Kristian Timur terdiri daripada tradisi-tradisi dan gereja-gereja Kristian yang berkembang buat beberapa abad di Balkan, Eropah Timur, Asia, Timur Tengah, Afrika, India, dan beberapa tempat di Timur Jauh.

Istilah ini digunakan secara amnya dalam Kristian Barat untuk memerikan semua tradisi kristian yang membangun di luar daripada tradisi Kristian Barat di Eropah Barat. Justeru, istilah ini tidak menggambarkan sesuatu golongan (communion) ataupun sesuatu tradisi keagamaan; malah beberapa Gereja "Timur" mempunyai lebih kesamaan dari segi sejarah dan teologi dengan Kristian "Barat" daripada kesamaan dengan Gereja Timur lain. Gereja-gereja Timur yang pelbagai lazimnya tidak menggelarkan diri sebagai "Timur" melainkan Gereja dari Timur.

Dari segi ini, kata-kata "Timur" dan "Barat" muncul daripada perpecahan Gereja yang mencerminkan perpecahan budaya antara Yunani di timur dengan Latin di barat, dan perpecahan politik antara Empayar Rom Barat yang lemah dengan Timur yang lebih kuat. Oleh sebab gereja yang paling berkuasa di Timur ialah apa yang kini disebut gereja Ortodoks Timur, istilah "Ortodoks" sering digunakan secara longgar untuk merujuk kepada "Timur", walaupun secara hakikinya, kebanyakan Gereja menganggap diri mereka sama ada sebagai golongan Ortodoks ataupun Katolik.