Pertempuran Elbistan

Pertempuran Elbistan tercetus pada 15 April 1277 antara pihak Empayar Mongol dan Mamluk. Sultan Baibars telah berarak dari Syria ke wilayah Kesultanan Seljuk yang telah dikuasai Mongol. Baibars telah melancarkan serangan ke atas kawasan tersebut di tempat yang dikenali sebagai Elbistan (Abulustayn).[4] Selepas tiba di Elbistan bersama kira-kira 10,000 tentera berkuda, Baibars bersedia untuk bertempur dengan tentera Mongol yang memiliki kekuatan seramai kira-kira 30,000 orang. Angkatan tentera Mongol diperkukuhkan oleh tentera tambahan dari Seljuk dan juga Georgia.

Pertempuran Elbistan
Sebahagian daripada Perang Mamluk-Ilkhanat
Tarikh15 April 1277
Lokasi
Keputusan Kemenangan Mamluk
Pihak yang terlibat
Ilkhanat
Kerajaan Georgia
Kesultanan Mamluk
Komandan dan pemimpin
Tudawan Baibars
Amir Sunqur al-Ashqar
Kekuatan

14,000[1]

  • 11,000 Mongol[2]
  • 3,000 Georgia[2]
  • Tidak diketahui bilangan tentera Seljuk[2]
14,000[1]
Kerugian dan korban
6,000-10,000 Mongol, 2,000 atau lebih bagi Georgia dan Seljuk[2][a] Sedikit[3]

Latar belakang sunting

Selepas Pertempuran Ain Jalut terjadi pada September 1260, tentera Mongol sekitar 6,000 orang dipimpin oleh Baidar kembali ke Syria. Tentera Mongol ini ditewaskan oleh pasukan pertahanan gabungan dari Homs, Hama dan Aleppo. Pertempuran ini tercetus berhampiran dengan kubur Khalid bin al-Walid dan tentera Mongol ternyata tewas kerana menghadapi cabaran alam semula jadi iaitu kabus yang tebal sehingga mengganggu keberkesanan strategi mereka. Sementara itu, suku Arab Badwi melancarkan tentangan ke atas penceroboh Mongol tepat pada masanya. Pertempuran Homs Pertama menyaksikan tentera Mamluk menghadapi angkatan tentera Mongol lebih besar berjaya menangkis serangan Mongol tersebut dengan memanfaatkan pertahanan kota yang kukuh. Serangan ini juga merupakan serangan Mongol terakhir ke atas Syria pada dekad 1260-an.

Hulagu Khan menghabiskan tahun-tahun berikutnya dengan berperang menentang pemimpin Angkatan Kencana, Berke di kawasan moden Azerbaijan. Pada Februari 1265, Hulagu meninggal dunia dan digantikan oleh anaknya, Abaqa. Baibars telah menggunakan masa ini di sebalik kekacauan yang berlaku dalam kerajaan Mongol untuk menyerang kubu kuat negara Salib. Dari bulan Februari hingga April 1265, Baibars telah menguasai kota Caesarea, Haifa, Arsuf dan Galilee serta menceroboh Cilicia. Pada tahun 1268, kota Antokiah pula jatuh ke tangan Baibars. Pada tahun tahun 1270 dan 1271, ketika Abaqa sedang menghadapi serangan dari Kekhanan Chagatai dan Neguderi di Timur Jauh, Baibars telah mengambil kesempatan ini untuk menguasai kubu penting Krak des Chevaliers dan Montfort. Bahkan, beliau turut merancang untuk menyerang Tripoli yang merupakan salah satu negeri naungan Ilkhanat.

Hulagu dan para penggantinya telah mengutus surat kepada paus dan pemerintah-pemerintah di Eropah untuk mengadakan satu kerjasama bagi menentang Mamluk dan bersama-sama menewaskan mereka. Namun, seruan ini tidak dipedulikan oleh pemerintah Eropah. Kempen Perang Salib yang diketuai oleh Raja Louis IX telah menemui kegagalan di Tunis pada 1270 sekali gus ia telah melemahkan semangat perjuangan untuk Perang Salib dalam kalangan masyarakat Eropah. Namun, kegagalan tersebut tidak melunturkan semangat bakal Raja England, Edward I untuk menyahut seruan tersebut. Beliau telah tiba di kota Acre pada Mei 1271 bersama dengan kontinjen kecil. Abaqa pula telah mengirim satu angkatan tentera kecil yang dipimpin oleh Samagar, komander Mongol di Rûm untuk membantu raja England itu. Walau bagaimanapun, tentera Samagar berundur ekoran ketibaan Baibars. Tentera Edward juga tidak dapat menjalankan kempen dengan berkesan di Syria lalu beliau membuat keputusan untuk berlayar pulang ke England.

Dalam pasukan Samagar, antara anggota yang terlibat dalam kempen serbuan ialah Muinuddin Sulaiman atau dikenali sebagai Pervâne. Pervâne merupakan tokoh yang berkuasa memerintah negara sisa daripada Kesultanan Seljuk. Hal ini demikian kerana Sultan Seljuk iaitu Sultan Kaykhusraw III masih lagi kecil lalu membolehkan Pervâne bertindak sebagai gabenor bersama dengan Samagar bagi membentuk satu hubungan yang stabil. Namun keadaan ini mula berubah apabila Abaqa telah menghantar adiknya, Ajei untuk bekerjasama dengan Samagar. Akibat rasa menjengkelkan dan terbeban di bawah Ajei, Pervâne telah meminta Abaqa untuk membawa pulang Ajei semula dengan mendakwa bahawa adiknya itu membuat kerjasama dengan Baibars. Abaqa telah berjanji untuk membuat demikian namun tindakannya itu telah dilengahkan. Dengan rasa yang kecewa, Pervâne mengirim surat kepada Baibars. Perasaan aneh terdetik dalam hati Sultan Baibars tetapi beliau tidak ingin mengungkapkannya. Reaksi Baibars dibalas semula kepada Pervâne pada tahun 1274. Pada masa itu, Samagar dan Ajei telah digantikan oleh Toqa Noyan dan Pervâne tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Di bawah Toqa Noyan, pengaruh Mongol di Anatolia terus meningkat manakala bidang kuasa Pervâne pula semakin terhad.

Pada November 1275, tentera Mongol mengepung Al-Bira tetapi Baibars telah mengetahui gerakan Mongol dengan lebih awal hasil maklumat daripada Pervâne. Pada masa yang sama, sekumpulan amir daripada Kesultanan Seljuk berjumpa Baibars dan menggesanya untuk melancarkan serangan. Dengan mengira bahawa jumlah sokongan Seljuk yang besar kepadanya, beliau bersetuju. Baibars telah merombak dan menyusun bala tenteranya pada musim sejuk 1276 dan mula mara pada Februari 1277. Semasa Baibars meneruskan kemaraan melalui perairan Sham, Pervâne telah kehilangan pengaruhnya di Rûm ekoran pemberontakan yang dicetuskan oleh orang Turk. Satu pasukan Mongol baru yang diketuai oleh Tudawan telah bertindak menghukum amir-amir yang pernah berhubung dengan Baibars sebelum ini. Di Syria, Baibars telah menghantar kumpulan kecil pasukannya dari Aleppo menuju ke Sungai Euphrates untuk mengalih perhatian musuh manakala pasukan utamanya berarak memasuki Anatolia pada awal bulan April. Selepas mengasak tentera Mongol yang mempunyai kekuatan 3,000 orang di Pergunungan Taurus, laporan yang menyatakan bahawa Tudawan telah mendirikan kem berhampiran kota Elbistan telah sampai kepada Baibars. Baibars kemudian mengadakan mesyuarat dan perbincangan dalam kalangan tenteranya pada 15 April 1277.

Pertempuran sunting

Pasukan tentera Tudawan memiliki kekuatan kira-kira 14,000 orang dan dibahagikan kepada 11 kontinjen yang masing-masing mempunyai 1,000 tentera. Setiap kontinjen tersebut kebanyakannya terdiri daripada kavalri berat Turki yang mempunyai ciri-ciri sama seperti Mongol. Kontinjen yang ke-12 pula terdiri daripada 3,000 orang tentera dari Georgia. Satu angkatan tentera yang agak sama seperti kontinjen yang lain telah dikendalikan oleh Pervâne. Pasukan Pervâne terdiri daripada tentera Rûm dan diasingkan daripada barisan tentera Tudawan yang lain kerana Tudawan sendiri tidak percaya akan kesetiaan Pervâne. Peninjau Tudawan gagal untuk menganggar saiz angkatan tentera Mamluk yang diyakini oleh mereka bahawa saiz tentera musuh lebih kecil dan tidak dipimpin oleh Baibars. Secara hakikatnya, jumlah angkatan tentera Mamluk lebih besar berbanding Mongol dengan memiliki kelebihan beberapa ribu orang tentera.

Oleh kerana tentera Mamluk memasuki dataran yang sempit, mereka tidak dapat menyusun semua tentera dengan teratur. Pasukan tengah Mamluk berada di belakang pasukan sayap kiri mereka. Pertempuran telah dimulakan oleh pasukan sayap kiri Mongol yang melancarkan serangan anak panah ke atas pembawa panji Mamluk di bahagian tengah sebelum pertempuran sengit bermula. Pasukan tengah Mamluk seolah-olah kelemasan hasil serangan hebat oleh Mongol. Keadaan yang sama berlaku kepada pasukan sayap kiri Mamluk yang terdedah akan serangan oleh pasukan sayap kanan Mongol. Situasi getir ini mencemaskan pihak Mamluk. Pada saat ini, suku Badwi yang menyebelahi Mamluk telah melarikan diri daripada medan pertempuran. Pasukan Baibars kemudiannya menyertai pasukan sayap kiri Mamluk untuk mengukuhkan bala tenteranya. Mereka berhasil menangkis serangan Mongol sehingga pasukan musuh terpaksa membuka langkah untuk berundur. Tempoh jeda yang singkat membolehkan Mamluk menguatkan barisannya semula sebelum menghasilkan serangan balas. Tentera Mongol tetap bertempur dengan bersungguh-sungguh namun jumlah tentera Mamluk yang jauh lebih besar telah menetapkan perbezaan antara kedua-dua belah pihak.

Pertempuran yang panjang sepanjang hari ini telah membuatkan kuda-kuda Mongol menjadi letih dan tidak dapat digunakan lagi. Hal ini telah mengisyaratkan bahawa tentera Mongol akan berjuang sehingga mereka dijemput ajal. Tentera Mamluk bergelut menewaskan tentera Mongol sepenuhnya serta berjaya membunuh panglima Mongol. Tentera Seljuk Rom hanya sedikit mengambil bahagian dalam pertempuran ini sebelum berpecah. Pervâne berjaya melarikan diri namun anaknya telah ditawan oleh Baibars. Tentera Mamluk seterusnya mara menuju ke kota Kayseri pada 20 April.

Kesan sunting

Baibars telah mengarahkan Pervâne dan Sultan Seljuk memberikan sokongan kepadanya tetapi Pervâne memilih untuk bertahan di dalam istananya. Baibars juga tidak dapat bertahan dengan kedudukannya sekarang yang berada jauh di dalam wilayah musuh dan kekurangan bekalan. Tambahan lagi, keseluruhan kerajaannya yang tidak dilindungi dan kemaraan tentera Abaqa telah mengganggu gugat kedudukan Baibars. Selepas lima hari memasuki kota Kayseri, Baibars kembali ke Syria. Baibars telah meninggalkan pasukannya yang akan digunakan untuk bertemu dengan pasukan Abaqa. Pada bulan Jun, beliau telah tiba di Damsyik dan Abaqa terlalu lewat untuk menangkap Baibars di Anatolia. Dengan nada yang marah, Abaqa bertindak membunuh sesiapa sahaja dari kota Kayseri hingga ke Erzerum. Musim panas yang menghangatkan telah menidakkan Abaqa daripada menyerang Syria. Abaqa berjaya untuk menangkap Pervâne dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Tidak lama setelah kepulangannya, Baibars yang terkenal dengan nama samaran 'Singa Mesir' telah meninggal dunia pada awal bulan Julai 1277. Baibars telah meninggalkan dinasti pemerintahannya tetapi anaknya telah dibuang daripada takhta. Salah satu mamluk Baibars, Qalawun akhirnya dinobatkan menjadi sultan pada November 1279 tanpa perlu bersaing.

Nota sunting

  1. ^ (Bar-Hebraeus menyatakan 5,000 orang Mongol dan 2,000 orang Georgian manakala Ibn Shaddad pula menyatakan 6,770 orang Mongol) (Muffadal menyatakan jumlah angka korban Seljuk dan Georgia hampir menyamai jumlah angka korban Mongol.)[3]

Catatan sunting

  1. ^ a b Waterson 2007, m/s. 164.
  2. ^ a b c d Mikaberidze 2011, m/s. 25.
  3. ^ a b Amitai-Preiss 1995, m/s. 174.
  4. ^ map of present day Elbistan

Pautan luar sunting