Panca Persada ialah sebuah binaan bertingkat yang digunakan dalam istiadat diraja di beberapa buah negeri di Malaysia seperti Perak[1] dan Negeri Sembilan.[2] Ia dibina bertingkat-tingkat dan tingkat teratas merupakan tempat bersemayam bagi raja.

Sejarah, bentuk dan kegunaan sunting

Negeri Sembilan sunting

Panca Persada di Negeri Sembilan ialah tempat bersemayam khas bagi Yang di-Pertuan Besar apabila berada di luar istana dalam satu-satu istiadat di Wilayah Adat Lingkungan. Semasa pemerintahan Yamtuan Seri Menanti, panca persada terletak di Tanjung Beringin, manakala istana raja ketika itu ialah Istana Ampang Rambai. Semasa pemerintahan Yamtuan Muhammad, istana lama telah dibina. Semasa baginda dilantik sebagai Yamtuan Negeri Sembilan, Panca Persada masih lagi terletak di Tanjung Beringin. Apabila Istana Besar Seri Menanti siap dibina pada tahun 1930, Panca Persada baru telah dibina di Seri Menanti. Antara istiadat yang menggunakan panca persada ialah Istiadat Bersiram dalam istiadat perkahwinan diraja atau pertabalan.

Perak sunting

Panca Persada di Perak juga ialah tempat bersemayam bagi Sultan. Ia digunakan dalam istiadat bersiram diraja semasa siri perayaan istiadat tabal raja ataupun kerana bersiram dua pengantin diraja sebagai mengakhiri kerja perkahwinan. Panca Persada negeri Perak berkonsepkan piramid seperti binaan Borobudur dan dibina untuk pertabalan Sultan Perak dengan setiap tingkat diwarnakan dengan warna bendera negeri Perak iaitu putih, kuning dan hitam.

Panca Persada pada asalnya dibina di tengah-tengah Sungai Perak, sebelum dibina di perkarangan Istana Iskandariah.[1]

Rujukan sunting

  1. ^ a b Jasbindar, Freddie Aziz (2017-08-29). "Panca Persada Penting Untuk Pertabalan Sultan Perak". Dicapai pada 2024-03-25.
  2. ^ Shahira, Nini (2023-11-19). "Panca Persada, ulang ikrar taat setia kepada Yang Dipertuan Besar NS". Buletin TV3 (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-03-25.