Sang Saka Bangsa merupakan nama baru yang diberi kepada bendera UMNO. (Saka merupakan kata umbi bagi pusaka ). Namanya secara rasminya telah diiktiraf pada Perhimpunan Agung UMNO 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Nama "Sang Saka Bangsa" telah dicadangkan oleh Pemuda UMNO.

Bendera "Sang Saka Bangsa"

Sejarah sunting

Perkara mengenai corak dan bentuk bendera UMNO telah dibincangkan dalam Persidangan Agung UMNO ke-2 pada 19 Jun 1946. Persidangan ini diadakan di Dewan Bandaran Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Pelbagai corak dan bentuk bendera dicadangkan oleh perwakilan. Setiap wakil juga dikehendaki menerangkan maksud pemilihan corak dan simbol yang digunakan pada bendera yang direka. Antara beberapa cadangan, terdapat beberapa cadangan bendera yang sungguh menawan hati perwakilan. Keempat empat bendera itu adalah seperti berikut.

  • Corak 3 warna, berjalur hijau, hitam dan putih. Dicadangkan oleh Dato' Onn, mewakili Pergerakan Melayu Semenanjung Johor.
  • Corak 2 warna, bendera merah putih sebagaimana bendera Republik Indonesia. Dicadangkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya
  • Corak 3 warna, bendera merah putih dan ditengahnya simbol keris berwarna hijau. Dicadangkan oleh Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam
  • Corak 4 warna, bendera merah putih, ditengahnya terdapat bulatan kuning dan keris hijau, sebagaimana rupa bendera UMNO sekarang. Dicadangkan oleh Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Setelah berlaku perbahasan hebat, secara umumnya terdapat dua bendera yang menjadi pilihan perwakilan, pertama adalah yang dicadangkan oleh Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan kedua adalah bendera yang dicadangkan oleh PKMM. Majlis akhirnya membuat undian antara dua pilihan ini. Keputusannya, bendera yang dicadangkan oleh Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur menang tipis dengan beberapa undian sahaja.

Bendera itu kemudiannya digunakan sebagai bendera rasmi UMNO sehingga kini.

Sehubungan dengan bendera merah putih (bendera Republik Indonesia) sebagai bendera rasmi UMNO, cadangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) itu tewas tipis, maka PKMM yang diketuai oleh Ishak Haji Muhammad, dan antara lain Ahmad Boestamam menarik diri dan keluar dari mesyuarat Agung UMNO itu. Beberapa perwakilan dari kaum ibu juga dilihat keluar dewan.

PKMM adalah satu pertubuhan yang kuat, dan dianggap teras dari jumlah 36 pertubuhan yang membentuk UMNO. Keputusannya bagi menarik diri dari UMNO dikhuatiri melemahkan UMNO. Bagaimanapun, perwakilan bersetuju menerima saja undian yang telah diputuskan, dan hasilnya rekabentuk cadangan Ikatan Setia Melayu Kampung Baru KL dijadikan sebagai bendera rasmi UMNO sehingga hari ini.

Simbolik pemilihan sunting

Bendera UMNO dipilih semasa Mesyuarat Agung UMNO kedua di Ipoh, Perak. Pengertiannya adalah seperti berikut:-

  • Merah = Berani
  • Putih = Kesucian
  • Kuning = Monarki
  • Hijau = Agama Islam
  • Keris = Melayu

Secara umumnya, bolehlah dikatakan UMNO berdiri di atas panji berani kerana benar, mempertahankan agama, raja, bangsa, dan negara.

Rujukan sunting

  • Ibrahim Mahmood (1981) Sejarah Perjuangan UMNO, Penerbitan Pustaka Antara Kuala Lumpur. p.p 142 - 148