Ranau ialah sebuah daerah yang terletak Bahagian Pantai Barat, utara Negeri Sabah, Malaysia. Dianggarkan jumlah penduduknya pada tahun 2000 ialah seramai 70,649 orang. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Ranau manakala antara pekan lain yang terletak di daerah ini termasuklah Kundasang. Majoriti penduduk daerah Ranau merupakan masyarakat Kadazan-Dusun.

Daerah Ranau
Peta daerah Ranau
Peta daerah Ranau
Lokasi Daerah Ranau
Negara Malaysia
Negeri Sabah
BahagianPantai Barat
Pusat pentadbiranRanau
Pentadbiran
 • BadanMajlis Daerah Ranau
 • Pegawai daerahTinus Manggam
Keluasan
 • Jumlah3,608 km2 (1,393 batu persegi)
Penduduk
 (2020)[1]
 • Jumlah85,077
 • Kepadatan24/km2 (61/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (WPM)
Poskod
89xxx
Nombor platSK
SU
Laman sesawangpdranau.sabah.gov.my/index.php

Etimologi sunting

Ranau berasal dari perkataan Bahasa Dusun, Ranahon yang bermaksud kawasan sawah padi. Biasanya masyarakat Dusun di daerah Ranau mengusahakan tanaman padi huma atau padi bukit memandangkan bentuk muka bumi di sini yang berbukit bukau. Tetapi bagi penduduk di Lembah Ranau, mereka mengusahakan tanaman padi sawah atau dalam bahasa tempatan Ranahon.

Panggilan singkat Ranahon ialah Ranau. Kebetulan kawasan ini telah membangun dan menjadi pusat pentadbiran daerah maka perkataan Ranau telah digunakan sebagai nama rasmi daerah ini.[2]

Sejarah sunting

Pada tahun 1943 hingga 1947, Ranau merupakan sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran daerah Tambunan. Residen Sandakan kemudiannya mengambil alih pentadbiran Daerah Kecil Ranau.

Pada awal tahun 1960-an, Ranau telah menjadi sebuah daerah kecil bagi daerah Tambunan dan daerah Kota Belud sebelum menjadi sebuah daerah penuh. Ranau telah menjadi sebuah daerah penuh bermula tahun 1961.[3]

Gempa bumi sunting

Daerah Ranau pernah dilanda gempa bumi pada tahun 1991 dan telah menyebabkan beberapa keretakan kecil pada bangunan konkrit. Namun pada 5 Jun 2015, Daerah Ranau dilanda gempa bumi kuat berukuran 6.0 skala Richter. Gempa ini adalah yang terkuat pernah direkodkan dan telah menyebabkan kerosakan teruk pada sejumlah bangunan di daerah Ranau. Gempa ini juga turut mematahkan satu puncak Gunung Kinabalu yang dikenali sebagai Donkey Ears Peak. Beberapa kematian telah direkodkan akibat gempa bumi ini.

Geografi sunting

Daerah Ranau terletak di utara negeri Sabah, tepatnya di timur Bahagian Pantai Barat. Daerah Ranau mempunyai keluasan 3,608 kilometer persegi. Daerah Ranau bersempadan dengan Daerah Beluran di timur laut, Daerah Telupid di timur, Daerah Tongod di selatan, Daerah Tambunan, Tuaran dan Kota Belud di barat serta Daerah Kota Marudu di utara.

Daerah Ranau mempunyai bentuk muka bumi berupa dataran yang berbukit-bukau dikelilingi Banjaran Crocker, kemuncak Pinousuk, Banjaran Trusmadi dan Tanah Tinggi Labuk. Titik tertinggi daerah Ranau terletak di puncak Gunung Kinabalu yang juga merupakan gunung tertinggi di Malaysia. Sungai utama dan terpanjang di daerah ini ialah Sungai Liwagu.

Pentadbiran sunting

 
Pejabat Daerah Ranau

Daerah Ranau berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Ranau yang berpusat di Pekan Ranau. Daerah Ranau juga dibahagikan kepada 15 mukim;

  • Mukim Kundasang
  • Mukim Kaingaran
  • Mukim Malinsau
  • Mukim Tagudon
  • Mukim Lohan/Bongkud
  • Mukim Nalapak/Sagindai
  • Mukim Paginatan
  • Mukim Perancangan
  • Mukim Randagong
  • Mukim Tambiau/Mohimboyon
  • Mukim Tanah Rata
  • Mukim Timbua
  • Mukim Liwagu
  • Mukim Paus
  • Mukim Kapangian/Sumininmpod

Dari segi politik, Daerah Ranau meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri, iaitu Paginatan, Kundasang dan Karanaan yang terletak dalam kawasan Parlimen Ranau.

Demografi sunting

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
200074,456—    
201095,800+28.7%
202085,077−11.2%
Sumber: [4]
 
Sebuah gereja di Ranau
 
Masjid Pekan Ranau

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Ranau ialah seramai 85,077 orang dengan kepadatan penduduk 24 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang.[5] Majoriti penduduk di daerah Ranau merupakan Bumiputera termasuklah etnik Kadazandusun, Sungai, Bajau dan Melayu.[1]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[5]
Status Bangsa Jumlah
Warganegara Melayu 7,100
Bumiputera lain 71,577
Cina 751
India 36
Lain-lain 186
Bukan warganegara - 5,427
Jumlah 85,077

Agama sunting

Di daerah Ranau, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 53 peratus diikuti agama Islam sebanyak 45 peratus. Agama Buddha, Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[1]

Ekonomi sunting

Sebahagian ekonomi Ranau ialah tanaman koko. Seluas 1838 hektar ditanam dengan koko. Lembaga Koko Malaysia (LKM) menyeru 1,631 petani koko di Ranau menggunakan benis koko bermutu tinggi. Biji koko kering lebih tinggi harganya berbanding harga koko basah. LKM menggalakkan pembuatan coklat buatan tangan dan industri biskut berasaskan koko.Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia Tan Sri Bernard Dompok mahu Ranau terkenal dengan industri koko.[6]

Kemudahan sunting

 
Batu tanda jalan di Jalan Ranau-Tambunan

Daerah Ranau dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam di sekitar daerah. Terdapat 71 buah sekolah rendah, 11 buah sekolah menengah, enam buah balai polis, sebuah balai bomba, sebuah hospital kerajaan, lapan buah klinik kesihatan dan 10 buah klinik desa di sekitar daerah. Daerah Ranau juga mempunyai 49 buah gereja dan lebih 100 buah surau atau masjid. Terdapat tiga rangkaian jalan raya utama di daerah Ranau iaitu Jalan Ranau-Tamparuli, Jalan Ranau-Tambunan dan Jalan Ranau-Telupid.

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
  2. ^ "PEJABAT DAERAH RANAU". pdranau.sabah.gov.my. Dicapai pada 2024-04-18.
  3. ^ "Sejarah PEJABAT DAERAH RANAU". pdranau.sabah.gov.my. Dicapai pada 2024-04-18.
  4. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  5. ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
  6. ^ Ranau Berpotensi Jadi Daerah Penting Industri Koko: Bernard Dompok Diarkibkan 2017-04-15 di Wayback Machine, BERNAMA.COM, 14 Ogos 2010. Dicapai 7 Oktober 2010.

Pautan luar sunting