Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ialah sebuah zon ekonomi khas cadangan di Malaysia dan Singapura. Ia adalah zon bersepadu bagi perniagaan dan pelaburan yang bertujuan memudahkan aliran rakyat dan barangan merentasi sempadan antara dua negara.[1] Penubuhan zon ekonomi khas ini dilihat seiring dengan pembangunan rancangan sedia ada di selatan Malaysia di zon kewangan khas, Forest City.[2]

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura
NegaraMalaysia dan Singapura
DiumumkanOktober 2023

Pelaksanaan zon ekonomi khas ini dijangka dapat memudahkan pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara, selain dilihat mampu meningkatkan nilai perdagangan, peluang pekerjaan, pelaburan serta pentadbiran yang lebih berkesan.[3]

Latar belakang sunting

Pada 14 Julai 2023, kedua-dua negara Malaysia dan Singapura mengalu-alukan idea untuk mewujudkan zon ekonomi khas di Johor, Malaysia dan Singapura dalam mesyuarat ke-16 Jawatankuasa Kementerian Bersama Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM). Sebuah petugas khas yang digerakkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura dan Kementerian Ekonomi Malaysia bagi mengkaji penubuhannya ditubuhkan dan akan melaporkan perkembangannya kepada pemimpin semasa Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung pada Oktober 2023.[4] Perbincangan lanjut untuk mewujudkan zon ekonomi khas ini akan disusuli dengan persetujuan terhadap terma rujukan (TOR).[5]

Dalam Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 pada Oktober 2023, penubuhan zon ekonomi khas ini diumumkan secara rasmi.

Perkembangan sunting

Sebuah memorandum persefahaman (MoU) bagi zon ekonomi khas ini dimeterai secara rasmi oleh dua negara pada 11 Januari 2024. Ia ditandatangani antara Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong. Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan ialah mewujudkan pusat sehenti bagi hal ehwal berkaitan ekonomi dan pelaburan di Johor serta pelaksanaan sistem kod QR bagi melancarkan pergerakan keluar masuk di kedua-dua pintu sempadan negara yang terdapat di negeri ini.[3]

Lokasi cadangan di Malaysia sunting

Kerajaan Negeri Johor mengusulkan agar hab perniagaan Iskandar Malaysia dijadikan sebagai zon ekonomi khas yang sedang dirancang antara Singapura dan Malaysia.[1] Maybank Investment Bank (Maybank IB) pula menjangkakan pembangunan zon ekonomi khas ini akan dilaksanakan di Sedenak atas tanah seluas 2,950 hektar milik Johor Corporation. Simpanan tanah yang besar selain kos tanah yang agak rendah seharusnya menarik perhatian pelaburan asing, sama seperti Iskandar Puteri (sebelum ini dikenali sebagai Nusajaya), yang dilancarkan pada 2007.[6]

Maklum balas sunting

Malaysia sunting

  • Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berkata zon ekonomi khas ini mampu menjadikan Johor seperti bandar Shenzhen di China yang berkembang maju selepas empat dekad menjadi zon ekonomi khas.[5]
  • Idzham Mohd Hashim, presiden dan ketua pegawai eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) berkata pembentukan zon ekonomi khas di lokasi strategik antara Lapangan Terbang Changi dengan Iskandar Puteri pada jarak 45 kilometer, mampu mengukuhkan lagi kedudukan Medini sebagai destinasi pelaburan utama.
  • Sultan Ibrahim, Sultan Johor membayangkan masa depan yang cerah bagi Johor, bertapak kukuh di persada global.[2]

Singapura sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b cue (2024-01-05). "Johor usul Iskandar dijadikan zon ekonomi khas dengan S'pura, Berita - BeritaHarian.sg". www.beritaharian.sg (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-22.
  2. ^ a b "Zon Ekonomi Khas, hab kewangan bakal lonjakkan Johor ke persada global". thesun.my (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-22.
  3. ^ a b "ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA DIMETERAI – MEDIA DIGITAL JOHOR". 2024-01-11. Dicapai pada 2024-02-22.
  4. ^ "SG, M'sia akan tinjau kemungkinan wujud zon ekonomi khas di Johor". BERITA Mediacorp (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-22.
  5. ^ a b "Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura mampu jadikan Johor seperti Shenzhen - MB". www.astroawani.com. 2023-09-14. Dicapai pada 2024-02-22.
  6. ^ "Sedenak dijangka jadi lokasi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura - Maybank IB". www.astroawani.com. 2024-01-05. Dicapai pada 2024-02-22.
  7. ^ "Perjalanan lebih lancar di kedua belah Tambak dengan zon ekonomi khas Johor-Singapura: PM Lee". CNA (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-22.