Formasi Kayu Hitam

Formasi Kayu Hitam ialah sejenis formasi batuan berusia Kapur yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Asal-usul Nama sunting

Formasi batuan ini diperkenalkan sebagai Kayu Hitam oleh MT-JGSC (2009) bersempena nama Bukit Kayu Hitam di mana ia mula-mula ditemui tersingkap.

Taburan sunting

Formasi ini bertaburan di sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah iaitu di Taman Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Bukit Telaga Batu dan tepi Lebuhraya Bukit Kayu Hitam - Changlun serta pinggir jalan keselamatan sempadan di kaki bukit Bukit Tangga.

Korelasi sunting

MT-JGSC (2009) menselaraskan Formasi Kayu Hitam dengan Formasi Lam Thap di selatan Thailand yang mempunyai litologi yang sama.

Litologi sunting

Singkapan formasi ini umumnya terdiri daripada batu pasir dan batu lumpur kemerahan yang berselang lapis, kecuali di di Bukit Telaga Batu dan Taman Perindustrian Bukit Kayu Hitam yang terdiri daripada lapisan batu lumpur tebal dilapisi konglomerat merah berketebalan 5 meter.

Di kaki bukit Bukit Tangga, batu pasir biasanya berbutiran halus hingga sederhana tetapi berbutiran kasar hingga berpebel atau berciri konglomerat di beberapa tempat dan berciri berfelspar serta berkomposisi greiwak. Klasta batu lumpur pula berorientasi selari dangan laminasi pelapisan batu lumpur. Di bawah singkapan, batu pasir berkapur dengan telerang-telerang kalsit halus dapat dilihat.

Penentuan Usia sunting

Usia Formasi Kayu Hitam ditentukan sebagai Kapur berdasarkan kedudukan stratigrafi yang dilapisi batuan Formasi Kubang Pasu yang berusia Karbon tetapi tiada sempadan antara kedua-dua formasi ini ditemui di lapangan.

Tiada fosil ditemui dalam formasi ini.

Sekitaran Pengendapan sunting

Formasi Kayu Hitam ditafsirkan terbentuk dalam sekitaran endapan daratan sebagai alur sungai berliku dengan kewujudan konglomerat yang tersusun buruk sebagai alur utama, batu pasir pelbagai saiz yang tersusun buruk sebagai alur berliku dan batu lumpur sebagai dataran banjir.

Rujukan sunting

  1. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2009. Geology of the Bukit Batu Putih - Satun transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.