Muzium Telekom sekarang dikenali sebagai Muzium Telekomunikasi Negara. Ia terletak di antara Jalan Raja Chulan dan Jalan Gereja, Kuala Lumpur. Terletak di persimpangan Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan, bangunan ini yang dahulunya lebih dikenali sebagai Bangunan Wilayah Selangor (Selangor Region) telah siap dibina pada tahun 1928, bercirikan senibina Greek. Tujuan pembinaannya ialah untuk menempatkan ibusawat telefon manual jenis central battery. Bangunan ini dilengkapkan dengan sebuah ruang kabel bawah tanah dan susun atur lantai bagi disesuaikan dengan peralatan telekomunikasi pada waktu itu. Rekabentuk binaannya menjadi contoh terbaik bagi bangunan ibusawat telefon di Malaya ketika itu. Bangunan MTN pada asalnya direka dengan pelan berbentuk huruf ‘G’ dan mempunyai koridor bersempadan dalam yang mengandungi sebuah gelanggang khidmat. Seperti bangunan-bangunan kolonial sezaman dengannya, bangunan setinggi tiga tingkat ini dibina secara pertukangan batu mengikut berat dan struktur. Untuk memudahkan kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah bagi dewan-dewan operator telefon, lantai-lantai kayu yang ditinggikan dengan galang-galang keluli telah dibina ditingkat paling atas sekali.

Muzium Telekom

Oleh kerana rekabentuk bangunan ibusawat ini begitu praktikal, bahagian hadapannya telah dihias secara berlainan iaitu dengan ciri-ciri ketersergaman klasik. Susunan tingkap-tingkap berkaca secara simetri dan elemen-elemen berhias, mempamerkan gaya senibina dari fahaman neo-klasik yang diambil dari sumber-sumber corak kurun ke-19. Satu ciri senibina bangunan ini yang unik ialah deretan tiang-tiang ionia setinggi dua tingkat yang diapit oleh dua menara yang dibina secara bertentangan di bahagian hadapan.


Tiang roman neo classic

Dari tahun ke setahun, beberapa pindaan dan penambahan telah dibuat pada struktur bangunan yang asal. Penambahan yang ketara pada bangunan ini ialah pembinaan pejabat setinggi empat tingkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 1958 yang menyambungkan kedua-dua hujung, menjadikan gelanggang khidmat yang sedia ada menjadi satu telaga udara yang tertutup.

Pada awal tahun 1980an, Jabatan Telekom Malaysia (JTM) berhadapan dengan keperluan yang mendesak bagi menempatkan ruang-ruang pejabat dan peralatan peralatan telekomunikasinya di pusat bandaraya Kuala Lumpur. JTM telah merancang untuk membangunkan semula hartanahnya yang terletak di lokasi strategik di tengah tengah kawasan segitiga emas Kuala Lumpur. Maka Bangunan Wilayah Selangor yang terletak di kawasan tersebut telah dipilih untuk dibangunkan. Pada tahun 1984, sebuah bangunan setinggi 26 tingkat yang menempatkan ruang-ruang pejabat dan peralatan peralatan telekomunikasi telah dirancang untuk didirikan di tapak bangunan ini. Bagi memenuhi rancangan tersebut, Bangunan Wilayah Selangor yang penuh bersejarah ini terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan bangunan baru itu.

Usaha-usaha awal bagi pembinaan bangunan tersebut berjalan dengan lancar. Dalam pelan pembinaan arkitek, bahagian hadapan Bangunan Wilayah Selangor yang menempatkan tiang-tiang ionia akan dikekalkan sebagai lambang sejarah bangunan baru yang bakal didirikan. Walau bagaimanapun, pelan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana kawasan itu diperlukan untuk projek pembesaran jalan yang dimestikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Selepas membuat beberapa pindaan pada pelan pembinaan asal, pelan pembinaan yang baru telah mendapat kelulusan daripada pihak DBKL.

Pada pertengahan tahun 1984, kerja-kerja merobohkan bangunan tambahan yang dibina pada tahun 1958 telah dimulakan untuk membina terowong bagi laluan kabel-kabel telekomunikasi seperti yang terkandung dalam pelan pembinaan. Ketika kerja-kerja perobohan sedang giat berjalan, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Dato’ Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad (sekarang bergelar Tun), telah melalui tapak pembinaan tersebut. Beliau menyarankan agar bangunan yang penuh bersejarah ini dapat dikekalkan sebagai salah sebuah bangunan warisan negara. Hasil saranan Perdana Menteri itu, tindakan segera diambil oleh JTM dan JKR untuk menilai semula projek pembinaan tersebut. Satu arahan pemeliharan telah dikenakan terhadap bangunan ini pada bulan April 1985 yang mewartakan supaya ia dipelihara kerana warisan senibina dan nilai sejarahnya.

Rancangan pembangunan telah dikaji semula. Bagi pelan pembangunan semula bangunan JTM, ia memerlukan satu keperluan yang lebih sensitif dalam pembangunan bandar bagi melengkapkan pembangunan baru dengan bangunan-bangunan lama yang dalam pemeliharaan di bawah syarat-syarat dalam konteks senibina dan keseimbangan.

Konsep pembangunan semula yang perlu diambil kira seperti berikut.

  1. Pembangunan yang komprehensif dan bersepadu bagi bangunan lama dan bangunan baru untuk menggiatkan semula alam sekitar perbandaran di kawasan itu.
  2. Usaha positif dalam pengubahsuaian fungsian untuk penggunaan semula yang sesuai bagi mengekalkan dan meningkatkan keistimewaan tempat itu sebagai satu pengalaman yang istimewa.
  3. Untuk mencipta satu ruang pengalaman untuk orang ramai dari usaha-usaha senibina dan seni taman.
  4. Hasil daripada kajian semula, maka satu ketetapan telah diambil iaitu menjadikan Bangunan Wilayah Selangor sebagai sebuah muzium yang mempersembahkan sejarah dan perkembangan telekomunikasi di Malaysia untuk tatapan umum.

Terletak di atas hartanah yang bernilai tinggi di sudut jalan ternama di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, keperluan pembangunan semula boleh mencetuskan penentangan dengan usaha-usaha pemuliharaan bangunan ibusawat telefon lama ini. Pengubahsuaian bangunan lama ini sebagai muzium adalah meluas dan bukan setakat pemuliharaan yang pasif; pemulihan dibuat dari struktur ke fungsi yang melambangkan bangunan ini sebagai satu harta bersejarah.

Memandangkan perkhidmatan Jabatan Telekom Malaysia telah diswastakan sebagai Syarikat Telekom Malaysia Berhad pada tahun 1987, MTN yang dicadangkan akan juga menjadi satu model pusat perniagaan bagi mempromosikan kemudahan perkhidmatan telekomunikasi kepada orang ramai. Ruangan di tingkat paling bawah yang terletak berhadapan dengan jalan raya akan dijadikan pusat perniagaan yang mengandungi bilik pameran peralatan-peralatan telekomunikasi dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh kumpulan TM untuk kemudahan para pelanggan.

Selain pusat perniagaan, turut ditempatkan di bangunan MTN ialah ruang pejabat, bilik mesyuarat dan kafeteria di samping galeri pameran. Di tingkat satu dan dua akan dijadikan galeri pameran yang menempatkan koleksi artifak-artifak dan bahan-bahan pameran yang berkaitan dengan perkembangan sejarah telekomunikasi di Malaysia.

Galeri pameran di tingkat satu dan dua akan dihubungkan dengan tangga berlingkar. Apabila siap diubahsuai kelak, ruangan kabel bawah tanah dan terowong akan turut dijadikan sebahagian daripada pameran.

Bagi keperluan operasi pusat perniagaan dan muzium, kemudahan elektrikal dan pendingin udara turut dipertingkatkan supaya keadaan di dalam bangunan akan lebih selesa dan terkawal. Peralatan-peralatan baru dan moden serta perkhidmatan disepadukan dengan teliti, sejajar dengan syarat pemuliharaan bangunan bersejarah.

Projek pembangunan semula Bangunan Wilayah Selangor untuk dijadikan Muzium Telekomunikasi Negara dijalankan oleh KDA Partnership Architect. Pada tahun 1989 hingga 1992, kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian yang menelan belanja kiri-kira RM7 juta giat dijalankan. Pengubahsuai yang dijalankan tidak boleh mengubah bentuk asal bangunan kerana terikat dengan peraturan bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan sejarah. Kerja-kerja melengkapkan galeri pameran dan bilik operasi MTN dijalankan pada tahun 1993 menelan belanja kira-kira RM3 juta.

Dengan tertubuhnya Muzium Telekomunikasi Negara, bangunan yang bersejarah ini dapat dikekalkan dalam bentuk asalnya dan menjadi sebagai salah sebuah bangunan bersejarah di Kuala Lumpur.

Galeri sunting

Muzium Telekom menyediakan dua buah galeri untuk dikunjungi oleh para pengunjung. Galeri sejarah di aras satu manakala galeri moden di aras dua. Galeri-galeri ini mempersembahkan satu bentuk pameran secara interaktif yang unik dan menarik yang menceritakan kewujudan sistem komunikasi bermula sejak era manusia pra sejarah sehinggalah berkembang ke era serba moden. Pengunjung-pengunjung turut disajikan dengan pengalaman mendengar sendiri situasi-situasi atau penerangan-penerangan tentang sesuatu sejarah melalui gagang-gagang telefon atau bunyi audio yang terdapat disepanjang laluan galeri.

Galeri Sejarah sunting

Imbauan bermula dari lukisan-lukisan di dinding-dinding gua, membuktikan sistem komunikasi telah wujud sejak dahulu lagi. Kemudian kita akan dibawa mengembara mengimbau kembali ke era bermulanya telekomunikasi moden sekitar 1870an, apabila telegraf dan telefon tercipta, serta bagaimana ianya dibawa masuk ke Tanah Melayu. Hari demi hari, manusia semakin cerdik, setelah telegraf dan telefon dicipta, muncul pula telekomunikasi radio yang hanya menggunakan gelombang mikro untuk berhubung. Tanah Melayu tidak ketinggalan dalam arus pemodenan telekomunikasi ini apabila stesen-stesen telegraf, ibusawat-ibusawat telefon dan stesen-stesen radio didirikan.

Tahun 1940an mencalit kenangan pahit di seluruh dunia apabila tercetusnya perang dunia kedua. Penaklukan Jepun di Tanah Melayu dari tahun 1941 hingga 1945 menyaksikan kemusnahan besar-besaran sistem telekomunikasi. Para pengunjung dapat merasai sendiri kesan kemusnahan tersebut melalui gambar-gambar yang dipamerkan di galeri sejarah.

Untuk anak-anak yang lahir selepas ibusawat-ibusawat telefon secara digital diperkenalkan, mereka boleh merasai bagaimana ibu bapa mereka dahulu menggunakan telefon untuk berhubung melalui bantuan telefonis. Dipertontonkan di satu sudut di galeri sejarah, bagaimana telefonis-telefonis menjalankan tugas mereka untuk menyambungkan setiap panggilan ke destinasi-destinasi yang diminta. Suasana yang dipersembahkan seakan-akan kita berada di pusat-pusat telefonis suatu ketika duhulu.

Menyusuri tangga berlingkar yang menyambungkan galeri sejarah di aras satu dengan galeri moden di aras dua, pada setiap pendakian anak-anak tangga, pengunjung-pengunjung dapat menyaksikan gambar pelancaran roket ke angkasa dan juruteknik-juruteknik JTM sedang membaiki kerosakan pada kabel over head. Setibanya di galeri moden, para pengunjung pasti terpegun melihat ‘bandaraya Kuala Lumpur’ dan ‘stesen satelit bumi’ turut berada di sini.

Dipersembahkan dengan dua suasana, lampu-lampu bangunan menyala pada waktu malam dan terik mentari menyinar pada waktu siang, pasti mengasyikkan. Turut dipersembahkan di sini ialah produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM.

Pusat Sumber sunting

Pusat sumber Muzium Telekom terletak di aras dua, menyediakan ruang untuk orang ramai khususnya para pelajar di semua peringkat pendidikan untuk mendapatkan maklumat-maklumat tentang sejarah dan perkembangan telekomunikasi di Malaysia. Di antara bahan-bahan yang terdapat di sini ialah buku-buku laporan tahunan TM dari tahun 1946 hingga yang terkini, majalah-majalah terbitan TM seperti Mercury, Kawat , Telekom Media dan Telekom Journal, album-album gambar berkaitan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh TM serta majalah-majalah tentang telekomunikasi. Di samping bahan-bahan bacaan, turut dipamerkan di sini set-set telefon era 1930an hingga era 1980an dan kabel-kabel telefon yang pernah digunakan oleh TM.

Bilik Taklimat Dan Bilik Tayangan Setiap lawatan secara berkumpulan ke Muzium Telekom, para pengunjung akan diiringi oleh pegawai-pegawai muzium di sepanjang lawatan. Sebelum sesi lawatan ke galeri bermula, pengunjung-pengunjung akan dibawa ke bilik taklimat untuk satu sesi penerangan tentang sejarah Muzium Telekom dan perkembangan semasa TM. Selain digunakan untuk sesi taklimat kepada para pengunjung, bilik ini juga sering digunakan oleh unit-unit dan kelab-kelab di bawah TM untuk mengadakan aktiviti-aktiviti seperti penerangan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan TM serta mesyuarat kelab. Di akhir sesi lawatan, selepas para pengunjung selesai mengembara menerokai alam telekomunikasi di Malaysia, mereka akan dibawa ke bilik tayangan untuk mengakhiri sesi lawatan. Di sini para penyunjung dihidangkan dengan tayangan tentang sejarah bermulanya era telekomunikasi dan sejarah penubuhan Telekom Malaysia Berhad serta cabaran-cabaran yang terpaksa ditempohinya bermula dari Jabatan Telekom Malaysia lagi hingga ke hari ini.

Surau sunting

Untuk kemudahan menunaikan ibadah solat bagi pengunjung-pengunjung dan kakitangan TM yang bertugas di bangunan Muzium Telekom, pihak pengurusan Muzium Telekom amat prihatin terhadap keperluan tersebut. Sebuah bilik yang selesa dijadikan sebagai surau terletak di aras satu Muzium Telekom, bersebelahan bilik taklimat


TM Point (Kedai Telekom) sunting

Bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM, mereka boleh pergi ke TM Point yang terletak di aras bawah bangunan Muzium Telekom berhadapan Jalan Gereja. Satu ruangan yang luas dan selesa telah disediakan untuk kemudahan orang ramai berurusan. TM Point diuruskan oleh Telekom Sales & Sevices Sendirian Berhad, salah satu anak syarikat TM.

Lokasi Dan Waktu Operasi Muzium TM sunting

Muzium Telekom terletak di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur, satu lokasi yang amat strategik di tengah-tengah pusat bandaraya. Lokasi yang lebih tepat lagi ialah di persimpangan Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan. Kira-kira 600 meter dari sini, tegak berdiri menara telekomunikasi keempat tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur, anak syarikat TM yang menawar satu lagi tempat pelancongan yang perlu dilawati. Muzium Telekom dibuka untuk lawatan setiap hari kecuali hari cuti umum. Waktu lawatan bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Para pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran untuk melawat ke galeri Muzium Telekom.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Cik Aerin Gabor, Pengurus Komunikasi Korporat & Perhubungan Awam Muzium Telekom


Pautan luar sunting