Formasi Layang-Layang

Formasi Layang-Layang ialah sejenis formasi batuan berusia Miosen hingga Pleistosen yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Sejarah sunting

Penemuan endapan Tertiar Akhir di sekitar Layang-Layang dan Kluang yang terawal dijalankan oleh Burton (1964).

Kajian susulan di Layang-Layang kemudian dilakukan oleh Rajah (1986) yang kemudian memperkenalkan endapan ini sebagai Formasi Layang-Layang bersempena nama lokasi di mana ianya tersingkap.

Namun begitu, singkapan di Kluang dipetakan oleh Loh (1980) sebagai Aluvium Tua yang berkemungkinan berusia Pleistosen.

Taburan sunting

Formasi Layang-Layang berkeluasan kira-kira 61 km2 dikelilingi perbukitan yang terdiri daripada Granit Gunung Belumut, kecuali bahagian timur yang terdiri daripada batuan sedimen berusia Kapur Bawah.

Ahli Batuan, Litologi dan Sekitaran Pengendapan sunting

Rajah (1986) membahagikan Formasi Layang-Layang kepada 2 ahli batuan iaitu Ahli Syal Badak dan Ahli Pasir Pengeli.

Ahli-ahli Formasi Layang-Layang
Ahli Batuan Litologi dan Ciri-ciri Am Sekitaran Pengendapan
Ahli Syal Badak
  • Ahli Syal Badak terdiri endapan konsolidat hingga tak konsolidat berupa lempung berpasir kelabu hingga perang kekuningan dan lapisan lom dengan sedikit lempung kelabu dan lempung jingga - kuning.
  • Butiran kuarza subbulat dan laterit halus atau pebel ferikriet juga banyak ditemui dalam lapisan lom.
  • Tiada sempadan bawah ditemui bagi ahli batuan ini.
Sekitaran antara gunung atau tasik
Ahli Pasir Pengeli
  • Ahli Pasir Pengeli terdiri daripada pasir berkuarza-felspar, lempung berpasir, pasir berlempung dan lempung yang berwarna putih, krim, kelabu atau sedikit merah jambu.
  • Ahli batuan ini melapisi Ahli Syal Badak di bahagian atas.
  • Rajah (1986) turut mengelaskan Ahli Pasir Pengeli sebagai homolog dengan Aluvium Tua yang dipetakan oleh Burton (1964).
Sekitaran fluvium hingga delta

Struktur sunting

Kajian graviti oleh Vijayan (1990) menemukan struktur graben separa yang terangkum pada arah timur laut oleh sesar biasa listrik dengan tujahan minima 1 kilometer.

Usia sunting

Penentuan terawal usia formasi ini sebagai Pliosen hingga Pleistosen dikenalpasti berdasarkan penemuan fosil-fosil palinomorf dan tumbuhan dalam Ahli Syal Badak oleh Rajah (1986).

Fosil palinomorf:

  • Pinus sp.

Fosil tumbuhan:

  • Illipse sp.
  • Shorea sp.
  • Brugulera sp.
  • Rhizophora sp.

Kajian palinomorf lanjutan oleh Ahmad Munif et al. (1994) ke atas batu lumpur kelabu daripada Ahli Syal Badak menunjukkan sekitaran endapan tasik seawal usia Miosen.

Rujukan sunting

  1. Ahmad Munif Koraini, Azmi Mohd. Yakzan, Uyop Said, 1994. Plynological study of outcrop samples from Layang-Layang Formation, Bandar Tenggara, Johor (Abstrak). Newsletter, Geological Society of Malaysia, 20(3), 236.
  2. Burton, C.K., 1964. The older alluvium of Johore and Singapore, Jour. Trop. Geog., 18, 30-42.
  3. Loh, C.H., 1980. Geology of the Keluang area, Sheet 124, Johore. Annual Report 1978, Geol. Survey Malaysia, 131-135.
  4. Raj, J.K., Abdul Hadi Abd. Rahman, Mustaffa Kamal Shuib, 1998. Tertiary basins of inland Peninsular Malaysia: review and tectonic evolution, Geological Society of Malaysia, Bulletin 42. pp.211-226.
  5. Rajah, S.S., 1986. The geology and mineral resources of the Gunung Belumut area, Johore. Geol. Survey Malaysia, District Memoir 19, 191p.
  6. Vijayan, V.R., 1990. Gravity survey of the Layang-layang tertiary basin in Johor, Peninsular Malaysia - A Preliminary report, Geological Society of Malaysia, 17(1),51-58.