Meriam Karbit ialah sejenis mercun buatan sendiri yang popular dan merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap malam terakhir Ramadan, semasa musim perayaan Hari Raya. Permainan ini juga sudah lama menjadi adat oleh penduduk di Pontianak, Kalimantan Barat yang rata-ratanya terdiri daripada keturunan Melayu. Menurut laman blog Wisata Pontianak, kewujudan Meriam Karbit di wilayah itu sebenarnya dikatakan bagi mengusir banyak hantu puntianak (dikenali di Indonesia sebagai kuntilanak). Pemerintah ketika itu, Sultan Sayyid, telah mengarahkan agar meriam-meriam dinyalakan dan ditembak bagi mengusir hantu-hantu itu dan daripada itulah ia menjadi tradisi pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri.[1]

Di Pontianak, di tepian Sungai Kapuas, sudah menjadi adat dan kebiasaan masyarakatnya untuk memainkan meriam karbit, biasanya bermula dari 10 malam terakhir bulan Ramadan beramai-ramai.[2]

Bagaimana ia berfungsi sunting

Meriam karbit diperbuat daripada kayu besar berdiameter sekitar 50 hingga 100 sentimeter dan panjang mencecah antara empat hingga tujuh meter dan mempunyai lubang di bahagian tengah bagi memudahkan api dinyalakan untuk menembak meriam. Cara pengendaliannya mirip kepada meriam buluh yang biasanya dimainkan di Semenanjung Malaysia, namun apa yang membezakannya ialah saiz yang begitu besar sehingga menghasilkan kesan letupan yang kuat.[3]

Satu lubang pencucuh akan ditebuk pada pangkal batang Karbit dan campuran kalsium karbida dan air dimasukkan. Tindak balas kimia yang terhasil daripada campuran kalsium karbida dan air di dalam batang kayu akan menghasilkan asetilena, gas yang mudah meletup. Gas asetilena akan meletup apabila didedahkan kepada api. Letupan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan teruk jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati.

Bahaya bermain meriam karbit sunting

Sebagaimana bahan letupan yang lain, meriam karbit boleh mendatangkan kecederaan sekiranya berlaku kegagalan pada batang kayu yang digunakan bagi menahan letupan yang terhasil. Hal ini menjadikan ia tidak dapat dijangka. Letupan inilah yang berbahaya kerana batang kayu yang berderai akan terpercik, tak termasuk bahan api yang mungkin akan terpercik dan menyebabkan kelecuran dan kecacatan kekal pada muka dan anggota badan akibat letupan tadi.

Selain itu, terdapat bahaya daripada 'sisa toksik' kabaid yang berasid yang mampu menipiskan kulit yang terdedah di samping wapnya mengancam paru-paru sekiranya dihidu untuk tempoh yang lama. Selain itu, terdapat bahaya melecur terkena api lampu kabaid, dan juga bahaya ketika berlaku letupan terlewat. Bahaya letupan lewat berlaku apabila pemain cuba memeriksa meriam yang tidak meletup selepas dicucuh, lantas meriam meletup ketika mereka sedang melihat ke dalam meriam.

Langkah pencegahan sunting

Batang kayu yang digunakan sebagai meriam batang karbit itu akan disimpai ketat dengan menggunakan rotan. Simpaian ini dilakukan pada tiga atau empat tempat penting. Antaranya adalah di bahagian muncung, tengah dan pangkal. Bagaimanapun, simpaian ini tidak mengurangkan bahaya melecur terkena api lampu kabaid.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting