Muhammad Abdullah (Negeri Sembilan)

Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Laksamana Pertama (K) Dato' Haji Muhammad bin Dato’ Haji Abdullah (Jawi: داتوق حاج محمد بن داتوق حاج عبدالله) ialah seorang pembesar memerintah tempatan di Negeri Sembilan, Malaysia. Baginda ialah Undang Luak Johol yang ditabalkan pada 2016.[1] Sebelum dilantik sebagai Undang, beliau telah menjawat jawatan Timbalan Undang yang digelar Dato' Baginda Tan Mas sejak 2007. Baginda telah menubuhkan Yayasan Undang Johol bertujuan menjaga kebajikan penduduk tanpa mengira bangsa rakyat yang tinggal di jajahan luak baginda.[2] [3]

Muhammad Abdullah
محمد عبدالله
Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia
Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan
Undang Luak Johol
Pemerintahan7 Oktober 2016 - kini
Kerjan/Tabal24 - 29 Mac 2017
Didahului olehMohd Jan Abdul Ghani
Dato' Baginda Tan Mas
Tempoh2007 - 2016
Didahului olehMohd Jan Abdul Ghani
Diikuti olehSahabudin Ibrahim (sebagai Dato' Baginda Luak Johol)
Keputeraan (1966-01-02) 2 Januari 1966 (umur 58)
Kampung Tanggai, Johol, Negeri Sembilan
PasanganTok Puan Hajah Faridah Hanom binti Haji Jaafar
Anakanda5
KerabatWaris Baruh
AyahandaDato' Haji Abdullah bin Che Mat
BondaDatin Hajah Ajal binti Katik
AgamaSunni Islam
PekerjaanGuru sandaran
Pegawai Insurans
Pengarah dan Pengerusi Syarikat

Kehidupan peribadi sunting

Baginda dilahirkan pada 2 Januari 1966 di Kampung Tanggai, Johol daripada keluarga suku Biduanda Waris (Perut Baroh, Johol) iaitu suku dari nasab ibunya Allahyarhamah Ajal Katik, yang layak mewarisi pusaka nenek Sitiawan, yang mengasaskan institusi Undang Luak Johol pada tahun 1723. Ayahanda baginda, Allahyarham Abdullah Che Mat adalah pesara Jabatan Kerja Raya.

Baginda merupakan anak bongsu daripada enam adik beradik.

Pendidikan sunting

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Tunku Besar Tampin dan kemudian terpilih memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sehingga tamat pengajian tingkatan enam dalam jurusan sastera pada tahun 1979.

Kemudian, baginda melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor pada tahun 1986 dan menerima Diploma in Business (Insurance Business Management) pada tahun 1990.

Kerjaya sunting

Baginda pernah menjadi guru sandaran mengajar Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani di tiga buah sekolah di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap di Johol, SMK Palong Empat dan Sekolah Menengah Teriang Hilir, Jelebu.

Baginda kemudiannya meninggalkan profesion perguruan dan menjadi pegawai insurans dengan Syarikat Takaful, Bank Islam Malaysia Berhad.

Tidak lama selepas itu, baginda menceburi bidang perniagaan dan menjadi pengarah serta pengerusi kepada beberapa syarikat.

Keluarga sunting

Hasil perkahwinan baginda dengan pasangannya, baginda berdua dikurniakan 3 orang Putera dan 2 orang Puteri.

Penglibatan sunting

Baginda juga merupakan seorang aktivis masyarakat yang aktif melakukan kerja amal termasuk menjadi pengerusi Kebajikan Dato'-Dato' Adat Johol, pengerusi Tahfiz Masjid Tanggai, naib pengerusi Persatuan Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan, penaung Pertubuhan Rakan Pembimbing dan Motivasi Al Ghoniah (pusat tahfiz), penaung Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Suku Mungkal Johol Negeri Sembilan (Mungkajoho) dan penaung Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia (YPMM).

Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol sunting

Pada 15 Disember 2016, Istana Besar Seri Menanti menyaksikan berlangsungnya Istiadat Menghadap Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah ke bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol.

Muhammad telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15 menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac lepas kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.

Beliau sebelum ini memegang jawatan Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol) sejak 13 Julai 2007.

Turut berkenan menyaksikan Istiadat Menghadap itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu, pada istiadat itu, Muhammad dan isteri Tok Puan Faridah Hanom Jaafar diarak dengan diiringi kira-kira 300 anggota rombongan Undang Luak Johol ke Istana Besar Seri Menanti dengan paluan rebana.

Pada istiadat itu, Muhammad melafazkan sembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, diikuti titah ucapan Tuanku Muhriz dan disusuli tembakan tiga das meriam.

Sesudah titah ucapan baginda, hadirin mengaminkan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Nor Azamir Alias dan disusuli dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan.

Istiadat diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Dewan Banquet, Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.[4]

Istiadat Kerjan sunting

Pengisytiharan Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah, sebagai Undang Luak Johol ke-15, mencapai kemuncak hari ini apabila Istiadat Kerjan diadakan di Johol di sini.

Kerjan bermaksud pertabalan mengikut adat sesuatu luak selepas seseorang itu dilantik menjadi Undang.

Negeri Sembilan mempunyai empat luak yang mempunyai Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Johol manakala Luak Tampin diketuai oleh Tunku Besar Tampin.

Istiadat Kerjan kali ini diadakan selepas Muhammad, 51, dipilih pada 27 Mac 2016 untuk memegang jawatan itu bagi menggantikan penyandang yang dipecat kerana melakukan kesalahan berkaitan adat luak itu.

Pelantikan itu kemudian disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang, iaitu badan tertinggi berkaitan adat dan institusi Undang, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, diikuti pengesahan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan, Oktober lalu.

Istiadat Kerjan bermula kira-kira jam 8 pagi tadi, iaitu mandi bersiram di Perigi Gondang, yang terletak di Kampung Bukit Istana dekat Air Mawang di sini.

Adat ini mempunyai simbolik, iaitu membersihkan fizikal dan jiwa Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu.

Ini diikuti Adat Menaikkan Daulat di Makam Gobah, iaitu gelaran kepada Undang Luak Johol ke-6, Datuk Abu Bakar (1820-1840) yang dikatakan berdaulat dan mempunyai ilmu luar biasa.

Ini dilakukan dengan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat di Makam Gobah yang terletak kira-kira 100 meter dari perigi itu.

Kerjan diakhiri dengan istiadat menjunjung kasih dan ikrar taat setia oleh Datuk Adat, Ibu Waris dan Ibu Soko serta pembesar lain di Luak Johol di Balai Undang Johol di Renggoh di sini.[5]

Menubuhkan Yayasan Undang Johol sunting

"Yayasan ini bertujuan menjaga kebajikan penduduk tanpa mengira bangsa rakyat yang tinggal di jajahan luak saya. Kini proses menubuhkan yayasan berada pada peringkat akhir dan dapat direalisasikan pada tahun ini", katanya, disini.

Sementara itu, Muhammad berhasrat bekerjasama dengan pelbagai pihak membantu memajukan tanah adat yang terbiar dengan mengusahakan tanaman herba sekaligus dapat menjana pendapatan penduduk setempat.

Beliau berkata, ketika ini sudah ada pelabur yang berminat untuk mengusahakan tanaman yang mendapat permintaan untuk dieksport ke China.

Selain itu, bagi mendekati generasi muda, saya bercadang mengadakan aktiviti bersukan seperti bola sepak serta mewujudkan galeri adat supaya mereka lebih mengenali Undang," katanya.

Latar belakang Yayasan Undang Johol sunting

Yayasan Undang Johol merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpaksikan kebajikan yang tidak bermotifkan keuntungan. Penubuhannya diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato' Haji Muhammad bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol setelah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15 pada 27 Mac 2016.

Yayasan ini ditadbir oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan dikawal oleh Lembaga Pemegang Amanah yang dipengerusikan oleh Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Johol. Urusan pentadbiran yayasan adalah berpandukan sebuah perlembagaan yang dinamakan Surat Ikatan Amanah (Trust Deeds) di mana kelulusannya dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Januari 2018 (No.Pendaftaran PPAB - 03/2018)

Objektif Yayasan Undang Johol sunting

Objektif utama penubuhan Yayasan Undang Johol ini adalah untuk membantu masyarakat di luak Johol khususnya dan warga Malaysia amnya, tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan dalam bidang seperti berikut:

1) Hal-hal kebajikan dan kesejahteraan golongan yang lemah fizikal dan mental, warga emas, ibu tunggal, anak yatim, orang yang terlantar akibat sakit kronik serta golongan penduduk miskin yang tercicir dalam arus pembangunan

2) Memperkasa pendidikan anak-anak dengan memberi motivasi, bantuan kewangan, tuisyen, barangan persekolahan/pembelajaran dari peringkat pra-sekolah sehingga pengajian di peringkat kolej/universiti.

3) Memberi bantuan kecemasan, kemanusiaan dan kewangan kepada mangsa akibat berlakunya kemusnahan dan malapetaka bagi meringankan beban kesusahan dan kepayahan hidup yang dihadapi akibat wabak penyakit dan lain-lain bentuk bencana.

Anugerah dan pengiktirafan sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Larangan penggunaan lambang Luak Johol". BH. 10 November 2016. Dicapai pada 11 September 2023.
  2. ^ "Muhammad mahu kembalikan fungsi Undang". Berita Harian. 26 Mac 2017. Dicapai pada 12 Mei 2024.
  3. ^ "Facebook Yayasan Undang Johol". Yayasan Undang Johol. 16 Jun 2022.
  4. ^ "Istiadat menghadap Undang Luak Johol di Istana Seri Menanti". BH. 15 Disember 2016. Dicapai pada 11 September 2023.
  5. ^ "Kerjan lengkapkan pelantikan Undang Luak Johol". Berita Harian. 23 Mac 2017. Dicapai pada 12 Mei 2024.