Pejabat Daerah Lahad Datu

Pejabat Daerah Lahad Datu diwujudkan pada awal tahun 40-an dan jawatan Pegawai Daerah yang pertama disandang oleh seorang berbangsa Inggeris yang bernama G.W. White. Bermula pada tahun 60-an, jawatan Pegawai Daerah telah disandang oleh warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah.

Pejabat Daerah Lahad Datu merupakan nadi pentadbiran daerah dan menjadi tumpuan setiap jabatan serta orang awam dalam menyelesaikan urusan perkhidmatan, pembangunan dan keselamatan.

Pejabat Daerah Lahad Datu adalah sebuah jabatan kerajaan Negeri yang memberikan perkhidmatan kepada penduduk Lahad Datu dan Tungku. Ia menyelaraskan kegiatan-kegiatan 21 buah jabatan/ agensi Kerajaan Negeri/ agensi berkanun dan 44 jabatan/ agensi Kerajaan Persekutuan/ agensi berkanun di peringkat daerah.

PDLDPegawai Daerah Lahad Datu adalah bertanggungjawab mengikut aliran kuasa (Lineally responsible) kepada Yang Berhormat Setiausaha kerajaan Negeri dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Sabah dalam perkara pentadbiran pejabat, pengurusan personel, dan pengurusan projek-projek kecil pembangunan luar bandar.

Beliau juga bertanggungjawab secara fungsi (Functionally responsible) kepada jabatan-jabatan/agensi-agensi lain di peringkat Negeri dalam berbagai bidang fungsi yang dijalankan di peringkat daerah yang merangkumi kawasan seluas 657,372 hektar dengan penduduk seramai lebih kurang 306,360 orang (Lahad Datu 226,360 orang & Tungku - 80,000 orang). Secara umumnya, Pejabat Daerah Lahad Datu terbahagi kepada beberapa unit iaitu Bahagian Pentadbiran, Kewangan dan Hasil, Bahagian Pembangunan dan Pentadbiran Luar Bandar dan Bahagian Hal Ehwal Anak Negeri. Pegawai Daerah dibantu oleh 2 orang Penolong Pegawai Daerah yang mana masing-masing mengetuai Bahagian Pentadbiran, Kewangan dan Hasil dan Bahagian Pembangunan dan Pentadbiran Luar Bandar. Pegawai Daerah juga dibantu oleh seorang Pembantu Tadbir Kanan di Pejabat Urusetia Kecil Tungku bagi menguruskan pentadbiran di daerah Tungku. Hal-ehwal Anak Negeri pula, di ketuai oleh oleh seorang Ketua Daerah.

Bangunan Pejabat Daerah ini turut menjadi bangunan pinjaman kepada beberapa organisasi lain iaitu Jabatan Perkhidmatan Kebajikan, RELA, JHEAINS, Jabatan Bendahari Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri yang turut berada di bawah kawalan Pejabat Daerah Lahad Datu.

Rujukan sunting

[[1]]