Sekolah Kebangsaan Batu Rakit

Sekolah Kebangsaan Batu Rakit merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Batu Rakit , Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman, Malaysia.

Sekolah Kebangsaan Batu Rakit
Lokasi
21020, Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Transformasi Kohort 3 TS25
MotoIlmu Suluh Hidup
Ditubuhkan1 Mei 1939
Nombor sekolah6096696227
Kod sekolahTBA 7006
Faks6096699328
Laman sesawang

Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Batu Rakit (SeBaRa) memiliki 274 pelajar lelaki dan 272 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 546 orang. Ia mempunyai seramai 38 orang guru. Pada tahun 2018, SeBaRa telah diiktiraf sebagai Sekolah Transformasi Kohort 3 dan sekarang SeBaRa mempunyai guru seramai 37 orang dibantu oleh 6 orang staf serta murid seramai 492 orang yang terkini daripada anak-anak penduduk di Mukim Batu Rakit. Kebitaraan utama SeBaRa adalah dalam bidang robotik dimana mulai tahun 2016, pasukan robotik SeBaRa telah mewakili daerah ke peringkat kebangsaan sehingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, kebitaraan SeBaRa juga adalah di dalam bidang Kokurikulum iaitu Bola Sepak dimana SeBaRa telah melahirkan ramai pemain-pemain yang mewakili pasukan Malaysia serta Terengganu dalam sukan bola sepak.

Sejarah sunting

Pada 15 Ogos 1991, Menteri Besar Terengganu ketika itu, YAB Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad merasmikan Perayaan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Batu Rakit yang berlangsung sehingga 17 Ogos 1991.[1]

Penubuhan dan Perasmian Sekolah[1] sunting

Pada tahun 1937, kerajaan membina sebuah sekolah di atas sebidang tanah seluas 3.8 ekar yang terletak berhampiran dengan Bukit Bucu, tapak sekolah pada hari ini selepas Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu didesak oleh Pegawai Daerah Batu Rakit iaitu YM Syed Abdul Kadir Abdullah Al-Aidarus (YM Engku Pengeran Anum) dengan dorongan dan usaha Ketua Kampung Pantai Batu Rakit (Haji Yusof bin Ismail), Penghulu Batu Rakit (Ali bin Salleh). Pada mulanya sekolah hanya mempunyai 2 bangunan iaitu sebuah bangunan utama sekolah beratapkan daun nipah berukuran (63 kaki x 26 kaki) dan sebuah rumah kediaman Guru Besar.

Pada 1 Mei 1939, Sekolah Kebangsaan Batu Rakit dibuka secara rasminya oleh Almarhum DYMM Sultan Sulaiman dengan nama Sekolah Melayu Batu Rakit yang turut dihadiri oleh Almarhum Ismail Nasiruddin Shah, Gabenor Negeri-Negeri Selat (Sir Sutton Thomas), Penasihat British di Terengganu, Pengarah Pelajaran Terengganu, Pegawai Daerah Batu Rakit serta beberapa orang kenamaaan yang lain dan seterusnya menjadi sekolah kedua tertua di Kuala Terengganu Utara selepas Sekolah Melayu Seberang Takir.

Bilangan murid yang berdaftar pada hari perasmian itu berjumlah 47 orang yang datang dari peringkat umur yang berbeza di mana ada yang masih kecil dan sudah mencapai umur belasan tahun. Kesemua lelaki Melayu datang dari kampung-kampung berdekatan dengan sekolah dan ada juga sebilangan kecil yang datang berjalan kaki meredah hutan dari Kampung Telipot, Kampung Maras dan Kampung Mengabang Lekor. Kumpulan murid perempuan yang pertama hanyalah 3 orang iaitu seorang anak guru besar dan 2 orang anak Penghulu Batu Rakit.

Pada peringkat awal persekolahan, hanya terdapat seorang guru yang mengajar yang pada masa sama bertugas sebagai guru besar sekolah yang pertama iaitu Cikgu Mohammad bin Abdullah yang berasal dari Kampung Losong, Kuala Terengganu. Pada waktu pagi, guru besar mengajar murid-murid membaca, menulis, mengira dan sebagainya manakala pada waktu petang pula, mereka diajar pelajaran agama oleh seorang guru agama iaitu Cikgu Mohamad bin Ismail (Cikgu Mohamad Duyong). Beberapa tahun kemudian, Cikgu Razali bin Su datang menjadi guru penolong. Selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu, bilangan guru dan murid semakin meningkat.

Persekolahan Semasa Pemerintahan Jepun[1] sunting

Sewaktu zaman penjajahan Jepun (1941-1945), sesi persekolahan Sekolah Melayu Batu Rakit (SMBR) berjalan seperti biasa dengan Bahasa Melayu kekal menjadi bahasa pengantar manakala Bahasa Jepun dijadikan sebagai mata pelajaran wajib. Setiap pagi, para murid dikehendaki menyanyikan lagu-lagu Bahasa Jepun termasuk 'Kimigayo' dan diwajibkan bersenam sebelum memasuki kelas.

Pada sekitar tahun 1943-1945, beberapa orang murid lepasan SMBR diambil menjadi guru pelatih. Antaranya, Cikgu Ali bin Ideris dan Cikgu Yusof bin Salleh yang merupakan kumpulan lepasan SMBR yang pertama menjadi guru. Lepasan SMBR yang bekerja sebagai pegawai kerajaan ketika zaman penjajahan Jepun kemudiannya kembali menjadi nelayan atau petani selepas berakhirnya pemerintahan Jepun.

Ketika zaman Jepun juga, sesi pagi dan petang diteruskan di mana pelajaran agama pada waktu petang diajar oleh guru agama bernama Cikgu Mohamad bin Said (Cikgu Mat Chik) tanpa gangguan dari pihak Jepun.

Persekolahan Selepas Pemerintahan Jepun[1] sunting

Selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu pada tahun 1945, seorang guru penolong dari Sekolah Melayu Bukit Jambul bernama Cikgu Daud bin Awang berpindah dan dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar di Sekolah Melayu Batu Rakit (SMBR).

Beliau mengatasi kekurangan guru dengan melatih murid-murid lepasan SMBR sehingga dapat menjadi guru dan mewujudkan Kelas Guru Pelatih di SMBR dengan pengiktirafan Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu.

Pada tahun 1945, bancian mendapati 300 orang kanak-kanak layak bersekolah namun jumlah murid SMBR hanyalah seramai 145 orang berikutan kurang kesedaran dalam kalangan ibu bapa, ada yang bekerja sebagai awak-awak, menarik pukat di pantai atau membantu ibu bapa di sawah.

Oleh itu, Guru Besar (Cikgu Daud bin Awang) bersama Penghulu Batu Rakit (Encik Ali bin Salleh) dan Ketua Polis Balai Batu Rakit (Encik Ali bin Baba) memujuk ibu bapa agar menghantar anak mereka ke sekolah dan seterusnya menyebabkan bilangan murid berganda pada tahun 1946 dan sekolah tidak dapat menampung pertambahan murid.

Pada tahun 1948, penduduk Batu Rakit bergotong-royong membina sebuah bangsal berukuran (60 kaki x 20 kaki), bertiangkan kayu tembesu, beratapkan daun nipah, berlantaikan tanah, berdinding sekerat dari anak-anak kayu kuat, bermeja dan berbangku panjang dari kepingan papan. Bangunan yang bertahan selama 7 tahun itu dapat menampung murid Darjah 1 dan Darjah 2 buat sementara waktu.

Kerja-kerja membersih dan memagar kawasan sekolah juga dilakukan bagi menghalang kemasukan binatang ternakan dan seterusnya membolehkan aktiviti mata pelajaran pertanian dijalankan. Pagar sekolah yang pertama dibina oleh murid-murid sekolah menggunakan anak-anak kayu kuat namun tidak dapat bertahan lama dan digantikan dengan tanaman buluh cina hingga awal tahun 1970an.

Murid Lepasan SMBR Menjadi Guru[1] sunting

Selepas British mengambilalih pentadbiran Tanah Melayu pada 15 Ogos 1945, British tidak mengiktiraf guru-guru yang dilantik ketika zaman pemerintahan Jepun dan seterusnya menamatkan perkhidmatan mereka. Antara guru-guru SMBR yang terlibat ialah,

  • Cikgu Ali bin Ideris
  • Cikgu Yusof bin Salleh
  • Cikgu Mohamad bin Said/Cikgu Mat Chik (guru agama)

Guru besar pernah memujuk mereka untuk kembali berkhidmat bagi menampung kekurangan guru namun tidak berhasil. Kemudian, guru besar bertindak menawarkan peluang kepada murid lepasan SMBR untuk menjadi guru pelatih. Di bawah skim ini, mereka akan dipilih berdasarkan markah peperiksaan Darjah 5. Mereka yang sudah mempunyai pekerjaan tetap dipujuk agar bersekolah semula memasuki kelas Darjah 5 selama setahun. Semasa menjalani latihan sebagai guru pelatih, mereka dibimbing oleh guru besar untuk menduduki peperiksaan dan seterusnya menyambung pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Antara murid-murid lepasan SMBR yang terpilih menyertai skim tersebut ialah,

Nama Butiran
Encik Ismail bin Mahmud Menjadi guru pelatih pada tahun 1946 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1947. Malangnya, anak jati Batu Rakit pertama yang menjejakkan kaki ke MPSI itu meninggal dunia semasa dalam pengajian.
Encik Abdul Manan bin Yusof Menjadi guru pelatih pada tahun 1948 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1949. Beliau merupakan pelajar Terengganu pertama yang memperolehi pangkat pertama dari MPSI.
Encik Muda bin Yusof Menjadi guru pelatih pada tahun 1948 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1949.
Encik Khalid bin Ibrahim Menjadi guru pelatih pada tahun 1949 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1950.
Encik Abdul Rahman bin Omar Menjadi guru pelatih pada tahun 1949 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1950.
Encik Ali bin Muda Menjadi guru pelatih pada tahun 1949 dan kemudiannya mengikuti latihan 'Teacher Under Other Scheme' (TUOS).
Encik Ali bin Husain Menjadi guru pelatih pada tahun 1949 dan kemudiannya mengikuti latihan 'Teacher Under Other Scheme' (TUOS).

Kelas Guru Pelatih[1] sunting

Pada tahun 1949, pihak Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu (PPNT) telah mengiktiraf kelas Guru Pelatih yang disediakan oleh SMBR berikutan prestasi cemerlang sekolah dalam melahirkan guru-guru pelatih yang layak ke MPSI. Dengan pengiktirafan tersebut, guru-guru yang mengajar kelas Guru Pelatih pada hari Jumaat dan Sabtu akan dibayar elaun sebanyak $5.00 sejam. Kelas ini mengajar satu sukatan pelajaran khas yang disediakan oleh PPNT bagi menyediakan guru-guru pelatih untuk menduduki peperiksaan ke MPSI.

Kelas Guru Pelatih pada awalnya diusahakan oleh guru besar. Di antara guru-guru yang terlibat dengan kelas tersebut ialah Guru Besar ke-4 (Cikgu Daud bin Awang) dan Guru Penolong (Cikgu Awang bin Ibrahim). Apabila Cikgu Awang bertukar sekolah, tugas beliau diambilalih oleh Cikgu Wan Ibrahim bin Othman (mantan ADUN Batu Rakit 1978-1990). Kelas guru pelatih berjalan sehinggalah digantikan dengan kelas Pusat Latihan Harian (Day Training Center-DTC) di Kuala Terengganu.

Antara murid-murid lepasan SMBR yang berpeluang menyertai kelas Guru Pelatih ialah,

  • Cikgu Ibrahim bin Mahmud
  • Cikgu Mansor bin Ibrahim
  • Cikgu Ali bin Mahmud
  • Cikgu Othman bin Said
  • Cikgu Yusof bin Ali
  • Cikgu Awang bin Musa
  • Cikgu Harun bin Ali
  • Cikgu Ramli bin Yusof
  • Cikgu Abdul Ghani bin Salleh
  • Cikgu Wan Ramlah binti Dato' Dalam
  • Cikgu Ramlah binti Yusof
  • Cikgu Ngah bin Jusoh
  • Cikgu Md. Teh bin Md. Amin

Perkembangan Sekolah Selepas Merdeka[1] sunting

Ketika Cikgu Muhammad bin Ali menjadi Guru Besar ke-6, ramai murid lepasan SMBR didapati menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman. Sesi petang masih lagi dikhaskan untuk kelas agama. Antara guru agama yang pernah mengajar di SMBR pada ketika itu ialah YM Engku Haji Alwi bin Engku Haji Ambak Al-Idrus (Mufti Terengganu ke-12).

Pada tahun 1956, Sekolah Melayu Batu Rakit (SMBR) bertukar nama kepada Sekolah Umum Batu Rakit (SUBR) berikutan penguatkuasaan Dasar Pelajaran Razak yang mengubah nama Sekolah-Sekolah Melayu.

Pada tahun 1959, ketika Cikgu Awang bin Ibrahim menjadi Guru Besar ke-9, Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu telah membina sebuah bangunan sekolah separa kekal yang berasaskan batu blok iaitu bangunan Blok B. Bangunan tersebut dibuka secara rasmi oleh Menteri Muda Pelajaran Malaysia ketika itu, Encik Awang Khalid bin Othman pada 12 April 1960.

Pada tahun 1960, Sekolah Umum Batu Rakit bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Batu Rakit (SeBaRa) selepas dikuatkuasakan Penyata Rahman Talib. Pada tahun yang sama, kelas agama berpindah ke sesi pagi.

Bangunan sekolah yang ada, bangunan kayu asal dan bangunan Blok B tidak dapat menampung bilangan murid berjumlah 540 orang. Ramai murid SeBaRa dipindahkan ke sekolah-sekolah yang baru dibina seperti Sekolah Kebangsaan Pagar Besi, Sekolah Kebangsaan Darat Batu Rakit dan Sekolah Kebangsaan Kompleks namun masih tidak dapat mengurangkan beban bilangan murid yang bertambah dan sesi pagi dan petang terpaksa diteruskan.

Pada tahun 1976, sebuah bangunan Blok C berukuran (160 kaki x 30 kaki) dibina. Bangunan tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu ketika itu, Dato' Haji Wan Mokhtar bin Ahmad pada 19 Julai 1977 ketika sambutan ulangtahun penubuhan sekolah yang ke-38 tahun.

Pada tahun 1991, sebuah bangunan batu 3 tingkat iaitu Blok A dibina (termasuk bangunan kantin baharu) berikutan pihak sekolah dan PIBG telah mendesak Kementerian Pendidikan agar menambah bangunan sekolah kerana Blok C tidak dapat menampung bilangan murid sehingga ada sebahagian murid terpaksa belajar pada sesi petang.

Alamat sunting

Sekolah Kebangsaan Batu Rakit,(SeBaRa)
21020 Kuala Nerus , Terengganu Darul Iman, Malaysia
Telefon = 6096696227
Fax = 6096699328
Email Sekolah : tba7006@moe.edu.my
Facebook Sekolah  : https://web.facebook.com/SKBatuRakitTS25
Sekolah Transformasi Kohort 3 TS25

Lagu Sekolah[1] sunting

Semarak api ilmu
Menyuluh hidup kami
Kami murid Batu Rakit
Menuju arah jaya
Dengan berkat doamu
Kami terus berjaya

Statistik sunting

Bilangan Murid dan Guru (1973-1991)[1]
Tahun Murid Guru
1973 15 543
1974 15 546
1975 16 574
1976 16 576
1977 17 573
1978 18 614
1979 21 659
1980 24 714
1981 24 717
1982 26 747
1983 26 774
1984 27 809
1985 26 889
1986 29 688
1987 39 690
1988 31 663
1989 31 692
1990 31 700
1991 31 707

Senarai Guru Besar sunting

  1. Cikgu Mohamad bin Abdullah (1939-1942)
  2. Cikgu Mohamad bin Ismail (1942-1945)
  3. Cikgu Ali bin Musa (1945-1945)
  4. Cikgu Daud bin Awang (1945-1951)
  5. Cikgu Jaafar bin Ali (1951-1951)
  6. Cikgu Muhammad bin Ali (1951-1956)
  7. Cikgu Awang bin Ismail (1956-1957)
  8. Cikgu Md. Nor bin Salleh (1957-1958)
  9. Cikgu Awang bin Ibrahim (1958-1972)
  10. Cikgu Haji Wan Khalid bin Ismail (1972-1982)
  11. Cikgu Haji Omar bin Mohamad (1982-1987)
  12. Cikgu Othman bin Said (1987-1987)
  13. Cikgu Haji Azam bin Othman (1987)[1]

Pencapaian sunting

Bola Sepak sunting

  • Johan Zon Batu Rakit
  • Naib Juara Peringkat Daerah Kuala Nerus
  • Tempat Ketiga Peringkat Daerah Kuala Nerus

Kejayaan Murid-Murid Tua sunting

Antara mereka yang dapat dikesan dalam tempoh pembikinan Buku Cenderamata Perayaan Jubli Emas 1991 ialah,

Senarai Murid Tua (setakat tahun 1991)[1]
Nama Butiran
Haji Abdul Manan bin Yusof Lepasan Darjah 5, menjadi guru pelatih pada tahun 1947, menyambung pelajaran ke MPSI. Pernah menjadi Penolong Penyelia Sekolah-Sekolah Kuala Terengganu Utara dan Penolong Penyelia Pembangunan di Pejabat Pelajaran Terengganu sehingga bersara.
Haji Khalid bin Ibrahim Lepasan Darjah 5, menjadi guru pelatih pada tahun 1948 dan berjaya ke MPSI dan Maktab Bahasa di Johor Bahru. Pada tahun 1973, semasa menjadi Penolong Pengelola Sekolah-Sekolah Daerah, beliau berpeluang berkursus di Canberra College of Advance Education. Beliau bertugas sebagai Penyelia Sekolah-Sekolah Rendah Negeri Terengganu sebelum bersara pada tahun 1988.
Haji Abdul Rahman bin Omar Lepasan Darjah 5, menjadi guru pelatih pada tahun 1948 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1950. Pernah menjadi Guru Besar di Sekolah Pusat Bukit Besar di Kuala Terengganu sebelum berpindah ke Sabah menjadi Jumaah Nazir Sekolah-Sekolah Sabah. Beliau bersara dan menjadi usahawan.
Haji Othman bin Said Menjadi guru pelatih pada tahun 1949 dan tamat latihan perguruan TUOS pada tahun 1956. Beliau merupakan bekas murid yang pertama menjadi Guru Besar sekolah ini, iaitu pada tahun 1977. Selain daripada khidmat- nya sebagai Guru Besar, beliau banyak berjasa kepada sekolah ini. Beliau merupakan Setiausaha dalam Persatuan lbubapa dan Murid Tua dan Pengerusi PIBG pertama. Beliau aktif dalam kegiatan masyarakat, walaupun telah bersara kini masih lagi gigih menyumbang baktinya, diantaranya sebagai Naib Pengerusi, Persatuan Syarikat-Syarikat Nelayan Pantai Timur dan Ahli Majlis Perbandaran Kuala Terengganu.
Encik Ramli @ Jusoh bin Sulaiman Menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan Maktab Pertanian Serdang، Selangor. Pernah menjadi pengurus di LKTP Jerangau, Terengganu dan pengurus sebuah syarikat swasta (MTC) di Kuala Lumpur.
Encik Abdullah bin Muhammad Mendapat pendidikan awal di SMBR dan menyambung pelajaran ke Sekolah Clifford di Kuala Lipis dan Sekolah Tuan Abdul Rahman di Ipoh. Mula berkhidmat pada tahun 1962 dan menjadi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu pada tahun 1971. Beliau pernah mengikuti Program Pengurusan Pembangunan di Asian Institute of Management di Manila pada tahun 1981 dan Pengurusan Keselamatan di United Kingdom pada tahun 1989. Pernah menjadi Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Pegawai Daerah Marang, Ketua Penolong Setiausaha Negeri Terengganu, Pegawai Daerah Dungun.
Leftenan Kolonel Abd Rahman bin Daud Mendapat pendidikan awal di Sekolah Umum Batu Rakit dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu dan mendapat latihan bidang ketenteraan di Maktab Tentera Sungai Besi dekat Kuala Lumpur.
Dr. Abdul Wahab bin Ngah Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Rakit. Bekas pelajar MCKK ini mendapat ijazah pertama beliau dalam bidang Sains Pertanian daripada Universiti Malaya pada tahun 1970. Beliau kemudian berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat M. Sc dan seterusnya sehingga memperolehi PhD daripada University of Wales di United Kingdom pada tahun 1980. Beliau menjadi Ketua Pegawai MARDI Negeri Pahang (1980- 1983) dan Pengarah Penyelidikan Buah-buahan MARDİ sehingga tahun 1990. Seorang yang pakar di dalam bidang pertanian, beliau mewakili Malaysia dalam "RECSEA" (Regional Commitee for South East Asia) dalam badan dunia "1BPGR" (International Board for Plant Genetic Resources). Beliau aktif dalam politik dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Perikanan Negeri Terengganu.
Haji Omar bin Hussin Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Rakit dan menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Alam Shah di Kuala Lumpur. Pada tahun 1978, beliau berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sijil Teknologi Pendidikan di Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah menjadi Penyelia Sebaran Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan pengetua di beberapa buah sekolah menengah antaranya Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu.
Encik Mohamed bin Abu Bakar Tamat Darjah 3 di Sekolah Melayu Batu Rakit dan belajar hingga Darjah 6 di Sekolah Umum Mengabang Telipot. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman sehingga tahun 1964. Beliau mendapat latihan perguruan di Pusat Latihan Harian Kuala Terengganu dan mula menjadi guru pada tahun 1968 dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia pada tahun 1974 dan pernah menjadi Jemaah Nazir Sekolah-Sekolah Persekutuan.
Dato' Haji Ismail bin Said Menyambung pelajaran ke SMTB di Kuala Terengganu dan Maktab Tentera Di Raja Sungai Besi. Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Universiti Malaya pada tahun 1970 dan menjadi Penolong Pegawai Daerah Kemaman pada tahun 1973 dan pernah menjadi Ahli Parlimen, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Setiausaha Parlimen, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Mejar Kamaruddin bin Mohd Tamat Darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Batu Rakit pada tahun 1964 dan mendapat pendidikan ketenteraan di Maktab Tentera Di Raja Sungai Besi. Mula menjadi Pegawai Angkatan Tentera pada tahun 1972 dan pernah mengikuti kursus Diploma Pentadbiran Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan kursus ketenteraan di Staff College India.
Encik Alias bin Yusof Menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu dan Universiti Sains Malaysia. Beliau lulus dengan cemerlang pada tahun 1978 mendapat B. Sc (Hons) dengan anugerah Pingat Emas Pelajar Bumiputra terbaik. Pada tahun 1980, beliau berpeluang menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat dan pulang dengan M. Sc dalam Sains Komputer. Beliau pernah berkhidmat sebagai Juruanalisa Sistem dengan Esso Malaysia dan sebagai Fellow Penyelidik di USM. Semenjak 1985, beliau menjawat jawatan Pengarah Pusat Komputer, USM. Sebagai seorang yang pakar dalam Sains Komputer, beliau telah dilantik sebagai Perunding Pengkomputeran Negeri Terengganu, AJK Prosesan Data Negeri Terengganu dan Perunding Pengkomputeran beberapa agensi kerajaan.
Encik Che Mat bin Bakar Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Rakit dan menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Panji Alam di Kuala Terengganu. Pada tahun 1977, beliau berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kesihatan Haiwan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Pada tahun 1988, beliau memperolehi ijazah pertama B. Sc (Agribusiness) daripada UM. Beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Veterinar dan aktif dalam kegiatan belia serta menjadi Pengerusi Kelab Belia Tenaga Remaja di Batu Rakit.
Cik Noraini binti Abdullah Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Batu Rakit dan SMTB sehingga tahun 1974. Pada tahun 1975, beliau mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Amerika Syarikat dan kembali ke tanah air pada tahun 1980 dengan ijazah "Master in Business Administration" dan seterusnya pernah menjadi pengurus bank di Kuala Lumpur.

Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h i j k Perayaan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Batu Rakit. Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd. 1991.

Pautan luar sunting