Padang Tok Sheikh ialah salah satu tarikan utama yang terdapat di Gunung Jerai, Kedah dan merupakan antara geotapak dalam Geopark Jerai.

Padang Tok Sheikh
[[Imej:|frames|250px]]
Maklumat ringkas
Geopark Jerai Geopark
Koordinat (DMS) 5°47'27"N, 100°26'6"E
Negara Malaysia
Jenis Geotapak Sejarah
Nilai Tinggi
Keunikan Metakuartzit Formasi Jerai berusia 550 juta tahun
Akses Terhad

Lokasi sunting

Padang Tok Sheikh terletak berhampiran puncak Gunung Jerai. Akses ke Padang Tok Sheikh ialah melalui laluan jalan raya dari kaki Gunung Jerai sehingga ke perkarangan luar Hotel The Jerai Hill. Kenderaan 4 roda disaran diletak di situ kerana akses seterusnya ke bahagian lebih atas adalah melalui laluan bertar yang sempit.

Pengunjung juga perlu berjalan kaki dari laluan bertar yang sempit mengikut susur pejalan kaki yang dibina sebelum tiba di Padang Tok Sheikh.

Latar Belakang Geologi sunting

Padang Tok Sheikh merupakan kawasan berbatuan hampar yang luas. Batuan hampar ini merupakan batuan metakuartzit daripada Formasi Jerai yang berusia Kambria. Singkapan metakuartzit ini asalnya wujud sebagai pinggir laut cetek kuno yang berlumpur sebelum mengeras dan mengalami pengangkatan semasa perejahan Granit Jerai yang membentuk Gunung Jerai semasa usia Trias.

Terdapat juga jalur-jalur telerang kuarza yang memotong batu hampar metakuartzit secara seragam dan membentuk kotak-kotak.

Selain itu, fosil surih berupa lubang-lubang berpasangan juga dapat dilihat di beberapa bahagian di sekitar Padang Tok Sheikh yang merupakan tinggalan korekan cacing semasa usia Kambria.

Latar Belakang Sejarah sunting

Padang Tok Sheikh ialah tempat yang terkenal yang disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa di mana terletaknya makam Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad bin Sheikh Jaafar Al-Qumairi dari Yaman.

Sheikh Abdullah ialah ulama yang mengislamkan Maharaja Derbar Raja, pemerintah Kedah Tua pada tahun 1136 Masihi. Maharaja Derbar Raja menukar nama kepada Sri Paduka Sultan Muzaffar Shah, Sultan Negeri Kedah ke-9 setelah memeluk Islam.

Sebuah menara dibina atas Gunung Jerai dengan titah Sultan Muzaffar Shah sebagai tempat melaungkan azan di samping memperingati pengislaman baginda dan pertukaran nama negeri 'Kalaha' kepada 'Kedah'.

Sheikh Abdullah meninggal dunia semasa memantau pembinaan menara tersebut. Beliau dikebumikan di kawasan rata berhampiran menara azan tersebut dan kawasan tersebut kemudian dikenali sebagai Padang Tok Sheikh, bersempena nama beliau.

Cabaran sunting

Walaupun Padang Tok Sheikh diiktiraf sebagai antara geotapak bernilai tinggi dalam Geopark Jerai, tempat ini masih dibelenggu dengan kegiatan pemujaan nombor ekor, tarik wang dan amalan-amalan khurafat lain termasuk membuang sial.

Padang Tok Sheikh juga dikenali di alam nusantara sebagai antara lokasi bagi melengkapkan ilmu pertapaan. Pengamal petapaan ini akan datang bertapa dengan mendirikan khemah-khemah di sekitar Padang Tok Sheikh.

Rujukan sunting