda, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri. Sebelum ini pejabat-pejabat tersebut berada di bangunan secretariat atau terkenal dengan sebutan 'opis dalam', iaitu bangunan dua tingkat yang terletak di belakangnya yang mula digunakan pada tahun 1929. Di bangunan ini juga terdapat Dewan Persidangan untuk ahli-ahli Dewan Negeri Kedah yang sebelum itu bertempat di Balai Besar semenjak Majlis Negeri di asaskan pada tahun 1905.

Pada 15 April 1993, semua pejabat terpenting di sini termasuk Dewan Undangan Negeri telah berpindah ke Wisma Darul Aman yang terletak 1 kilometer dari pusat bandar dan bersempadan di antara Jalan Tunku Bendahara, Jalan Sultanah dan Lebuhraya Darul Aman. Sementara Wisma Negeri ditempatkan beberapa jabatan penting lainnya seperti Pejabat Perbendaharaan dan Audit, Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah Kota Setar.

Dari segi struktur rekabentuk bangunan, dengan adanya bentuk-bentuk gerbang di setiap tingkap, menjadikan bangunan ini kelihatan cantik. Di bahagian depan bangunan ini terdapat jalinan lencana Negeri Kedah yang mewujudkan suasana harmoni. Ini tambah pula dengan bumbung 'gentian kaca' sebagai tanda pintu masuk utama ke bangunan ini. Walau bagaimanapun, bangunan Wisma Negeri bolehlah dikategorikan sebagai bangunan yang mempunyai ciri-ciri senibina moden