Yamaha Y110SS
Yamaha 110SS ialah salah sebuah motosikal 2-lejang keluaran Yamaha Motor Corp. Pengeluaran bermula sekitar tahun 1992 sebagai penyambung kepada kejayaan dalam penjualan bagi Yamaha Sports 100. Motosikal ini mempunyai transmisi 4 kelajuan dan klac tangan semi automatik bersama enjin 2-lejang 110cc. Terdapat beberapa grafik dan variasi warna bagi model tersebut seperti hitam, biru dan merah. Terdapat juga keluaran edisi istimewa berwarna emas dengan beberapa bahagian dan aksesori berwarna krom. Pengeluaran akhir Yamaha SS110 sehingga sekitar tahun 1996.
Model keluaran akhir Yamaha SS110 telah menambah beberapa ciri baru kepada motosikal tersebut seperti penggunaan CDi tambahan, grab bar dengan lampu brek kedua, tempat letak kaki belakang yang baharu,penambahan YCLS (Yamaha Computerised LuBrication System) dan ekzos yang berbeza.
Pada tahun 1997 Yamaha Motor Corp. telah memperkenalkan model baru Yamaha SS Two bagi menggantikan pengeluaran Yamaha SS110. Keluaran pertama Yamaha SS Two didatangkan dengan dua variasi ini iaitu Yamaha SS Two Racing Spirit dan Yamaha SS Two Dual Clutch dengan dua pilihan warna bagi setiap model iaitu merah dan biru. Model Yamaha SS Two Racing Spirit berteraskan enjin motosikal perlumbaan dengan menggunakan klac manual sepenuhnya. Selain itu terdapat ciri tambahan seperti tempat sandar kaki boleh lipat dan juga penyerap hentak belakang gas untuk prestasi pemanduan lebih baik dan selesa. Manakala enjin model Yamaha SS Two Dual Clutch pula sama dengan model sebelumnya, tetapi dengan penambahbaikan kotak gear yang baharu yang sama seperti model Yamaha SS Two Racing Spirit. Pada tahun 1998 pengeluaran Yamaha SS Two Racing Spirit dihentikan dan hanya model Yamaha SS Two Dual Clutch sahaja yang diteruskan penjualannya.
Yamaha SS Two tahun 1998 didatangkan dengan tiga variasi warna dengan memperkenalkan warna perak sebagai tambahan kepada biru dan merah dari sebelumnya dan didatangkan dengan grafik baharu. Ciri enjin dan spesifikasi masih sama dengan keluaran Yamaha SS Two Dual Clutch sebelumnya. Keluaran kedua ini telah dijual sehingga tahun 1999.
Pengeluaran Yamaha SS Two Dual Clutch pada tahun 1999 diteruskan dengan Yamaha memperkenalkan grafik dan warna yang baru iaitu merah, ungu dan grey. Keluaran ketiga ini merupakan keluaran akhir Yamaha SS Two.
Model Yamaha Y125Z dikeluarkan pula selepas Yamaha SS Two sebagai penyambung kepada kedua-dua model ini. Model Yamaha 125z ini telah berjaya dijual dengan laris dipasaran. Motosikal ini lebih berkuasa dengan enjin 2-lejang berkapasiti 125cc dan transmisi 6 kelajuan. Manakala penggunaan monoshock pula menggantikan sistem dual-shock yang sekian lama digunakan pada motosikal kapcai. Sistem breknya juga turut dinaiktaraf dengan penggunaan brek cakera di depan dan belakang.
Tidak seperti model kapcai lain, Yamaha 110SS dan Yamaha SS Two mempunyai enjin yang sangat tahan lasak dan berkuasa tinggi kerana penggunaan enjin 2-lejang berkapasiti 110cc. Kelajuan maksimumnya pada kondisi atau keadaan standard ialah 155 km/j. Tambahan pula, dengan penggunaan klac tangan membolehkan motosikal ini memecut dengan lebih cepat berbanding kapcai lain yang banyak menggunakan klac automatik.
Tetapi, model Yamaha 110SS dan SS Two ini turut mempunyai kelemahan. Antaranya ialah enjin yang lebih cepat panas berbanding motosikal lain kerana penyejukannya hanya bergantung kepada sistem kipas (YPCS). Selain itu, penggunaan enjin 2-lejang juga menyebabkan motosikal ini kurang penjimatan minyak dan wajib menggunakan minyak pelincir 2T.