Yob Tajuddin Kulub Ismail

Haji Yob Tajuddin bin Haji Kulub Ismail @ Hj. Yob Tajuddin bin Hj. Kulop Ismail dilahirkan di Lambor Kiri, Parit, Perak pada tahun 1924. Beliau adalah cicit kepada Orang Besar 16 Negeri Perak iaitu Yang Dihormati (YDH) Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab melalui bapanya Haji Kulop Ismail bin Haji Ngah Idris bin Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab. Ibunya pula bernama Khadijah binti Iman Alias.

Yob Tajuddin bin Kulub Ismail
Terkenal keranaCalon jawatan Naib Presiden UMNO 1996
Parti politik Barisan Nasional
UMNO

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lambor Kiri, Parit, Perak di mana bapanya Haji Kulub Ismail bin Haji Ngah Idris bertugas sebagai Guru Besar sekolah tersebut. Selepas tamat pendidikan Sekolah Melayu di Lambor Kiri, Perak. Beliau telah melanjuatkan pelajaran di Sekolah Inggeris Clifford @ SMK Clifford, Kuala Kangsar pada tahun 1933 (anggaran) dan memperolehi SCGCE (Senior Cambridge General Certificate of Education - O Level dan A Level). Beliau merupakan rakan sekolah kepada Almarhum Sultan Idris Iskandar al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke-33, memerintah Perak dari 1963-1984). Sepanjang beliau bersekolah di situ. beliau pernah menyertai pasukan pengakap (ketika itu Budak Serigala) Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar dan pernah bertemu dan bersalaman dengan Lord Baden-Powell, Bapa Pengakap Dunia semasa lawatan Lord Baden-Powell ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar.

Selepas tamat persekolahan, beliau telah menyertai Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat - Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) di Singapura yang pada ketika itu berpangkalan di Sembawang, Singapura. Sepanjang Perang Dunia Kedua, tidaklah beliau menceritakan penglibatan beliau kecuali beliau pernah menceritakan beliau sempat menaiki HMS Repulse dan HMS King of Wales semasa berlabuh di Pelabuhan Singapura sebelum ditenggelamkan Jepun di Laut China Selatan. Beliau pernah dikurniakan pingat dari kerajaan British atas jasa beliau semasa Perang Dunia Kedua.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, beliau telah diserap ke dalam Malayan Naval Forces (MNF) yang berpangkalan di Woodlands, Singapura. Misi utama MNF ialah mengawasi pesisir pantai Tanah Melayu bagi menghalang pengganas komunis daripada memperoleh bantuan bekalan melalui jalan laut. Angkatan ini juga diberi tugas mengawal laluan ke Singapura dan pelabuhan-pelabuhan lain. Salah satu tempat yang pernah dijaga pasukan beliau adalah Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa). Pada tahun 1965, beliau telah dikurniakan PPN (Pingat Pangkuan Negara) dari Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada ketika itu.

Beliau terus meneruskan perkhidmatan dalam tentera laut sehingga awal tahun 1970an di mana beliau telah bersara dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Selepas itu, beliau telah bekerja di Telekom Malaysia (ketika itu Jabatan Telekom Malaysia) sehingga beliau bersara pada tahun 1984.

Beliau pernah berkahwin sebanyak empat kali dan setiap perkahwinan beliau dikurniakan cahaya mata :

  • Perkahwinan pertama beliau dikurniakan seorang cahaya mata. (sudah meninggal dunia)
  • Perkahwinan kedua beliau dikurniakan seorang cahaya mata.
  • Perkahwinan ketiga beliau dikurniakan 5 orang cahaya mata.
  • Perkahwinan keempat beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata.


Beliau adalah seorang aktif dalam berpersatuan. Yang diketahui adalah beliau adalah meruapakan Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Gombak Setia yang pertama pada tahun 1952. Beliau juga merupakan ahli UMNO yang aktif. Beliau adalah ahli UMNO sejak dari awal penubuhan UMNO lagi di mana beliau pernah menyertai Perhimpunan Persatuan-Persatuan Melayu di Bangunan Sultan Sulaiman 1946 dan Perhimpunan Bantahan Malayan Union di Kuala Lumpur pada tahun yang sama. Kali terakhir yang diketahui beliau adalah ahli UMNO Bahagian Lembah Pantai dan pada tahun 1996 beliau telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO[1] pada Pemilihan UMNO 1996. Beliau telah mendapat undian sebanyak 111 undi dan berada di kedudukan terakhir daripada senarai 7 orang calon yang bertanding.

Beliau meninggal dunia akibat sakit tua pada 11 Disember 2011 pada usia 87 tahun dirumahnya di Ampang, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur.

Rujukan sunting