Zainuddin bin Maidin

(Dilencongkan dari Zainuddin Maidin)

Tan Sri Zainuddin bin Maidin (29 Jun 1939–14 Disember 2018), juga dipanggil Zam, ialah bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan bekas Menteri Penerangan Malaysia. Menerusi ruangan pojok "Awang Selamat" dalam akhbar Mingguan Malaysia, beliau menulis secara provokatif terhadap puak pelampau Melayu dan bukan Melayu.


Zainuddin Maidin

PSM, PJN; DGSM (Mel); DPMS (Sel); DPMK (Kdh); JMN; SMS (Sel); AMK (Kdh); AMP (Phg)
Menteri Penerangan Malaysia
Dalam jawatan
14 Februari 2006 – 8 Mac 2008
Didahului olehAbdul Kadir Sheikh Fadzir
Digantikan olehAhmad Shabery Cheek
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Merbok, Kedah
Dalam jawatan
24 Mac 2004 – 8 Mac 2008
Didahului olehDaim Zainuddin
Digantikan olehRashid Din
Butiran peribadi
Lahir(1939-06-26)26 Jun 1939
Kota Kuala Muda, Kedah, Malaya British (kini Malaysia)
Meninggal dunia14 Disember 2018(2018-12-14) (umur 79)
Hospital Serdang
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Taman Melawati, Kuala Lumpur
Parti politikPertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebahagian dari Barisan Nasional (BN)
PasanganPuan Sri Zaiton Zainol Abidin
Anak-anak4
KediamanPresint 10, Putrajaya
Alma materUniversiti Michigan
PekerjaanWartawan

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan di Kota Kuala Muda, Kedah, dan adalah daripada keturunan Melayu beragama Islam. Zainuddin mendapat pendidikan awal di Maktab Mahmud, Alor Star. Beliau memperoleh Diploma Kewartawanan dari Institute Journalism, Jerman 1969. Pada 1981, beliau dianugerahi Fellowship Kewartawanan Profesional dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat.

Beliau merupakan ayah kepada empat orang anak dua perempuan dan dua orang lelaki hasil perkongsian hidup dengan Datin Zaiton Zainol Abidin.

Kerjaya sebagai wartawan

Beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu Alor Star pada 1951 sebelum dilantik sebagai pemberita tetap 10 tahun kemudian.

Zainuddin pernah bertugas sebagai Wakil Utusan Melayu di London dan menjawat Ketua Pengarang Utusan Melayu pada 1982. Mulai 1992, beliau memegang pelbagai jawatan bukan editorial seperti Penasihat Jabatan Pengarang Utusan Melayu (1992) dan Pengerusi Eksekutif Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) (1994).

Seterusnya, beliau menjadi ahli pengarah Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd. dan pada 1998 menjadi timbalan pengerusi eksekutif kumpulan itu. Ruangan pojok "Awang Selamat" dalam Mingguan Malaysia kendaliannya kerap menentang puak pelampau Melayu dan bukan Melayu.

Politik

Zainuddin dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 1998, sebelum dinamakan Setiausaha Parlimen, Kementerian Penerangan pada 17 Januari 2001 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua pada Februari 2001 dan dilantik Timbalan Menteri Penerangan pada 21 November 2002.

Kemudian, dalam Pilihan raya umum Malaysia 2004, beliau memenangi kerusi Merbok apabila menewaskan calon Keadilan, Saiful Izham Ramli – seorang peguam dengan majoriti 15,445 undi.

Pada rombakan kabinet yang diumumkan pada 14 Februari 2006, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik beliau menjadi menteri penuh di Kementerian Penerangan menggantikan Datuk Seri Abdul Kadir bin Sheikh Fadzir.

Pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, Zainuddin Maidin yang bertanding untuk Parlimen Sungai Petani telah dikalahkan oleh lawannya Johari Abdul dari Parti Keadilan Rakyat.

Keputusan Pilihan Raya

Parlimen Malaysia[1][2]
Tahun Kawasan Kerajaan Undi Prts Pembangkang Undi Prts Majoriti
2004 P.14 Merbok, Kedah Zainuddin Maidin (UMNO) 29,607 66% Saiful Izham Ramli (PKR) 14,162 31% 15,445
2008 P.15 Sungai Petani, Kedah Zainuddin Maidin (UMNO) 24,441 41% Johari Abdul (PKR) 33,822 57% 9,381

Penulisan

Zainuddin menulis beberapa buah buku, antaranya ialah :

  1. Surat daripada Dr. Mahathir : edisi tambahan Mahathir Di Sebalik Tabir, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2008.
  2. Wira tak Didendang , Utusan Publications & Distributors. : 2004.
  3. The unsung heroes (terjemahan oleh Noraini Ahmad Shariff), Utusan Publications & Distributors, 2004.
  4. Mahathir : di sebalik tabir, Utusan Publications & Distributors, 2002.
  5. Tun Razak : jejak bertapak seorang patriot , Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak ; Utusan, 1997.
  6. Tun Razak : profile of a patriot (Terjemahan oleh Wan A. Hulaimi,Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Tun Razak : Utusan Publications & Distributors, 1997.
  7. Mahathir Di Sebalik Tabir , Utusan Publications & Distributors , [199?]
  8. Yang Pertama dan Terakhir
  9. Malaysia-British Relations in London

Beliau menjadi Karyawan Tamu pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 21 September 2011. Watikah pelantikan Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) UUM disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.Turut hadir ialah Pengarah IPDM, Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz.[3]

Anugerah dan kurniaan

  • 1982 - Ahli Mahkota Pahang (A.M.P.)
  • 1987 - Ahli Mahkota Kedah (A.M.K.)
  • 1990 - Johan Mahkota Negara (J.M.N.)
  • 1990 - Setia Mahkota Selangor (S.M.S.)
  • 1996 - Pingat Jasa Negara (P.J.N.) (membawa gelaran "Datuk")
  • 2003 - Darjah Pingat Dato’ Mahkota Selangor (D.P.M.S.)
  • 2006 - Datuk Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K.)
  • 2006 - Tokoh Wartawan Negara 2006
  • 2006 - Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) (membawa gelaran "Datuk Seri")
  • 2010 - Anugerah Tokoh Melayu Terbilang sempena ulang tahun ke-64 UMNO.

Kritikan dan kontroversi

Menyokong Mufti Perlis

Beliau menyokong kenyataan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis yang meminta supaya kaedah penguat kuasa agama (mengintip dan menyerbu bilik-bilik hotel) yang menangkap pasangan yang berkhalwat dan membesar-besarkan di media dihentikan segera kerana ia mengaibkan pasangan yang terlibat.

Katanya, "Alim ulama harus melihat perkara yang lebih besar daripada ‘seronok’ menahan orang berkhalwat. Banyak lagi perkara besar yang berlaku di depan mata yang perlu dibendung bersama oleh alim ulama seperti kes ragut, rompak, mat rempit dan penagihan dadah."[4]

Lim Kit Siang, kebebasan media dan perhimpunan Bersih

Pada 5 November 2007, ketika sesi penggulungan perbahasan bajet 2008 di Parlimen, wakil DAP Lim Kit Siang menyatakan bahawa Malaysia jatuh merudum sebanyak 32 anak tangga daripada kedudukan 92 hingga 124 dalam indeks kebebasan media Reporters Without Borders 2007. Beliau mendakwa bahawa Zainuddin, dengan mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri, mengarah akhbar-akhbar utama supaya menyembunyikan sesetengah berita benar yang menampakkan imej buruk kerajaan. Zainuddin menjawab dengan mengatakan bahawa Kit Siang suka membuat tuduhan berdasarkan khabar angin dan tidak berasas. Kekecohan tercetus dalam Dewan, kemudiannya Zainuddin memetik sepotong tulisan ([1]) dalam blog peribadi Kit Siang yang memanggilnya "monyet". Akan tetapi Kit Siang menjawab pula dengan mengatakan bahawa beliau tidak pernah memanggilnya sedemikian, sebaliknya tulisan itu ialah komen pengunjung.[5][6] Debat ini disiarkan dalam stesen RTM pada keesokan harinya.[perlu rujukan]

Pada 9 November, ketika Perhimpunan Agung UMNO Ke-58 yang dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Zainuddin Maidin mengumumkan bahawa beliau akan menyiarkan semula komen-komen yang dipilih dari blog Kit Siang yang memburuk-burukkannya di tapak web RTM. Menurut Zainuddin, beliau mahu semua orang menilai sendiri kualiti blog tersebut dan etika kewartawanan yang diamalkan.[7]

Seperti yang dijanjikan, bahagian baru bernama "Media Baru" disiarkan di tapak web RTM ([2]). Kit Siang bertindak balas dengan mencabar Zainudin supaya sentiasa mengemaskinikan tapak web tersebut dengan kiriman-kiriman blog terbaru oleh beliau.[8]

Kemudian, berlaku peristiwa perhimpunan Bersih. Agensi berita Timur Tengah Al Jazeera membuat liputan mengenai peristiwa tersebut dan melaporkan tindakan pasukan pengaman yang menggunakan kekerasan untuk menyuraikan pendemonstrasi.[9] Mereka juga menghubungi Zainuddin melalui talian telefon untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Dalam perbualan tersebut, Zainuddin menafikan laporan bahawa perhimpunan itu diselesaikan dengan cara kekerasan dan mengutuk Al Jazeera kerana membesar-besarkan cerita untuk mengelirukan orang dari luar.[10] Rakaman perbualan itu disiarkan secara langsung oleh Al Jazeera dan mendapat respons kritikal daripada ramai pihak, terutamanya pembangkang.[11]

Zainuddin tidak menghadiri sesi Parlimen yang dilangsungkan selepas itu, iaitu pada 13 November, sebaliknya beliau digantikan oleh timbalannya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Ketika Zahid menjawab soalan mengenai kesahihan berita perhimpunan Bersih yang dilaporkan oleh media rasmi kerajaan RTM, Kit Siang bangkit dan mendakwa bahawa RTM menyembunyikan fakta sebenar dan Zainuddin tiada kerana "lari" serta menggelarnya "Minister of Misinformation and Disinformation".[12][13]

Meninggal dunia

Beliau telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya akibat masalah paru-paru berair, namun kemudian dipindahkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.20 petang, 14 Disember 2018 di Hospital Serdang, Selangor.[14]

Rujukan

  1. ^ "Keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen/Dewan Undangan Negeri". Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Dicapai pada 4 February 2017. Cite has empty unknown parameter: |1= (bantuan) Percentage figures based on total turnout.
  2. ^ "Malaysia General Election". undiinfo Malaysian Election Data. Malaysiakini. Dicapai pada 4 February 2017. Results only available from the 2004 election.
  3. ^ Zam akan hasilkan memoir kewartawanan
  4. ^ Zainuddin sokong kes khalwat tidak diperbesarkan. Utusan Malaysia. 17 Dis 2006.
  5. ^ Sedutan Sidang Parlimen 5 Nov 2007, bahagian I dan bahagian II
  6. ^ Datuk Zainuddin Bidas Lim Kit Siang. BERNAMA. 05 Nov 2007, 23:40 MST.
  7. ^ RTM to publish ‘bad things’ from Kit Siang’s blog. The Star. 10 Nov 2007.
  8. ^ Challenge to Zam - Update regularly the RTM website on my blog postings. Blog Lim Kit Siang. 10 Nov 2007, 11:36 MST.
  9. ^ Tear gas fired at Malaysia rally. Al Jazeera. 10 Nov 2007, 15:17 MST.
  10. ^ Temu bual Al Jazeera dan Zainuddin Maidin (video). 12 Nov 2007.
  11. ^ Zam Maidin vs Al-Jazeera, transkrip yang memalukan negara?. HarakahDaily.Net. 21 Nov 2007, 11:30 MST.
  12. ^ Sedutan Sidang Parlimen 13 Nov 2007
  13. ^ Kit Siang: Zam 'minister of misinformation'. Malaysiakini. 13 Nov 2007, 15:09 MST
  14. ^ Zainuddin Maidin meninggal dunia

Pautan luar


Penyandang Terdahulu Menteri Penerangan
17 Februari 2006 – 8 Mac 2008
Penyandang Kemudian
Datuk Panglima Abdul Kadir bin Sheikh Fadzir
Ahmad Shabery Cheek