Deria atau indera (daripada Sanskrit: इन्द्रिय indriya[1]) bererti cara pencerapan secara fisiologi. Deria dan fungsi, pengelasan dan teorinya dikaji dalam pelbagai bidang, khususnya neurosains, psikologi kognitif (atau sains kognitif), dan falsafah persepsi. Sistem saraf mempunyai sistem deria atau organ yang dikhususkan untuk setiap deria.

Takrifan sunting

Secara amnya, deria boleh ditakrifkan sebagai "sistem yang terdiri daripada sekelompok sel-sel penerima yang membalas fenomena fizikal yang tertentu, dan berpadanan dengan kawasan tertentu dalam otak di mana isyaratnya diterima lalu ditafsirkan." Pertikaian bilangan deria timbul kerana pengelasan pelbagai jenis sel dan pemetaannya mengikut bahagian-bahagian dalam otak.

Para ahli neurologi tidak sepakat mengenai bilangan deria yang sebenar kerana masing-masing ada pentakrifan berbeza untuk deria. Salah satunya berhujah bahawa deria eksteroseptif (luaran) itu adalah daya pencerapan perangsang luaran.[2]

Pemahaman deria yang wujud sunting

Aristoteles mengusulkan sebanyak lima deria utama (pancaindera) yang merangkumi:[3][4]

  1. penglihatan
  2. pendengaran
  3. sentuhan
  4. hidu
  5. rasa

Falsafah Hindu-Buddha mempercayai deria ada perkaitan dengan sifat atau keupayaan fizikal yang dimiliki dalam badan atau indriya (इन्द्रिय, "kepunyaan Indra"); ia turut menyatakan kewujudan semua cakupan ini (sebagai buddhindriyani) dengan sedikit penambahan:[5][6]

  1. kemudahan melihat (cakkh-indriya)
  2. kemudahan mendengar (sot-indriya)
  3. kemudahan menghidu (ghān-indriya)
  4. kemudahan merasa (jivh-indriya)
  5. kemudahan badan (kāy-indriya)
  6. kemudahan minda (man-indriya)

Manusia juga dipercayai ada deria tambahan seperti berikut: kesakitan, pengimbangan, propriosepsi (kesedaran tentang postur, pergerakan dan perubahan keseimbangan tubuh badan yang dibawa oleh gerakan dan kegiatan otot[7]) & kinestesia (pergerakan dan pemencutan sendi), ketepatan masa, termosepsi (penentuan suhu), dan mungkin juga magnetosepsi (penentuan arah) yang lemah[8], tidak lupa juga jika diambil kira deria-deria interoseptif (dalaman).

Jenis deria sunting

Penglihatan sunting

Penglihatan ialah keupayaan otak dan mata mengesan gelombang elektromagnet dalam julat nampak (cahaya) iaitu kita mentafsir imej sebagai "pemandangan." Para ahli neuroanatomi menganggap penglihatan itu adalah dua deria, kerana saraf penerima yang berbeza berfungsi menjadikan persepsi warna (kekerapan foton cahaya) dan kecerahan (amplitud/keamatan - bilangan foton cahaya). Seseorang yang kecacatan penglihatan adalah buta.

Pendengaran sunting

Pendengaran ialah deria penserapan bunyi. Memandangkan bunyi itu ialah getaran yang merambat melalui bahantara seperti udara, maka pengesanan getaran berkenaan, iaitu deria pendengaran, ialah deria mekanikal seperti deria sentuh. Dalam tubuh manusia, pencerapan ini dicetuskan oleh gentian rambut halus dalam telinga yang mengesan pergerakan membran yang bergetar untuk membalas perubahan dalam tekanan dari zarah-zarah atmosfera dalam julat 20 hingga 22000 Hertz[perlu rujukan], dengan perubahan yang besar antara individu. Bunyi juga boleh dikesan sebagai getaran yang dijalankan melalui badan dengan siasatan. Frekuensi yang lebih rendah dan lebih tinggi yang boleh didengar dikesan dengan cara ini sahaja. Ketidakupayaan untuk mendengar dipanggil kepekakan.

Rasa sunting

Deria rasa ialah salah satu dari dua deria "kimia". Terdapat sekurang-kurangnya empat jenis rasa[9] yang boleh dikesan saraf penerima dalam lidah, iaitu manis, masam, masin dan pahit, tetapi pada tahun 2000 disahkan jenis rasa kelima iaitu umami (gurih, dikesan glutamat asid amino yang terdapat dalam daging dan perasa tiruan seperti MSG) yang pernah diusulkan seawal tahun 1908[10]. Masalah kecacatan deria rasa diberi istilah ageusia.

Bau sunting

Pembauan atau deria hidu ialah deria kimia yang satu lagi. Untuk deria rasa, terdapat ratusan saraf penerima bau, setiap satunya bergabung dengan sifat molekul yang tertentu. Molekul bau mempunyi pelbagai sifat yang boleh merangsang saraf penerima yang berpadanan. Gabungan isyarat perangsang dari saraf penerima berbeza membentuk persepsi kita terhadap bau molekul berkenaan. Dalam otak, pembauan diproses oleh sistem olfaktori. Neuron menerima olfaktori dalam hidung bebrza dari neuron-neuron lain iaitu mati dan tumbuh semula secara kerap. Kecacatan deria hidu digelar anosmia. Sesetengah neuron dalam hidung dikhususkan untuk mengesan feromon (Bahan yang dirembeskan oleh sesuatu haiwan dalam kuantiti yang kecil yang boleh menyebabkan tindak balas pembiakan, perkembangan atau tabiat tertentu oleh haiwan berdekatan yang sama spesies dengannya.[11])

Perimbangan dan pemecutan sunting

Perimbangan ialah deria yang membolehkan oragnisma mencerap pergerakan badan, arah, dan pemecutan, serta mencapai dan mengekalkan keseimbangan badan. Organ perimbangan ialah sistem is the labirin vestibul yang terdapat dalam kedua-dua belah telinga dalam. Sebenarnya, organ ini berfungsi menghidupkan dua deria, iaitu momentum sudut dan pecutan linear (yang juga mengesan graviti), kedua-duanya sekali dikenali sebagai "ekuilibriosepsi."

Saraf vestibul menyalurkan maklumat dari tiga salur separuh bulat yang berpadanan dengan tiga satah ruang, utrikel, dan sakul. Ampula atau bahagian tapak setiap salur separuh bulat tersebut mengandungi struktur yang dipanggil krista yang melengkung mengikut momentum sudut atau pemusingan. Sakul dan utrikul sebagai "organ otolit" pula mengesan pecutan linear dan graviti. Otolit ialah hablur kalsium karbonat kecil yang menyalurkan inersia yang diperlukan untuk mengesan perubahan dalam pecutan atau graviti.

Suhu sunting

Termosepsi ialah deria haba oleh kulit termasuk saluran dalam kulit. Termoseptor (saraf penerima haba) dalam kulit agak berbeza dari termoseptor homeostatik dalam otak (hipotalamus) yang menyalurkan maklumbalas mengenai suhu dalam badan.

Kinestesia sunting

Propriosepsi atau deria kinestetik menyumbangkan maklumat mengenai kedudukan relatif anggota badan kepada korteks parietal otak. Pakar neurologi menguji deria ini dengan menyuruh pesakitnya menutup mata dan menyentuhkan hujung jari pada hidung. Dengan menganggap propriosepsi berfungsi dengan betul, pesakit itu akan hilang kesedaran mengenai kedudukan tangannya serta-merta, sungguhpun tidak dikesan oleh mana-mana deria lain. Kaitan propriosepsi dan deria sentuh tidak ketara, dan sekiranya kedua-duanya mengalami masalah maka timbulnya pengurangan persepsi dan tindakan yang mendadak. [12]

Kesakitan sunting

Nosisepsi (kesakitan fisiologi) menandakan kerosakan tisu. Tiga jenis penerima kesakitan ialah kutaneus (kulit), somatik (sendi dan tulang) dan viser (organ badan). Adalah dipercayai bahawa keskitan itu sekadar pelebihan penerima tekanan, namun kaji selidik pada separuh pertama abad ke-20 menunjukkan bahawa kesakitan adalah fenomena berbeza yang berkait rapat dengan kesemua deria lain, termasuk sentuhan. Deria kesakitan pernah dianggap sebagai pengalaman yang teramat subjektif (mengikut perasaan individu), tetapi kajian terkini membuktikan bahawa dirakam dalam bahagian girus singulat anterior dalam otak.[13]

Deria dalaman lain sunting

Deria dalaman atau interosepsi ialah "mana-mana deria yang biasanya dirangsang dari dalam badan."[14] Ini melibatkan banyak penerima deria dalam organ dalaman, seperti penerima regangan yang berhubung dengan otak melalui sistem saraf.

  • Penerima regangan pulmonari terdapat dalam paru-apru dan mengawal kadar pernafasan.
  • Penerima kutaneus dalam kulit bukan sahaja bertindak balas terhadap sentuhan, tekanan, dan suhu, malah juga membalas vasodilatasi dalam kulit seperti merah muka.
  • Penerima regangan dalam salur gastrousus mengesan pengembungan gas yang menyebabkan sakit perut.
  • Rangsangan penerima deria dalam esofagus menyebabkan sensasi dalam tekak apabila menelan, muntah, mahupun mengalami refluks asid.
  • Penerima deria dalam mukosa farinks, sama seperti penerima sentuhan dalam kulit, mengesan bendasing seperti makanan yang boleh menyebabkan perasaan tersumbat.
  • Rangsangan penerima deria dalam pundi kencing dan dubur boleh menimbulkan rasa kenyang.
  • Rangsangan penerima regangan yang mengesan pengembangan salur darah boleh menyebabkan kesakitan, contohnya sakit kepalan yang timbul dari vasodilasi arteri dalam otak.

Deria bukan manusia sunting

Seakan-akan deria manusia sunting

Benda-benda hidup lain juga memiliki saraf penerima untuk mencerap persekitarannya, termasuklah deria-deria yang ada dalam manusia, tetapi banyak berbeza dari segi mekanisme dan keupayaan mengikut spesis.

Penggemaan sunting

Sesetengah haiwan seperti kelawar dan ikan lumba-lumba memiliki kebolehan menentukan arah ke objek lain melalui pentafsiran bunyi pantulan (seperti sonar), khususnya untuk melalui kawasan gelap atau memburu mangsa. Belum ditentukan sama ada ini sekadar pentafsiran cerapan auditori pasca indera yang amat canggih ataupun sememangnya deria yang berasingan. Untuk mencari jawapannya, kita perlu mengimbas otak haiwan berkenaan ketika melakukan penggemaan (gemalokasi), tetapi amat sukar untuk melakukan begitu. Orang yang cacat penglihatan mengaku boleh memandu arah sendiri dengan mentafsir bunyi pantulan (khususnya bunyi kaki sendiri), maka terbentuknya fenomena gemalokasi manusia.

Bau sunting

Di kalangan spesies bukan manusia, anjing lebih kuat deria baunya berbanding manusia, itupun mekanismenya tidak banyak berbeza. Serangga mempunyai penerima bau dalam sesungutnya.

Penglihatan sunting

Kucing berupaya melihat dengan jelas dalam suasana malap kerana otot yang mengelilingi iris dalam mata mengecutkan dan mengembangkan anak mata, di samping juga membran pemantul bergelar tapetum lusidum yang mengoptimumkan imej. Ular kapak, ular sawa dan sesetengah jenis ular boa mempunyi organ yang membolehkannya mengesan cahaya inframerah, agar ular-ular tersebut boleh mengesan haba mangsanya. Spesies kelawar penghisap darah biasa mungkin juga terdapat pengesan inframerah pada hidungnya.[15] Kajian juga mendapati bahawa burung dan sesetengah haiwan lain berupaya melihat dalam sinaran ultraungu hingga 300 nanometer. Lebah dan pepatung[16] juga boleh melihat dalam sinar ultraungu.

Perimbangan sunting

Hidupan air Ctenophora mempunyi penerima perimbangan (statosista) yang amat berbeza fungsinya dari salur separuh bulat dalam haiwan mamalia.

Berlainan dari deria manusia sunting

Tambahan pula, sesetengah haiwan memiliki deria yang tiada dalam manusia, termausk yang berikut:

  • Elektrosepsi (atau "elektroresepsi") ialah keupayaan mengesan medan elektrik. Sesetengah spesies iklan, ikan jerung dan ikan pari berupaya mengesan perubahan dalam medan elektrik dalam persekitaran terdekatnya. Sesetengah jenis ikan mengesan perubahan medan elektrik berhampiran secara pasif; ada yang menjana medan elektrik sendiri yang lemah, dan mengesan corak potensi medan di seluruh permukaan badan; dan ada juga yang menggunakan kebolehan menjana atau mengesan medan elektrik ini untuk tujuan komunikasi sosial.
Satu-satunya order mamalia yang diketahui berupaya elektrosepsi ialah order monotrema, termasuklah platipus[17] yang paling kuat deria elektrosepsinya.
Pakar pengubahsuaian badan pernah menguji kaji bahan implan bermagnet untuk meniru deria ini,[18] tetapi secara amnya manusia dan kebanyakan mamalia lain mampu mengesan medan elektrik secara tidak langsung dengan mengesan kesan pada rambutnya. Contohnya, sebiji belon yang bercas elektrik boleh mengeluarkan daya pada bulu lengan manusia yang boleh dikenal pasti sebagai berasal dari cas statik (bukannya angin atau sebagainya). Sebenarnya iniu bukan elektrosepsi, sebaliknya merupakan tindakan kognitif pasca penderiaan.
  • Magnetosepsi (atau "magnetoresepsi") ialah keupayaan mengesan perubahan dalam medan magnet yang paling kerap ditemui dalam burung, dan juga serangga seperti lebah. Sungguhpun tidak dinafikan deria ini wujud dalam kebanyakan spesis burung (kerana deria ini penting untuk kebolehan mengemudi bagi burung penghijrah), namun fenomena ini belum dapat difahami secara mendalam.[19] Sebuah kajian mendapati bahawa lembu juga menggunaan deria ini kerana diperhatikan selalu menjajarkan dirinya mengikut arah utara atau selatan.[20] Bakteria megnetotaktik menghasilkan "magnet" halus dalam dirinya untuk menentukan haluan dirinya mengikut medan magnet Bumi.[perlu rujukan]

Kebudayaan sunting

Lima deria atau pancaindera dirangkakan sebagai "lima kebolehan duniawi" (pañcannaṃ indriyānaṃ avakanti) dalam kesusasteraan agama Buddha, yang dinyatakan secara alegori dalam catatan-catatan seawal Katha Upanishad (kira-kira abad ke-6 SM), dalam bentuk lima ekor kuda menarik "rata" tubuh, mengikut panduan minda sebagai "pemandu".

Gambaran alegori pancaindera menarik raai pelukis abad ke-17, terutamanya di kalangan pelukis Fleming dan Belanda. Contohnya, lukisan Alegori Pancaindera oleh Gérard de Lairesse (1668), yang mana setiap watak dalam kelompok utama melambangkan deria: penglihatan dilambangkan oleh kanak-kanak lelaki bersandar dengan cermin cembung, pendengaran dilambangkan oleh kanak-kanak lelaki seakan dewa asmara yang memegang kerincing, deria bau dilambangkan oleh anak gadis berbunga, deria rasa dilambangkan oleh wanita yang memegang buah-buahan dan deria sentuhan pula diwakili oleh wanita yang memegang seekor burung.

Lihat juga sunting

Pusat penyelidikan sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Monier-Williams, Monier (1981). A Sanskrit-English Dictionary. Delhi, Varanasi, Patna: Motilal Banarsidass. m/s. 167. - melalui Edi Sedyawati dkk. (1994). Kosakata Bahasa Sanskerta dalam Bahasa Melayu Masa Kini. Jakarta, Indonesia: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. m/s. 79–80.
  2. ^ "Senses". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-09. Dicapai pada 2009-07-05.
  3. ^ JewishEncyclopedia.com - SENSES, THE FIVE
  4. ^ Media, Kompas Cyber. "Sistem Indera Manusia: Macam dan Fungsinya Halaman all". KOMPAS.com. Dicapai pada 28 Februari 2021.
  5. ^ Singh, N. K.; Mishra, A. P. (2010). "Indriya". Global Encyclopaedia of Indian Philosophy. 1: A-I. m/s. 336,338.
  6. ^ Rhys Davids, T. W. & Stede, William, penyunting (1921). "indriya". The Pali Text Society’s Pali–English Dictionary. Chipstead: Pali Text Society. m/s. 122.CS1 maint: multiple names: editors list (link)
  7. ^ Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa & Pustaka
  8. ^ Magnetic fields and the central nervous system, Clinical Neurophysiology, Volume 111, Issue 11, Pages 1934 - 1935, A . Voustianiouk
  9. ^ "The Sense of Taste". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-04-08. Dicapai pada 2009-07-05.
  10. ^ Press Releases - Nature Neuroscience
  11. ^ Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa & Pustaka
  12. ^ http://www.roblesdelatorre.com/gabriel/GR-IEEE-MM-2006.pdf Diarkibkan 2014-01-24 di Wayback Machine Robles-De-La-Torre 2006
  13. ^ Functional MR Imaging of Regional Brain Activation Associated with the Affective Experience of Pain -- Robert K. Fulbright et al., American Journal of Roentgenology, 2001; vol. 177, pages 1205-1210
  14. ^ Dorland's Medical Dictionary 26th edition, under sense
  15. ^ "The illustrated story of the Vampire bat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-11-04. Dicapai pada 2007-05-25.
  16. ^ "Directional Selectivity in the Simple Eye of an Insect". Dicapai pada 2009-05-20.
  17. ^ "Electroreception in the Platypus". Diarkibkan daripada yang asal pada 1998-12-06. Dicapai pada 2009-07-05.
  18. ^ "Implant gives artist the sense of "magnetic vision"". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-04-26. Dicapai pada 2007-05-25.
  19. ^ The Magnetic Sense of Animals
  20. ^ BBC science news article

Pautan luar sunting