Hang Tuah Diutus ke Siam

Pada tahun 2015, Dewan Bahasa Dan Pustaka telah menerbitkan antologi Nilai Insan bagi subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif Tingkatan 4 dan 5. Antologi ini meliputi puisi dan prosa tradisional telah menggantikan teks sebelumnya yang telah diguna buat kali terakhir bagi pelajar yang menduduki SPM pada tahun 2014.

Antara kandungan yang terdapat dalam Nilai Insan ialah Sastera Epik yang bertajuk Hang Tuah Diutus Ke Siam yang dikutip dari Hikayat Hang Tuah.

Ceritanya bermula apabila Raja Melaka telah menghantar utusan ke negeri Siam untuk membeli gajah. Bendahara Seri Maharaja telah mencadangkan supaya Laksamana Tun Tuah diutus ke Siam untuk membeli empat ekor gajah jantan dan dua ekor gajah betina. Laksamana mencadangkan supaya Hang Kasturi ikut serta dalam rombongan tersebut.

Dalam perjalanan ke Siam, rombongan Melaka telah singgah di Hujung Sawang, Patani. Di Pantai, Laksamana bersama rombongan sempat membuat lawatan di sekitar bandar.

Rombongan Melaka disambut dengan penuh adat kebesaran kerajaan Siam oleh Oya Begelang. Manakala Syahbandar Siam menerangkan cara-cara atau budaya mengadap Raja Siam, Phra Cau iaitu masuk seorang diri dan tidak boleh membawa budak-budak dan merangkak sambil menyembah.

Walau bagaimanapun, Laksamana telah memberitahu bahawa dia mempunyai penyakit dan tidak boleh merangkak. Phra Cau membenarkan Laksamana menghadap cara budaya Melayu Melaka. Laksamana Tun Tuah menyembahkan maksud utusan Raja Melaka untuk membeli gajah. Phra Cau gembira dan bersetuju menjualkan gajah yang diinginkan.

Phra Cau menyuruh pendekar Jepun, Cin Cu bermain senjata dengan Laksamana Hang Tuah sebagai pertunjukan dan Laksamana Tun Tuah berjaya mengalahkan Cin Cu. Lalu pendekar 7 Jepun mengamuk dan ingin membunuh Phra Cau. Phra Cau bejaya menyelamatkan diri. Pendekar 7 Jepun mengamuk di pasar. Lima daripada tujuh pendekar Jepun itu berjaya dikalahkan oleh Laksamana Tun Tuah dan dua lagi melarikan diri ke Kemboja.

Atas kejayaan itu Phra Cau menghadiahkan empat ekor gajah kepada Hang Tuah dan enam ekor gajah kepada Raja Melaka. Dalam perjalanan pulang, Laksamana Tun Tuah telah disekat oleh pendekar Jepun dari Kemboja tetapi dapat dikalahkan oleh Laksamana dan rombongan. Harta benda pendekar Jepun itu telah dirampas. Kepulangan Laksaman Tun Tuah telah disambut dengan penuh adat kebesaran.

Laksamana Tun Tuah mengiringi Raden Bajau ke Bukit Siguntang Mahabiru untuk dirajakan di sana. Raden Emas Ayu telah melahirkan puteri diberi nama Puteri Gunung Ledang. Tun Teja melahirkan Putera diberi nama Sultan Mahmud. Beberapa lama kemudian Tun Teja melahirkan seorang putera lagi dan diberi nama Sultan Muhammmad (Ahmad).