Yayasan Islam Kelantan

agensi kerajaan di Kelantan, Malaysia

Yayasan Islam Kelantan (atau YIK) ialah sebuah agensi kerajaan negeri di Kelantan, Malaysia. Ia bertanggungjawab dalam perkembangan dan penyebaran pendidikan Islam di Kelantan.

Yayasan Islam Kelantan
Intisari agensi
Dibentuk1 Julai 1974 (1974-07-01) (sebagai Jabatan Sekolah-sekolah Agama Kelantan)
1 Mac 1983 (1983-03-01) (sebagai Yayasan Islam Kelantan)
Agensi-agensi terdahulu
  • Jabatan Sekolah-sekolah Agama Kelantan (1974)
  • Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan (1979)
Bidang kuasa
Kerajaan Negeri Kelantan
Menteri bertanggungjawab
Eksekutif agensi
  • Zulkifle Ab Rahman, Pengarah
Laman sesawang
https://www.yik.edu.my/

Latar belakang

sunting

Pada akhir 1960-an, berlakunya kemerosotan kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah agama di Kelantan. Ini berikutan sistem persekolahan agama yang diamalkan telah lama digunakan dan tidak mengikuti peredaran zaman, di samping prasarana yang tidak lengkap dan guru yang tidak terlatih.

Menangani kemerosotan pelajar

sunting

Bagi menangani isu ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah melakukan beberapa perkara seperti menubuhkan Lembaga Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Agama Kelantan yang mula beroperasi pada 1 Julai 1968, dan memperkenalkan sistem persekolahan agama baharu dikenali sebagai sistem serampang dua mata.[1]

Penubuhan lembaga peperiksaan dapat menyamaratakan nilai sijil sekolah-sekolah agama negeri yang sebelum ini tidak diberi nilai dan pengiktirafan yang sama.[1]

Pengenalan sistem serampang dua mata pula menjadikan sistem persekolahan mengandungi peringkat pengajian yang selaras dengan sistem pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia bagi membolehkan pelajar-pelajar mengambil peperiksaan SRP (yang kemudiannya menjadi PMR), SPM dan STPM, selain SMU dan STU.[1] Dengan pelaksanaan sistem baru ini, pelajar sekolah agama berpeluang menduduki peperiksaan bagi mendapatkan sijil-sijil akademik mereka berselang seli dengan peperiksaan sijil agama dalam satu tempoh pengajian selama lapan tahun, dimulai dengan kelas peralihan sehingga tingkatan enam atas. Sistem ini juga adalah untuk melayakkan pelajar sekolah agama memasuki mana-mana universiti sama ada di dalam mahu pun di luar negeri, yang beraliran agama atau pun aliran lain.[1]

Pada 1975, minat dan keyakinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap sekolah agama dan Arab Kelantan kembali dengan peningkatan kemasukan dan penubuhan sekolah.[1]Perubahan ini mengakibatkan perbelanjaan yang besar terpaksa digerakkan oleh MAIK, yang akhirnya menimbulkan beberapa masalah kepada sekolah dan pelajar.

Penubuhan agensi

sunting

Pada 1973, terdapat cetusan untuk mengambil alih pentadbiran sekolah agama daripada MAIK dan diletakkan di bawah satu jabatan khas oleh kerajaan negeri Kelantan. Akhirnya pada 1 Julai 1974, sebuah jabatan dinamakan sebagai Jabatan Sekolah-sekolah Agama Kelantan (JASA) di bawah penguatkuasaan Enakmen Kelantan No. 9/1968 atau Enakmen Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan. Jabatan ini ditadbir oleh jemaah tadbir yang bertanggungjawab kepada Majlis Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan.(YPTIK)

Pada 29 Julai 1976, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya mengambil alih pentadbiran enam buah sekolah di bawah MAIK dan dikendalikan di bawah JASA.[1] Enam sekolah tersebut ialah Madrasah Muhammadiah di Kota Bharu; Madrasah Falahiah di Pasir Pekan, Tumpat (kini Maahad Muhammadi Pasir Pekan); Madrasah Amir Indera Petra di Beris Kubor Besar, Bachok (kini Maahad Amir Indera Petra), Madrasah Yaakubiah di Nipah, Bachok; Madrasah Arabiah di Pasir Mas; dan Madrasah Syamsul Maarif di Pulai Chondong, Machang (kini Maahad Syamsul Maarif).

Perkembangan dan perubahan nama

sunting

Pada 22 Mac 1979, JASA telah dinaik taraf sebagai sebuah badan berkanun menjadi Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan (YPINK) melalui penguatkuasaan Enakmen Kelantan No. 5/1979. Pentadbiran sekolah-sekolah agama juga telah dipindahkan ke bawah YPINK.

Ekoran penggabungan YPTIK ke dalam Akademi Islam Universiti Malaya pada 1981, pada 1 Mac 1983, institusi ini sekali lagi dipinda dengan penggubalan Enakmen Kelantan No. 8/1982, dan secara rasmi bertukar nama kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Pejabat operasi

sunting

Sejak awal penubuhannya pada 1974, JASA (dan kemudiannya YPINK) ditempatkan di bangunan milik MAIK di Jalan Yaakubiah, Lundang, Kota Bharu. Berikutan perubahan nama dan pembentukan YIK pada 1983, pejabat YIK telah dipindahkan ke bangunan asrama sementara YPTIK di Nilam Puri pada 4 Jun 1983.

Pada 9 September 1990, pejabat YIK telah dipindahkan ke bangunan lama Istana Nilam Puri yang terletak di dalam kampus Akademi Islam Universiti Malaya, dan beroperasi selama 5 tahun. Pada 1 Jun 1996 hingga 31 Januari 2021, YIK beroperasi di bangunan Pusat Bahasa Arab Nilam Puri sebelum berpindah ke bangunan baru Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan di Bandar Baru Tunjung bermula 1 Februari 2021.[2]

Pautan luar

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d e f Latif, Siti Fathihah Abd (2024-11-30). "Penerusan Pendidikan Agama Melalui Sekolah Naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), 1942-1976". MINDEN Journal of History and Archaeology (dalam bahasa Inggeris). 1 (1): 71–85. ISSN 3083-8096.
  2. ^ Salleh, Syahirah (2020-11-24). "Bangunan baharu YIK operasi awal tahun hadapan". Harakahdaily (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-12-04.