Kapak

alat atau senjata

Kapak adalah sejenis peralatan pertukangan kayu yang digunakan sejak zaman dahulu kala lagi, dan wujud di dalam hampir setiap tamadun manusia. Kapak digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu untuk membelah kayu, memotong kayu, menebang pokok-pokok dan kayu balak. Selain itu, kapak juga digunakan sebagai senjata perang dan senjata pertahanan diri. Kapak juga digunakan sebagai alat dalam istiadat keagamaan dan upacara adat dan dijadikan sebagai simbol lambang heraldic.

Kapak boleh digunakan untuk membelah kayu
Kapak juga digunakan sebagai simbol Lambang Heraldic

Kapak mempunyai berbagai bentuk dan kegunaan, termasuklah kegunaan khusus. Tetapi bentuk asasnya tidak banyak berbeza, iaitu kepala kapak yang dihubungkan kepada satu pemegang.

Latar belakang sunting

Contoh-contoh terawal kapak diperbuat menggunakan kepingan batu dengan pemegang yang dibuat daripada kayu (Bahasa Inggeris : hafted) menggunakan satu kaedah yang disesuaikan dengan bahan yang digunakan dan juga dengan kegunaan akhir kapak yang dibuat. Dengan kemajuan yang dicapai oleh tamadun manusia, kepala-kepala kapak dihasilkan menggunakan kuprum, tembaga, besi dan akhirnya keluli. Dengan kemajuan ini, kepala kapak menjadi lebih baik dan kekal tajam untuk jangka masa yang lama.

Kapak adalah satu bentuk mesin mudah – ia menggunakan baji (wedge) yang mempunyai dua satah condong. Susunan condong ini menggunakan tenaga atau daya yang perlu digunakan untuk membelah atau memotong kayu, kerana kepala kapak akan memaksa kayu tersebut terbelah disebabkan oleh tekanan yang dikenakan oleh mata satah kapak tadi.

Kebanyakan kapak moden mempunyai kepala kapak diperbuat daripada keluli dengan pemegang yang diperbuat daripada kayu, walaupun terdapat pemegang yang diperbuat daripada plastik ataupun gentian kaca. Kapak moden dibuat khusus untuk penggunaan tertentu. Kapak dengan pemegang pendek digunakan dengan sebelah tangan sahaja, dan dipanggil sebagai kapak tangan. Kapak kecil (hatchet) kadang kala mempunyai pemegang pendek dengan kepala tukul di satu belah kepala.

Pada permulaannya, kepala kapak dibuat menggunakan kepingan batu yang ditajamkan. Mungkin kapak pada masa itu tidak mempunyai pemegang. Kapak yang siap dengan pemegangnya mungkin mula digunakan pada Zaman Mesolitik (kira-kira 6000 SM). Kapak yang dibuat menggunakan tanduk rusa terus digunakan semasa Zaman Neolitik. Perkakas memotong dibuat daripada serpihan batu (flint) dan dipasangkan pemegang dan dijadikan sebagai beliung. Kapak yang dibuat daripada batu yang diasah digunakan semenjak Zaman Neolitik lagi dan digunakan untuk menebang pokok dan kerja-kerja perkayuan. Pada akhir Zaman Neolitik, (tamadun Michelsberg, Cortaillod), kapak-kapak dengan mata yang mempunyai bentuk segi empat menjadi lazim.

Pada akhir Zaman Neolitik (tamadun Pfyn-Altheim), kapak dibuat daripada kuprum ataupun campuran kuprum dan arsenik. Kapak tembaga dijumpai pada awal Zaman Tembaga.

Simbolisme, adat, dan dongeng rakyat sunting

Sejak Zaman Neolitik lagi, kapak mempunyai tempat khas di dalam upacara keagamaan dan kadangkala menggambarkan kedudukan atau status tuan punya di dalam masyarakat. Sesetengah jenis kapak tidak menunjukkan kesan penggunaan, dan masyarakat Zaman Neolitik (seperti masyarakat di Somerset Level) mempercayai kapak-kapak ini adalah pemberian daripada dewa-dewa mereka. Di Crete semasa Zaman Minoan, kapak bermata dua (double axe) membawa makna yang istimewa. Dalam tahun 1998, sebilah kapak bermata dua lengkap dengan pemegangnya yang dibuat dari antigorit dijumpai di Cham-Eslen, di Canton (Daerah) Zug, Switzerland.

Pada mata masyarakat Rom Purba, kapak menggambarkan kuasa untuk memenggal dan digunakan oleh Benito Moussolini semasa pemerintah Parti Fascist di Itali.

Bahagian-bahagian kapak sunting

Kapak mempunyai dua bahagian utama – kepala kapak dan pemegangnya. Kepala kapak ataupun mata kapak mempunyai bahagian yang tajam (mata kapak) di satu bahagian yang diletakkan pada penghujung suatu pemegang. Pemegang Kapak biasanya dibuat menggunakan kayu keras yang tahan lama dan tahan lasak, tetapi pada masa ini bahan plastik sudah mula digunakan untuk menggantikan kayu pemegang.

Pemegang kapak pada masa sekarang ini biasanya dibuatkan sedikit melengkung untuk membolehkan pengguna mendapatkan pegangan yang lebih baik dan daya yang lebih semasa mengayun kapak.

Kapak tukang sunting

 
Kapak Ais digunakan khusus oleh pendaki gunung untuk memanjat permukaan ais
  • Kapak Untuk Menebang Pokok
    Kapak ini khusus untuk menebang pokok dan digunakan dengan memotong urat kayu. Ada kapak pokok yang mempunyai dua mata kapak dan ada berbagai jenis pemegang yang digunakan untuk kapak jenis ini yang disesuaikan dengan jenis kayu yang ditebang.
  • Kapak Membelah Kayu
    Kapak ini digunakan untuk membelah kayu, dan digunakan untuk memotong memanjang selari dengan urat kayu. Kapak ini mempunyai mata kapak yang mempunyai baji yang lebih besar untuk memudahkan kerja membelah kayu. Bentuk baji yang tebal membuatkan urat kayu terpecah dan memudahkan kerja membelah.
  • Beliung
    Beliung digunakan adalah sejenis alat pertukangan di mana matanya dibuatkan melintang dengan arah ayunannya. Beliung digunakan untuk meratakan permukaan kayu dan beliung biasanya digunakan untuk kerja melicinkan permukaan kayu ataupun kerja-kerja yang lebih halus.

Kapak senjata sunting

  • Kapak Perang
    Kapak Perang sepanjang lengan manusia dan digunakan menggunakan satu ataupun kedua tangan. Kapak jenis ini berat untuk memberikan daya ayunan yang baik, dan mempunyai kepala kapak yang lebar. Apabila diayun, ia mempunyai daya memotong yang lebih baik berbanding pedang lebar (broadsword) dan boleh memutuskan anggota badan pihak lawan dengan sekali ayunan.
  • Tomahawk
    Tomahawk adalah kapak yang digunakan oleh kaum pribumi benua Amerika (sering kali silap dipanggil sebagai Red Indian). Pada asalnya mata kapak jenis Tomahawk dibuat daripada batu, tetapi kemudiannya dibuat daripada besi. Senjata ini boleh dibaling kerana ia ringan. Ia juga mudah digunakan dalam pertempuran jarak dekat. Selain itu, tomahawk juga mempunyai keistimewaan menjadi bahan istiadat.
  • Valaška
    Valaška digunakan oleh gembala kambing kaum Slav dan mempunyai kepala kapak kecil untuk pertahanan diri. Hujungnya mempunyai pemegang yang membolehkannya digunakan sebagai tongkat untuk membantu mereka mendaki tebing bukit dan gunung semasa membawa kambing mereka ke padang ragut. Valaška juga digunakan sebagai alat dalam tarian odzemok.
  • Ono
    Ono pula adalah sejenis kapak yang digunakan oleh kumpulan sōhei, satu kumpulan biarawan Jepun. Kapak ini sekali imbas tidak kelihatan sebagai senjata, dan lebih mirip kepada alat pertukangan.
 
Kapak Lembing ataupun Halberd digunakan untuk menentang pasukan berkuda (Kavalri)


  • Halberd
    Halberd dalam bahawa Melayu dipanggil sebagai kapak senjata ataupun kapak lembing. Kapak jenis ini mempunyai satu bahagian tajam di hujung untuk digunakan menikam pihak lawan dan kepala kapak untuk memotong anggota badan seteru. Senjata ini mempunyai pemegang panjang seperti lembing.
  • Kapak Galah (Pole Axe)
    Sejenis lagi kapak senjata dipanggil “Pole Axe” dan digunakan untuk menembusi pakaian perisai, dan mempunyai kepala kapak yang tirus untuk memberikannya daya menembusi yang lebih.
  • Kapak Viking
    Kapak ini mempunyai kepala kapak yang lebar, dan dikatakan menjadi senjata kegemaran pahlawan-pahlawan Viking .
  • Kapak Yang Dibaling
    Kapak-kapak jenis ini dibuat untuk tujuan dibaling semasa pertempuran untuk melukakan ataupun membunuh pihak lawan. Biasanya kapak ini bersaiz kecil untuk mudah dibaling menggunakan sebelah tangan sahaja.
  • Hurlbat
    Hurlbat pula adalah sejenis kapak yang dibuat keseluruhannya daripada besi, dan digunakan dengan cara membaling kepada pihak lawan. Kapak ini mempunyai satu hujung yang tajam di samping kepala kapak yang tajam.
  • Kapak Francisca ataupun Kapak Frankish
    Kapak Francisca ataupun Kapak Frankish dibaling kepada pihak lawan ataupun digunakan untuk pertempuran jarak dekat. Kapak ini digunakan oleh wira-wira Viking, dan mempunyai mata tajam untuk menembusi perisai.

Kapak bomba dan lain-lain sunting

 
Seorang anggota bomba memegang kapak ahli bomba
  • Kapak Bomba
    Kapak bomba adalah satu alat khusus yang digunakan oleh ahli bomba untuk menjalankan tugas memadam api dan menyelamatkan mangsa kebakaran. Kapak bomba mempunyai satu bahagian tajam seperti mata cangkul burung dan satu bahagian lagi yang mempunyai kepala kapak yang besar. Pemegangnya biasanya dibuatkan panjang untuk membolehkan ahli bomba mendapatkan daya ayunan yang baik untuk memecah dan merobohkan halangan semasa menghadapi kebakaran. Kapak Bomba biasanya mempunyai warna terang supaya mudah dilihat semasa kebakaran.
  • Kapak Pulaski
    Kapak Pulaski digunakan khusus oleh ahli bomba yang menjalankan kerja pemadaman api hutan. Kapak ini mempunyai bahagian untuk digunakan untuk menggali akar pokok dan untuk memotong. Ia amat berguna untuk kegunaan di dalam hutan.
  • Kapak Pemanjat Gunung/Kapak Ais
    Terdapat beberapa jenis kapak direka khusus untuk kegunaan pemanjat gunung dan pemanjat tebing ais. Kapak jenis ini digunakan untuk memecahkan batu batu membuat tempat pegangan ataupun tempat meletakkan hujung kaki, dan boleh digunakan sama ada ke atas permukaan batu ataupun permukaan ais.