Progresif kecuali Palestin

Progresif kecuali Palestin (atau PEP daripada frasa bahasa Inggeris: progressive except Palestine, juga dikenali sebagai progresif kecuali untuk Palestin) ialah frasa atau fenomena yang merujuk kepada organisasi atau individu yang menggambarkan pendirian politik mereka sebagai progresif, liberal atau berhaluan kiri tetapi tidak menyatakan diri mereka sebagai pro-Palestin atau tidak bersuara dalam isu konflik Israel-Palestin. Penyokong pro-Palestin menganggap PEP sebagai sejenis kemunafikan politik dan contoh anti-Palestinisme, manakala pengkritik frasa ini menganggapnya sebagai anti-Israel dan bertujuan untuk memburuk-burukkan golongan haluan kiri yang pro-Israel.

Latar belakang sunting

Ruqaiyah Zarook dalam tulisannya di Current Affairs menyatakan bahawa walaupun penggunaan frasa ini bermula sejak kebelakangan ini, fenomena ini telah wujud sejak beberapa dekad lagi menurut pendapat beberapa pengkritik Zionis berhaluan kiri. Beliau memberikan contoh golongan sayap kiri Perancis Jean-Paul Sartre dan Michel Foucault sebagai contoh awal fenomena PEP yang menyatakan pendirian mereka yang tidak bersimpati terhadap rakyat Palestin. Sebaliknya, beliau memberikan contoh ahli akademik Palestin Edward Said, pengkritik awal terhadap pendirian Sartre yang berdiam diri mengenai isu Palestin. [1] Zarook menyenaraikan beberapa ahli politik Amerika berhaluan progresif tetapi PEP: Ayanna Pressley dan Ro Khanna kerana berpendirian anti-BDS dengan mengundi untuk membangkang Resolusi Dewan 246, Alexandria Ocasio-Cortez kerana tidak jelas pro-Palestin, Tulsi Gabbard kerana berdiam diri terhadap pengeboman Israel ke atas Gaza, Beto O'Rourke kerana terlalu pro-Israel, dan Kamala Harris kerana bertegas mengatakan bahawa Israel memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa. [1]

Pada September 2022, Rashida Tlaib menulis dalam sebuah forum dalam talian: "Saya mahu anda semua tahu bahawa ianya semakin jelas dalam kalangan progresif bahawa anda tidak boleh mengaku untuk memegang nilai progresif tetapi menyokong kerajaan apartheid Israel, dan kami akan terus menolak dan tidak menerima bahawa kamu kononnya progresif kecuali untuk Palestin". Beberapa ahli politik Demokrat dan pemimpin Yahudi mengkritik pendirian beliau, malah sebahagian daripada mereka menyifatkan kenyataan tersebut sebagai antisemitik. [2]

Kritikan sunting

Philip Mendes, seorang profesor di Universiti Monash, telah mengkritik frasa ini sebagai kata rekaan dan sindiran yang memburukkan Negara Israel. [3]

Andrew E. Harrod dalam tulisannya di The Detroit Jewish News menempelak istilah ini sebagai "propaganda anti-Israel" dan "kebencian terhadap Israel" yang berasaskan pembohongan ke atas negara Israel. [4]

David Bernstein dalam tulisannya di The Washington Post mengatakan bahawa PEP telah menjadi ujian litmus untuk ketepatan politik haluan kiri, di mana penyokong Zionis sayap kiri terpaksa memilih antara kekirian dan ke-Zionisme-an mereka, dan golongan Zionis Yahudi sayap kiri terutamanya boleh berdepan dengan tuduhan bahawa sokongan mereka terhadap Zionisme adalah berasaskan kepuakan atau kekabilahan. [5]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b Zarook, Ruqaiyah (June 9, 2021). "Jean-Paul Sartre and the Problem of Being "Progressive Except for Palestine"". Current Affairs. Dicapai pada 2022-10-18.
  2. ^ Kampeas, Ron (September 21, 2022). "Rashida Tlaib says progressives cannot support Israel's government, sparking sharp criticism from fellow Democrats". Jewish Telegraphic Agency. Dicapai pada 2022-10-18.
  3. ^ Mendes, Philip (November 2021). "The jibe 'Progressive except for Palestine (PEP)' is a cynical political strategy to exclude moderate progressives from debates on resolving the Israeli-Palestine conflict". Fathom Journal. Dicapai pada 2022-10-18.
  4. ^ E. Harrod, Andrew (March 24, 2021). "Commentary: 'Progressive Except for Palestine'". Detroit Jewish News. Dicapai pada 2022-10-18.
  5. ^ Bernstein, David (August 22, 2014). "Two reasons the 'I can't be a Zionist because I'm a liberal' meme is false". Washington Post. Dicapai pada 2022-10-18.