Taman Negara Gunung Gading

Taman Negara Gunung Gading merupakan salah satu taman negara yang terletak di Sarawak. Taman Negara Gunung Gading berada di kawasan hutan hujan bergunung-ganang, kira-kira dua jam dari Kuching, iaitu berdekatan Lundu, bandar kecil di barat daya Sarawak. Taman Negara Gunung Gading mempunyai tarikannya yang tersendiri iaitu Bunga Rafflesia bunga terbesar di dunia. Selain itu, Taman Negara Gunung Gading juga merupakan salah satu tempat yang terbaik di Asia untuk melihat bunga Rafflesia berkembang.[1]

Pelawat yang ingin melihat Rafflesia perlu berdaftar dengan pihak pengurusan taman negara dan memerlukan jurupandu yang ditetapkan sebelum dibenarkan mengunjungi mana-mana lokasi bunga Rafflesia kembang. Terdapat kira-kira 23 lokasi bunga Rafflesia dibuka untuk pelawat telah ditanda oleh pihak taman negara bagi memudahkan mereka mengunjunginya.

Taman Negara Gunung Gading meliputi kawasan seluas 4,196 hektar dan diwartakan pada 1983 bagi mewujudkan zon pemuliharaan bagi tumbuhan itu yang hampir pupus.

Selain bunga Rafflesia, Gunung Gading mempunyai tarikan lain seperti kawasan bukit-bukau, air terjun dan periuk kera. Pelawat boleh sampai ke taman yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Kuching dengan mengambil masa hampir dua jam perjalanan melalui jalan raya.[2]

Pada mulanya, taman ini merupakan kawasan pemuliharaan tertutup bagi Rafflesia yang menakjubkan, bunga terbesar di dunia yang boleh membesar sehingga satu meter diameter. Walau bagaimanapun, selepas pelbagai kajian kesan alam sekitar, Jabatan Taman Negara memutuskan bahawa Gunung Gading adalah satu khazanah yang patut dikongsi dengan orang ramai. [3]

Ia telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1994. Walau bagaimanapun, Taman Negara Gunung Gading masih lagi dipantau dengan teliti oleh Jabatan Taman Negara untuk memastikan semua pelawat mendapat peluang untuk melihat bunga Rafflesia tanpa menyebabkan sebarang kerosakan kepada pucuk muda dan flora lain di kawasan berdekatan.[4]

Satu laluan yang dibuat daripada papan telah dibina berhampiran kawasan di mana Rafflesia sering dijumpai, supaya pelawat berpeluang melihat bunga ini mekar berkembang.

Denai hutan menuju ke arah sungai, air terjun yang mengalir deras dan kawasan pergunungan, dengan satu laluan yang membawa pendaki ke puncak Gunung Gading (906m). Pergunungan berbatu di dalam Taman memberikan latar belakang menarik kepada bandar Lundu yang terletak berhampiran, dan juga pantai di Pandan dan Siar.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting