Sejarah Tanjung Verde

Tanjung Verde tidak dihuni manusia ketika penjelajah Portugal tiba pada tahun 1456 dan menjadikan kepulauan ini sebagai sebahagian empayar Portugis. Disebabkan oleh lokasinya yang berhampiran dengan pantai Afrika, Tanjung Verde menjadi sebuah pangkalan bekalan air yang penting, kemudiannya sebagai sebuah tapak ladang pokok tebu, dan akhirnya menjadi satu pusat utama untuk perdagangan hamba.

Les Isles du Cap-Verd, 1749

Pada akhir abad ke-19 pula, kepulauan ini menjadi penting sebagai tempat untuk membekalkan kapakapal laut dengan bahan bakar (batu arang), air dan ternakan, terutamanya kerana British menggunakan Tanjung Verde sebagai depoh simpanan batu arang untuk dieksport ke Amerika.

Pada tahun 1975, kepulauan ini mencapai kemerdekaan, sebahagiannya kerana usaha Parti Kemerdekaan Guinea-Bissau dan Tanjung Verde Afrika (PAIGC). Selepas kemerdekaan, PAIGC cuba menyatukan Tanjung Verde dan Guinea-Bissau menjadi sebuah negara, dengan PAIGC menguasai kedua-dua kerajaan, tetapi rampasan kuasa di Guinea-Bissau mengakhiri segala rancangan tersebut. Di Tanjung Verde sendiri, Parti Kemerdekaan Tanjung Verde Afrika atau PAICV (anggota gabungan bersama PAIGC) memerintah sehingga sebuah pilihan raya demokrasi yang diadakan pada tahun 1991 menyebabkan pertukaran kerajaan. Parti Movimento para a Democracia (MPD) memenangi pilihan raya itu dan dipilih semula pada tahun 1996. Bagaimanapun, PAICV kembali untuk berkuasa pada tahun 2001, dan dipilih semula pada tahun 2006.