Plasmid adalah gelungan DNA yang wujud di luar kromosom bakteria. Kebanyakan plasmid wujud sebagai dua rantaian DNA, dan mampu bereplikasi sendiri. Plasmid secara lazimnya menyumbang beberapa fungsi yang penting kepada bakteria. Berikut adalah jenis-jenis plasmid:

  1. Plasmid F, atau plasmid 'subur' (Bahasa Inggeris: Fertility factor) membenarkan bakteria bertukar maklumat genetik dengan bakteria lain melalui fenomena konjugasi.
  2. Plasmid R, atau plasmid 'rintang' (Bahasa Inggeris: Resistance), melindungi bakteria daripada pelbagai antibiotik dan unsur-unsur beracun seperti merkuri dan arsenik.
  3. Plasmid yang boleh mengawal sintesis bahan pembunuh bakteria, atau bakteriosin.
  4. Plasmid virulen, contohnya dalam bakteria Salmonella, boleh menyebabkan penyakit.
  5. Plasmid yang menyebabkan pembentukan barah dalam tumbuhan[1].
  6. Sesetengah plasmid membawa gen yang mengkodkan enzim-enzim katabolik.
Skema ringkas menunjukkan plasmid. 1. dan 2. adalah gen-gen yang mengkodkan sifat kerintangan bakteria terhadap pelbagai antibiotik. 3. Ori, atau titik permulaan replikasi plasmid

Replikasi plasmid sunting

Penjanaan plasmid yang baru bergantung kepada waktu permulaan replikasi. Pembahagian plasmid induk yang bereplikasi kepada plasmid-plasmid baru juga amat penting. Bilangan salinan bagi sesuatu plasmid juga berbeza bagi bakteria yang berlainan. Sesetengah plasmid boleh menghasilkan hanya 1 hingga 3 salinan plasmid baru, manakala sesetengah pula boleh bereplikasi sebanyak 100 kali. Plasmid boleh dipindahkan kepada bakteria lain melalui proses konjugasi. Namun, tidak kesemua plasmid yang dipindahkan kekal dalam progeni bakteria penerima. Fenomena ini berpunca daripada ketakserasian (Bahasa Inggeris: incompatibility) kedua-dua plasmid yang wujud dalam bakteria. Dua plasmid yang berasal daripada kumpulan ketakserasian yang sama mempunyai mekanisme replikasi yang sama. [2]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Black, Jacqueline G. (2002). Microbiology: principles and explorations. Edisi kelima. Mukasurat 206. ISBN 0-471-38729
  2. ^ Brock Biology of Microorganisms. Edisi kesepuluh. Mukasurat 287. ISBN 0-13-049147-0