Gontaian (bahasa Inggeris: ambling) merupakan gaya jalan kuda yang sederhana berdepak empat, lebih laju daripada berjalan tetapi biasanya lebih perlahan daripada trot dan sentiasa lebih perlahan daripada derap. Gontaian itu lebih lancar bagi penunggang daripada trot atau ligasan yang berdepak dua, malah kebanyakan gontaian boleh dipelihara untuk jangka masa yang agak lama. Oleh itu, gontaian adalah sesuai untuk perjalanan di denai dan lain-lain tugas yang mana penunggang perlu duduk di atas pelana untuk jangka masa yang lama.

Seekor kuda Iceland melakukan gontaian tölt

Gontaian sisian sunting

 
Kuda Berjalan Tennessee berjalan lari

Gontaian sisian atau lateral tergolong dalam turutan kaki kanan belakang, kanan hadapan, kiri belakang, kiri hadapan. Gontaian ini boleh dibezakan dengan sama ada depak langkahnya "sekata" atau isokron, empat depak sekata dalam ritma 1-2-3-4; ataupun atau ritma sedikit tak sekata 1-2, 3-4 yang terhasil kerana kuda mengangkat turun kaki-kakinya lebih cepat di sebelah hingga menghasilkan sedikit jeda apabila beralih ke langkah kaki sebelah bertentangan.[1] Walaupun rata-rata gontaian sisian sangat lancar, namun sesetengah pembiak baka kuda bergontai berpendapat bahawa gontaian sisian yang sekata agak lebih lancar daripada yang tidak sekata.[2]

Jalan lari sunting

Jalanan lari merupakan gaya jalan sisian empat depak sekata dengan depak langkah yang sama turutan dengan jalanan biasa, tetapi lebih laju dan lancar cirinya. Kuda mengekalkan rentak nalar empat depak, tetapi jalanan lari bercirikan jangkauan melampau kaki belakang (yang biasanya terletak sejauh 24 inci di hadapan tempat kaki hadapan menyentuh tanah) serta kelajuan sehingga 10 mph. Gontaian sebegini adalah ciri semula jadi tersendiri bagi Kuda Jalan Tennessee.

Rack sunting

Rack merupakan gaya jalan yang pernah dikenali sebagai "Virginia Single-foot Gait" (Gaya Jalan Sekaki Virginia), dan mampu dilakukan oleh kebanyakan baka kuda. Ianya paling sering dikaitkan dengan American Saddlebred. Dalam gaya jalan ini, kelajuan gaya jalan sekaki sisian sekata ditingkatkan kepada lebih kurang selaju trot atau ligasan, tetapi daripada menjadi gaya dua depak, ia merupakan gaya empat depak dengan selang-selang yang sekata antara setiap depakan.

Seperti mana gaya jalan sederhana yang lain, rack lebih lancar daripada trot kerana telapuk yang menjejaki tanah secara berasingan daripada secara berpasangan mengurangkan daya dan hinggut-hinggutan yang dipancarkan oleh kuda kepada penunggang. Untuk mencapai gaya jalan ini, si kuda mesti berada pada "posisi cengkung", iaitu daripada belakang membonjol seperti pada kuda dressage dan lain-lain yang menggunakan suku bawahnya, tulang belakang dilengkungkan ke bawah sedikit sebanyak. Ini adalah supaya kuda berada di posisi yang terbaik untuk melakukan rak tanpa tiba-tiba beralih ke gaya jalan lain. Jika penunggang itu duduk di belakang atau melayah sedikit ke belakang, ini akan menggalakkan posisi cengkung tersebut, justeru membolehkan kaki belakang untuk meleret serta memudahkan gerakan rack bagi kuda. Akan tetapi, posisi ini melemahkan belakang dan membuatkan kuda kurang mampu menanggung berat badan penunggang tanpa terasa tegang.

Kelajuan rack boleh sepantas ligasan. Perjalanannya lancar, malah penunggang kelihatan pegun sementara kuda berjalan. Si kuda pula mendiamkan kepala sementara kebanyakan pergerakan berlaku di bahagian kaki.

Tölt sunting

 
Kuda Iceland melakukan tölt

Tölt merupakan gaya gontaian sisian empat depak yang terdapat terutamanya pada kuda Iceland. Bukan sahaja terkenal dengan pecutan dan kelajuan yang mengagumkan, bahkan juga menyelesakan dan mencengkam tanah.[3] Terdapat banyak kelainan gaya dalam gaya jalan ini, maka tölt sering dibandingkan dengan gontaian sisian seumpamanya seperti rack oleh baka Saddlebred, largo oleh Paso Fino, ataupun jalanan lari Kuda Jalan Tennessee. Seperti semua gontaian sisian, rentak langkahnya sama seperti berjalan (kiri belakang, kiri hadapan, kanan belakang, kanan hadapan), tetapi berbeza dengan gaya berjalan iaitu boleh dilakukan pada pelbagai kelajuan, dari selaju jalanan pantas yang biasa hinggalah selaju ligasan biasa. Sesetengah kuda Iceland lebih gemar berjalan tölt, dan sesetengah lagi lebih gemar trot; latihan yang betul boleh memperbaiki gaya jalan yang lemah, tetapi tölt itu adalah gaya jalan semula jadi yang ada sejak lahir.[4][5][6] Terdapat dua jenis tölt yang dikira tidak betul oleh pembiak baka. Pertamanya, "Pig's Pace" atau "Piggy-pace" tak sekata yang lebih menyerupai ligasan dua depak daripada gontaian empat depak. Keduanya, Valhopp iaitu gabungan tölt dengan kanter yang paling kerap disaksikan pada kuda muda yang tidak terlatih ataupun kuda yang mencampurkan gaya-gaya jalannya. Kedua-dua jenis tersebut lazimnya kurang menyelesakan penunggang.[6] Kuda Iceland juga melakukan ligasan yang dipanggil skeið, flugskeið atau "ligasan terbang".[7][8] Kuda dengan kebolehan semula jadi yang kuat untuk melakukan tölt nampaknya adalah heterozigot untuk mutasi DMRT3.[9]

Gontaian pepenjuru sunting

 
Mangalarga Marchador melakukan gontaian pepenjuru

Biasanya, gontaian pepenjuru (diagonal) adalah sedikit tidak sekata, menurut ritma 1-2, 3-4 yang membuat penunggang terasa sedikit enjutan di depan dan belakang. Gaya jalan ini dianggap lebih menyenangkan tubuh kuda daripada gontaian sisian kerana kurangnya kecengkungan belakang apabila kuda berjalan sebegini.[10] Bagaimanapun, gontaian pepenjuru dibidas sebagai tidak selancar gontaian sisian oleh penggemar gontaian sisian.[2] Gaya-gaya gontaian pepenjuru digolongkan sebagai gaya jalan alternatif walaupun dipuncakan dari trot dan bukannya ligasan, malah mekanisme genetik yang membenarkan gontaian pepenjuru nampaknya sama gen dengan yang menyebabkan gontaian sisian.[9]

Fox trot sunting

Fox trot paling sering dikaitkan dengan Missouri Fox Trotter, tetapi juga dikenali dengan nama-nama lain.[1] Fox trot merupakan gaya jalan pepenjuru berputus-putus empat depak yang mana kaki hadapan dalam sepasang pepenjuru menyentuh tanah sebelum kaki belakang, maka menghapuskan momen ampaian serta melancarkan perjalanan yang dikatakan juga melangkah dengan pasti. Gaya jalan ini kadang-kadang disifatkan sebagai membuat kuda berjalan perlahan dengan kaki hadapan sambil ber-trot dengan kaki belakang. Dalam fox trot, si kuda mesti memijakkan sebatang kaki pada tanah sentiasa sambil melakukan gerakan lincir dengan kaki belakang.[11]

Rujukan sunting

  1. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan Lieberman tidak disediakan
  2. ^ a b Hartman, Karen. "Gait Explained." Web page accessed August 2, 2007 at https://web.archive.org/web/19991012211132/http://home.earthlink.net/~khartman/gait.htm
  3. ^ Bongianni, Maurizio (editor) (1988). Simon & Schuster's Guide to Horses and Ponies. New York, NY: Simon & Schuster, Inc. m/s. Entry 133. ISBN 0-671-66068-3.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  4. ^ "Icelandic". Breeds of Livestock. Oklahoma State University. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-08. Dicapai pada 2009-02-21.
  5. ^ "The Gaits of the Icelandic Horse". The Icelandic Horse Society of Great Britain. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-28. Dicapai pada 2009-02-22.
  6. ^ a b "Buyer's Checklist". United States Icelandic Horse Congress. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-26. Dicapai pada 2009-02-22.
  7. ^ Edwards, Elwyn Hartley (1994). The Encyclopedia of the Horse (ed. 1st American). New York, NY: Dorling Kindersley. m/s. 194–195. ISBN 1-56458-614-6.
  8. ^ Hendricks, Bonnie (1995). International Encyclopedia of Horse Breeds. University of Oklahoma Press. m/s. 232. ISBN 978-0-8061-3884-8.
  9. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan Nature tidak disediakan
  10. ^ Hart, Rhonda. "Ready to Gait?" Equus, issue 359, August, 2007, pp. 55-56.
  11. ^ "Standards of the Missouri Fox Trotting Horse". Missouri Fox Trotting Horse Breed Association. Dicapai pada 2011-09-21.