Istana Kota Bamburgh

Istana Kota Bamburgh merupakan tapak bersejarah yang terletak di persisiran pantai Northumberland, British. Istana Kota Bamburgh yang kukuh ini di bina di atas tubir batu setinggi 150 kaki dari paras laut. Istana Kota Bamburgh bermula sebagai pertahanan Saxon tetapi sejarahnya jauh lebih lama sebelum zaman Rom dan banyak lagenda dikaitkan dengannya. Rekod awal mengenal pastinya sebagai 'Bebbanburgh', tapak kuasa raja-raja Bernicia, yang diserang sebanyak dua kali oleh Raja Mercian, Penda. Sejak 1,500 tahun dahulu Istana Kota ini terbukti kebal dari serangan dan hanya dengan tertawannya Earl Northumberland di luar Istana Kotanya, membolehkan William Penakluk untuk menguasai Bamburgh pada tahun 1095.

Hanya sedikit kesan pembinaan Norman yang kelihatan masa kini disebabkan perubahan besar yang berlaku selama beberapa kurun. Hanya menara utama atau induk kota memiliki ciri-ciri seni bina Norman, sungguhpun tempoh pembinaannya tidak dapat dipastikan. Sebahagian dari binaan batu awal yang terdapat pada tembok pertahanan juga bertarikh dari tempoh ini, tetapi kebanyakannya merupakan pemulihan moden. Sepanjang masa lalunya yang bergolak, Istana Kota Bamburgh menerima banyak pelawat diraja, dan kekal sebagai harta diraja sehingga 1610 disebabkan kedudukannya yang strategik. Semasa Perang Ros a bertukar tangan beberapa kali dan serangan terakhir pada tahun 1464 meninggalkan Istana Kota Bamburgh dalam keadaan runtuhan. Ia kemudiannya ditinggalkan dan mengalami kemusnahan semula jadi.

Sudut barat daya Istana Kota Bamburgh dari aras tanah dan atas

Menjelang kurun ke-18, hanya induk kota segi empat yang besar dari kota Norman yang kelihatan ditengah-tengah runtuhan yang tinggal. Ia akhirnya diselamatkan dan diwariskan bagi 'tujuan amal'. Buat pertama kali selama 300 tahun Istana Kota Bamburgh melalui program pemulihan besar-besaran, dan induk kota diubah suai sebagai sekolah dan rumah amal. Kerja pemulihan berterusan sepanjang era Victoria, tetapi masalah kewangan akhirnya mendorong pada penjualan istana kota sekali lagi. Pada tahun 1894, Lord Armstrong, pengilang senjata terkenal yang tinggal berhampiran di Cragside membeli istana kota tersebut dan dengan segera memulakan kerja pembinaan yang meluas. Sungguhpun ia kekal didiami sebahagiannya oleh keturunan Armstrong dan sebilangan besar penyewa yang tinggal di flet peribadi, beberapa bilik dibuka pada umum yang memaparkan kerja menakjubkan yang dilakukan pada awal kurun ke-20.

Hasil kerja pemulihan Victoria pada Dewan Raja sungguh menakjubkan dengan bercirikan zaman pertengahan, ia menjadi latar untuk bahagian lain istana kota. Di induk kota, gerbang Norman melengkung bulat yang merupakan ciri menonjol, sebagaimana gerbang di dewan utama. Melihat pada ketebalan dindingnya, dengan sesetengah bahagian memiliki ketebalan sehingga 3.6 meter (12 kaki), adalah tidak menghairankan bahawa bahagian induk kota yang kukuh itu masih kekal bertahan, sungguhpun bahagian yang lain berada dalam keadaan runtuhan. Kesemua bilik di dalam Istana Kota Bamburgh menggambarkan kemewahan pameran, barangan dan senibina bagi mengiringi kehebatan luaran istana kota tersebut.

Sebagai satu dari istana kota paling berkuasa di Utara, Istana Kota Bamburgh memainkan peranan penting bagi mematahkan serangan Scotland. Dengan kedudukannya di atas tubir batu, ia kelihatan tersergam dari laut dan menguasai persekitaran lautnya.


Nota sunting

Pautan luar sunting

Rujukan sunting

  • Bamburgh Castle
  • Bamburgh Research Project
  • Images of Bamburgh castle
  • Glen Lyndon Dodds, (Albion Press, 2002), Historic Sites of Northumberland & Newcastle upon Tyne, pp 33–39
  • David Ford Nash, "Early British Kingdoms".
  • Fry, Plantagenet Somerset (1980). The David & Charles Book of Castles. Newton Abbot: David & Charles. m/s. 182–183. ISBN 0-7153-7976-3. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  • Istana Kota Bamburgh di Google Earth