Formasi Gula ialah sejenis formasi batuan berusia Holosen tak konsolidat yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Asal-usul Nama sunting

Formasi batuan ini diberi nama Gula oleh Suntharalingam (1987) bersempena nama lokasi di mana endapan tak konsolidat ini mula-mula ditemui berdasarkan daripada hasil penggerudian untuk kajian geologi Kuarterner oleh Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia.

Taburan Am sunting

Formasi ini wujud sebagai endapan tak konsolidat di sekitar pesisir laut negeri Perak dengan ketebalan sehingga 40 meter.

Kamaluddin (1990) turut menyatakan formasi ini melapisi sebehagian besar Kuala Kurau di Perak hingga Butterworth dan Seberang Perai di bahagian utara serta sebahagian Balik Pulau, Bayan Lepas, Georgetown dan Teluk Bahang di Pulau Pinang.

MT-JGSC (2006) merekodkan kewujudan formasi ini di kawasan pesisir laut semasa yang menganjur dari Pengkalan Kubor hingga Tumpat dan Kota Bharu di Kelantan.

MT-JGSC (2009) menyatakan formasi ini juga wujud sekitar Perlis iaitu di bahagian timur Arau; dari Kangar hingga Wang Bintong di bahagian barat laut dan hingga kawasan Chuping di bahagian timur laut.

Korelasi sunting

Formasi batuan ini biasanya mempunyai sempadan bawah yang selanjar dengan Formasi Simpang dan dilapisi secara selanjar oleh Formasi Beruas di tempat-tempat tertentu.

Kajian korelasi geologi batuan di sempadan Malaysia - Thailand oleh MT-JGSC (2006, 2009) menselaraskan Formasi Gula dengan Formasi Tak Bai yang wujud sebagai pesisir pantai sekarang di sekitar Perlis dan selatan Thailand.

Ahli-ahli Batuan dan Sekitaran Pengendapan sunting

Suntharalingam dan Teoh (1985) membahagikan Formasi Gula kepada 2 ahli iaitu Ahli Matang Gelugur dan Ahli Port Weld berdasarkan ciri-ciri litologi.

Kamaluddin (1989) memperkenalkan Ahli Parit Buntar, Ahli Bagan Datoh dan Ahli Teluk Intan sebagai sebahagian daripada formasi ini berdasarkan pencirian semula Formasi Gula melalui ciri-ciri palinologi yang berbeza.

MT-JGSC (2009) menambah pengaruh pasang surut dalam sekitaran pengendapan formasi ini.

Pencirian ahli-ahli Formasi Gula berdasarkan Suntharalingam dan Teoh (1985), Suntharalingam (1987), Kamaluddin (1989) dan MT-JGSC (2006)
Ahli Anggaran Ketebalan (meter) Ciri-ciri Litologi Taburan Utama Sekitaran Pengendapan
Ahli Matang Gelugur 4 Berbagai-bagai, daripada pasir berlempung kepada pasair tanpa lapisan atau dengan kekanta lempung. Pasir banyak terdapat di bagagian atas manakala pasir berlempung biasanya di bahagian bawah turutan. Sepanjang pesisir pantai Georgetown, Bayan Lepas, sebahagian kecil Balik Pulau dan sepanjang pesisir pantai Penaga di Seberang Perai. Permatang pantai, chenier, marin cetek
Ahli Port Weld 2 Lempung sebagai komposisi utama dengan kekanta atau lapisan-lapisan lodak dan pasir berbutiran sederhana di beberapa tempat. Lempung biasanya berwarna kelabu keperangan atau kelabu kehijauan dan mempunyai kandungan bahan humik yang berlapisan atau tersusun secara teratur. Pesisir pantai Kuala Kurau dan Kuala Sepetang. Paya bakau
Ahli Parit Buntar 3 Lempung kelabu keperangan, lodak yang wujud dengan lapisan-lapisan halus berupa pasir dan kerikil serta gambut. Sekitar Parit Buntar dan Sungai Acheh. Paya bakau belakang
Ahli Teluk Intan 1 hingga 3 Pasir, lempung dan lodak yang termendap di sekitaran tepi pesisir yang berwarna kekelabuan dan kekuningan. Pasir terdiri daripada kuarza dengan sedikit felspar dan kepingan mika. Lempung menunjukkan ciri berbelak. Terdapat juga akar-akar dan sisa tumbuhan. Sekitar Teluk Intan, Pengkalan Kubor dan Tumpat. Lagun berdelta, estuarin
Ahli Bagan Datoh 2 hingga 25 Lempung, lodak dan pasir yang terendap pada marin cetek. Pasir berbutiran sederhana hingga kasar berwarna kelabu cerah, kelabu kehijauan atau kebiruan dengan kehadiran pecahan-pecahan cangkerang Sekitar Bagan Datoh, pesisir utara Kelantan. Marin cetek laut lepas

Rujukan sunting

  1. Kamaluddin Hassan, 1989. Significance of palynology in Late Quaternary sediments in Peninsular Malaysia. Geological Society of Malaysia Bulletin 24, pp. 57-66.
  2. Kamaluddin Hassan, 1990. A summary of the Quaternary geology investigations in Seberang Prai, Pulau Pinang and Kuala Kurau. Geological Society of Malaysia, Bulletin 26, pp.47-53.
  3. Suntharalingam, T dan Teoh, L.H., 1985. Quaternary geology of the coastal plain of Taiping, Perak. Geol. Suv. Malaysia Quaternary Geology Bulletin 1, 64p.
  4. Suntharalingam, T, 1987. Quaternary geology of the coastal plain of Beruas, Perak. Geol. Survey Malaysia Quaternary Geology Bulletin 2, 70p.
  5. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2006. Geology of the Batu Melintang - Sungai Kolok transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.
  6. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2009. Geology of the Bukit Batu Putih - Satun transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.