Amiruddin Md Ali Hanafiah

penulis Malaysia

Amiruddin Md Ali Hanafiah merupakan salah seorang penulis di Malaysia yang berasal dari negeri Johor.

Amiruddin Md Ali Hanafiah dilahirkan di Kampung Awat, Batu Anam, Segamat pada 12 November 1965, dan menetap di Felda Semencu mulai 1977. Dia mendapat pendidikan awal di Johor dan di Kota Bharu, Kelantan. Kemudian beliau mendapat pendidikan menengah di tiga buah sekolah di Kota Tinggi, Johor. Seterusnya beliau mengikuti kursus perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada tahun 1987-1989 dan memperoleh Diploma Perguruan Khas (Kesusasteraan Melayu) di Maktab Perguruan Raja Melewar dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Malaya. Beliau turut memiliki Diploma Pemikiran Islam dan Diploma Falsafah Sains Islam dari Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) yang kini dikenali Kolej Dar Hikmah.

Amiruddin Md Ali Hanafiah sangat aktif berpersatuan dan telah memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kebangsaan. Beliau juga pernah menerajui Persatuan Penulis Johor (PPJ) sebagai Ketua Dua. Pada tahun 2005, beliau terpilih sebagai Ketua Satu dan menyandang jawatan sehingga kini. Beliau juga pernah menjawat ahli jawatankuasa GAPENA (2004 - 2008 ) dan pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden PENA selama tiga penggal (2010 - 2016) . Beliau menyandang jawatan Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) selama tiga penggal (2016-2022). Beliau turut menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) sejak tahun 2008 hingga 2020. MKNJ merupakan NGO yang dipengerusikan secara otomatik oleh EXCO Kerajaan Johor yang menjawat potfolio hal ehwal kebudayaan. Pada tahun 2022, beliau turut menggerakkan Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM) yang menghimpunkan pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan dunia buku dan penulisan. MPPM digerakkan oleh tiga persatuan utama di Malaysia iaitu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan Persatuan Kebajikan dan Penulis Selangor (KEMUDI). Beliau dilantik sebagai Pengerusi MPPM.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua 1 Persatuan Penulis Kuala Lumpur (2012-2015). Turut menggerakkan Kelab Sasterawan Felda Malaysia, Kelab Penulis Guru Malaysia, Kelab Penulis 1Malaysia dan Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM).Beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Kehormat Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kemboja; di Malaysia pada tahun 2014. 

Beliau telah menghasilkan lima buah novel remaja. Antaranya Merintis Impian dan Berteduh di Rimbunan Suci; terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau turut menghasilkan skrip drama radio, puisi, cerpen, esei dan kritikan. Kumpulan puisi perseorangannya termasuk Anak Warisan (DBP) dan Sebuah Pulau, Sebuah Bukit (Diwangsa & Distributors).

Lebih 150 puisinya tersiar di media utama termasuk Dewan Sastera, Dewan Budaya, Jurnal Perisa, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Puisinya turut termuat dalam lebih 60 antologi bersama termasuk bersama-sama penulis Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura dan India. Beberapa puisinya turut diterjemahkan ke dalam bahasa Thai, Tamil, Jepun dan Arab. Beliau turut menyelenggarakan lebih 10 antologi puisi.

Dua buah skrip drama pentasnya turut dikaji oleh pelajar Malaysia melalui teks Komponen Bahasa melayu (KOMSAS). Drama "Angin" termuat dalam antologi Seuntai Kata untuk Dirasa dan drama "Surat untuk Ina" termuat dalam teks Tingkatan 1. Puisinya berjudul "Warkah kepada Bangsa" turut termuat dalam teks KOMSAS Tingkatan 2.

Sumbangan dalam bidang persuratan dan seni turut diiktiraf apabila dianugerahkan Anugerah Pewaris Seni oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada tahun 2007 yang disampaikan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia ketika itu). Beliau turut menerima Anugerah Penggerak Budaya daripada Kerajaan Johor pada tahun 2017 atas sumbangannya kepada aktiviti kebudayaan di negeri itu. Beliau turut menerima Anugerah Kepimpinan Penulis Johor pada tahun 2017 yang disampaikan oleh YAB Dato' Khaled Nordin (Menteri Besar Johor ketika itu).

Amiruddin diberikan gelaran Pejuang Sastera di samping turut menerima Anugerah Pejuang Sastera Johor yang disampaikan oleh YAB Datuk Haji Hasni Mohammad pada 27 November 2020. Beliau merupakan penerima kedua gelaran Pejuang Sastera selepas Allahyarham Datuk Usman Awang pada tahun 1976.

Amiruddin turut menerima Anugerah Penyair Johor sempena Hari Puisi Nasional di Benut, Pontian pada 29 Oktober 2021. Anugerah tersebut disampaikan oleh YAB Dato' Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor. Beliau merupakan penerima kedua anugerah tersebut selepas Allahyarham Datuk (Dr.) Usman Awang menerimanya pada tahun 1995 di Johor Bahru.

Skrip drama pentasnya berjudul 'Telegram' menerima Anugerah Sastera Darul Ta'zim pada tahun 2001. Drama ini mendapat pengiktirafan Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka apabila mementaskan drama ini di JOTIC Johor Bahru pada tahun 2001. Penonton perlu membeli tiket bagi menyaksikan pementasan yang turut dibintangi Sabri Yunos dan Jalil Hamid. Drama "Angin" karyanya mencatat sejarah apabila dipentaskan lebih 20 buah sekolah seluruh Malaysia dan turut menjadi Juara di beberapa negeri termasuk di Wilayah Persekutuan dan Johor.

Beliau turut menggerakkan program deklamasi puisi di seluruh negara. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Kebangsaan mulai tahun 2016-2022. Beliau bertanggungjawab memastikan sayembara deklamasi puisi kemerdekaan di peringkat negeri turut diadakan. Pada tahun 2020, beliau dilantik sebagai Pengerusi Bersama Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Angkatan Tentera Malaysia.Pada tahun 2022, beliau dilantik sebagai Pengarah Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Polis DiRaja Malaysia.

Beliau turut dipertanggungjawab sebagai Pengerusi Malam Menghimpun Rindu SDPK 2020, di Shah Alam, Selangor. Beliau merupakan pencetus idea Hari Puisi Kebangsaan Pertama pada 12 Julai 2022. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Sambutan Hari Puisi Kebangsaan yang pertama. Atas inisiatif beliau, Sambutan Hari Puisi Kebangsaan diadakan di setiap negeri dengan memilih Tokoh Puisi Negeri.

Beliau merupakan pencetus idea Anugerah Bakti Sastera GAPENA yang mula diperkenalkan pada Hari Sastera yang diadakan di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan (2022).

Beliau merupakan Pengarah Kongres Muafakat Melayu yang diadakan di PERSADA, Johor Bahru pada Mei 2008. Beliau turut menggerakkan Simposium Sastera Malaysia (SISMA) Pertama yang diadakan di Hotel GoodHope, Skudai pada 26 dan 27 Mei 2023. Beliau merupakan Pengerusi Simposium Sastera Malaysia yang pertama. SISMA anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS).

Atas pengetahuan dan dan penglibatannya dalam dunia sastera, beliau diiktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2011. Atas sumbangannya dalam kegiatan puisi pula, Amiruddin turut diiktiraf dengan Anugerah Aktivis Puisi Malaysia pada 30 Oktober 2021. Beliau menerima anugerah tersebut bersama-sama Datuk Jasni Matlani (Presiden BAHASA, Sabah), Dr.Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA), Haji Hamzah Hamdani (Setiausaha Satu GAPENA) dan Mohd Rosli Bakir (Munsyi Sastera DBP). Anugerah disampaikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. Amiruddin turut menerima Anugerah Ikon Puisi SMAT (2022) daripada YB Puan Norlizah Noh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor.Kumpulan puisinya berjudul 'Diajaknya Cinta Ke Rumah Mimpi, Dia Pun Terlena Di Tilam Janji' memenangi Anugerah Karyawan Bazar Buku Johor 2022, bagi Kumpulan Puisi Terbaik.

Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad (2012-2015). Pada tahun 2013, beliau dilantik sebagai Jawatankuasa Eksekutif Pengurusan YGMB Berhad. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah YGMB Management & Services Sdn.Bhd. (2014-2015). Beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Guru Malaysia Berhad (2015-2016).Beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah Gapeniaga Sdn.Bhd. (September 2017- Disember 2022). Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Gapeniaga Sdn.Bhd. (Oktober 2022- Disember 2022). Beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Koperasi Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Negeri / Kawasan Selangor (2021-2025). Amiruddin berkhidmat sebagai Pensyarah Sambilan Bahasa Melayu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mulai tahun 2021. Beliau turut dilantik sebagai Ahli Undangan Jawatankuasa Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (Mac 2023 - Mac 2025).



Pautan luar sunting