Pertempuran Haldighati
Pertempuran Haldighati terjadi pada 18 Jun 1576 antara kavalri dan pemanah yang menyokong pemerintah Mewar, Maharana Pratap dan tentera Mughal yang diketuai oleh Man Singh I. Mughal meraih kemenangan muktamad dan Mewar mengalami kerugian yang besar tetapi Pratap berjaya melarikan diri daripada ditangkap oleh Mughal.
Pertempuran Haldighati | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Peperangan Mughal-Rajput | |||||||
Gambaran Pertempuran Haldighati oleh Chokha, c. 1810 – c. 1820. | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
Mewar | Empayar Mughal | ||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
|
| ||||||
Kekuatan | |||||||
3,000 kavalri 400 pemanah Bhil Bilangan gajah yang tidak diketahui |
10,000 tentera Bilangan gajah yang tidak diketahui[1] | ||||||
Kerugian dan korban | |||||||
1,600 terkorban dan tercedera |
150 terkorban 350 tercedera |
Latar belakang
suntingPada tahun 1556, Maharaja Mughal yang ketiga iaitu Akbar bersama pemangku raja, Bairam Khan telah menewaskan penguasa Empayar Sur, Hemu dalam Pertempuran Panipat Kedua. Kemenangan Mughal ini menandakan penguasaan mereka ke atas Delhi dan Agra telah dipulihkan. Sikandar Shah Suri cuba melancarkan penentangan ke atas Mughal pada tahun 1556 tetapi ia berjaya dipatahkan. Pada tahun 1559, Mughal menamatkan hayat Empayar Sur sekali gus menjadikan ia kini sebagai kerajaan paling berkuasa di utara India.
Akbar yang kini berusia 18 tahun bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan pemangku rajanya supaya beliau dapat memerintah dengan sendirinya. Perkara ini telah memaksa Bairam Khan untuk melancarkan pemberontakan. Namun pada tahun 1560, Akbar meraih kemenangan muktamad ke atas bekas penolong kanannya. Maharaja Mughal kini mencari peluang untuk meluaskan kuasa ke India Tengah dan India Barat. Daerah Gujerat dilihat sebagai kawasan yang strategik kerana ia sangat penting untuk menjalankan urusan perdagangan laut dengan Uthmaniyah dan Safawiyah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kerajaan kecil yang diperintah oleh pahlawan kasta Rajput yang bersempadan dengan daerah Gujerat. Rajput merupakan kumpulan pahlawan yang agak unik. Setiap lelaki dari puak itu dibesarkan menjadi seorang tentera dan ia sama seperti yang dibuat oleh Sparta. Namun, Rajput berperang seperti kesateria Eropah pada Zaman Pertengahan. Sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada kavalri dan ditambah dengan tentera bergajah seperti yang digunakan di India secara tradisi turun-temurun. Mereka juga bertahan di dalam istana berkubu untuk menghadapi serangan.
Akbar melancarkan serangan dahulu. Pada tahun 1561, jeneral Akbar menewaskan Sultan Malwa, Baz Bahadur dalam Pertempuran Sarangpur dan dia menakluk kerajaan Malwa pada tahun berikutnya. Baz Bahadur kemudian melarikan diri menuju ke istana penguasa Mewar, Udai Singh II. Bagi pihak Mughal, perkara ini dapat dijadikan sebagai alasan bagi mereka untuk menyerang kerajaan Mewar. Namun, pemerintahan Akbar telah digugat oleh cabaran daripada saudaranya yang menggunakan khidmat puak Turk. Pemberontakan ini sedikit sebanyak telah merencatkan usaha perluasan kuasanya sehingga tahun 1567. Walaupun beliau sibuk menangani perkara-perkara ini, Maharaja Mughal berjaya mencuri masa untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan Rajput. Bahkan, terdapat sesetengah daripada kerajaan Rajput telah menjadi negeri naungan kepada Empayar Mughal.
Pemerintah Mewar iaitu Udai Singh tidak tunduk akan kekuasaan Mughal. Pada tahun 1567, Maharaja Akbar bertindak menceroboh kerajaannya. Mughal meraih kelebihan dari sudut jumlah bilangan tentera. Mereka telah menghimpunkan tentera seramai 100,000 orang manakala pemimpin Rajput itu hanya memiliki selebih-lebihnya seramai 20,000 orang. Setelah mendengar perkhabaran ini, Udai berundur ke kawasan pergunungan yang terletak di barat daya kerajaannya dengan berharap kubu-kubunya dapat menghentikan kemaraan penceroboh Mughal. Pada hujung tahun 1567 dan awal tahun 1568, tentera Akbar telah mengepung kota Chittorgarh. Pada tahun yang sama, tentera beliau kemudiannya mengepung Ranthambore. Kedua-dua tempat itu jatuh ke tangan Mughal dalam tempoh masa beberapa bulan tetapi pengepungan ini masih dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa. Buat pertama kali dalam sejarah India apabila tentera jurutera dan artileri telah memainkan peranan penting untuk mengepung dan menyerang sesuatu kubu. Akbar dan jeneralnya telah mengarahkan tentera jurutera untuk menggali parit dan menanam bahan peledak bagi meruntuhkan benteng pertahanan musuh. Pemerintahan Udai Singh telah retak apabila Akbar tidak ingin berperang di kawasan pergunungan. Jadi, Akbar membuat keputusan untuk pulang ke ibu kota. Saki baki kerajaan Rajput mengakui kekuasaan Mughal walaupun hanya terdapat sesetengah puak Mewar meneruskan penentangannya.
Pada tahun 1572, Ubai Singh meninggal dunia dan anaknya, Pratap menjadi penguasa Mewar. Akbar bersungguh-sungguh untuk menjamin laluan ke Gujerat. Pada tahun 1576, beliau telah menghantar jeneralnya, Man Singh yang merupakan seorang pengamal budaya Rajput untuk berunding mengadakan perjanjian. Sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa Pratap telah menghina Man Singh kerana berada di pihak Akbar. Sesetengah pula berpendapat bahawa Pratap cuma menolak rundingan tersebut untuk menjadi naungan Mughal sekali gus meletakkan peperangan tidak dapat dielakkan lagi. Pratap tahu bahawa jumlah tenteranya tidak dapat mengatasi musuh. Jadi, beliau telah meletakkan tenteranya di laluan pintu masuk menuju ke Genting Haldighati. Tentera Man Singh pula menghampiri kawasan itu dan Pertempuran Haldighati yang ikonik tercetus pada 18 Jun 1576.
Komposisi tentera
suntingTerdapat kecenderungan yang dirasai oleh para cendekiawan untuk menggambarkan pertempuran ini sebagai konflik agama antara Hindu dan Islam. Namun, sumber-sumber jelas menyatakan terdapat tentera Pratap yang merupakan tentera upahan Muslim. Dalam pertempuran ini, Man Singh mempunyai 4,000 pahlawan yang berasal daripada puaknya, 1,000 pahlawan Hindu dari puak lain dan 5,000 tentera daripada angkatan Mughal. Walaupun artileri Mughal terletak berhampiran, ia tidak mengambil bahagian dalam pertempuran ini oleh kerana bentuk muka bumi yang boleh menghalang Man Singh daripada menuju ke posisi yang disasarkan. Tentera Mughal juga mempunyai pasukan kavalri ditambah dengan tentera bergajah dan tentera bersenapang.
Sementara itu, Pratap mempunyai 3,000 kavalri, 500 orang pemanah dan bilangan gajah yang tidak diketahui.
Pertempuran
suntingTentera Mughal meletakkan pasukan pemanah dan tentera bersenapang di barisan hadapan manakala baki tentera yang lain telah dibahagikan kepada lima kumpulan. Kebanyakan tentera ditumpukan di pasukan sayap kiri. Man Singh bersama anggota sukunya berada di pusat tentera. Pratap pula membahagikan tenteranya kepada empat unit yang sama dan beliau telah meletakkan pasukan pemanah di belakang. Posisi tentera bergajah tidak begitu jelas tetapi berdasarkan perincian pertempuran ini, ia dapat disimpulkan mereka sama ada berada di unit pusat atau unit hadapan.
Pratap tahu jumlah bilangan musuh mengatasi tenteranya dan beliau memulakan pertempuran dengan melancarkan serangan penuh yang dilakukan oleh semua tentera dari barisan hadapan. Serangan mereka telah mematahkan tentangan musuh sehingga memaksa pasukan sayap kanan Mughal melarikan diri. Apabila kemaraan pasukan tengah Rajput disekat oleh unit Mughal, pasukan sayap Pratap menyertai serangan ini dan menewaskan unit tersebut. Barisan hadapan Mughal segera dibantu oleh tentera pusat yang dipimpin oleh Man Singh. Bantuan ketenteraan ini telah menamatkan momentum Rajput dan membolehkan Mughal merangka semula barisan tenteranya.
Pratap mengirim tentera bergajahnya untuk cuba memecahkan formasi barisan tentera musuh tetapi Man Singh berhadapan dengan ancaman ini melalui penghantaran tentera bergajahnya sendiri. Titik pertempuran ini mengingatkan kepada legenda dengan sumber-sumber menggambarkan pertempuran dahsyat antara tentera bergajah ini secara terperinci. Kelihatan Man Singh berjaya menyusun semula pasukan sayap dan tentera bersenapang. Apabila pertempuran sengit berlangsung di pasukan sayap kiri musuh, tentera bersenapang Mughal kemudian mula melepaskan tembakan ke arah tentera bergajah musuh. Gajah Rajput mati ekoran tembakan tersebut dan ia menandakan serangan balas Mughal.
Man Singh membahagikan pasukan simpanannya kepada dua bahagian dan menghantar mereka kepada pasukan sayap dalam percubaan untuk menyepit masuk ke dalam pertarungan. Oleh kerana Rajput gagal untuk mengawal pintu masuk ke Genting Haldighati, gerakan ini telah berhasil. Pratap mengirim lebih ramai tenteranya kepada pasukan sayap membuatkan pasukan tengahnya yang telah lemah diserang musuh. Ramai pemimpin Rajput terkorban disebabkan kepungan musuh manakala Pratap sendiri mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan tidak menyedarkan diri. Dikatakan bahawa pasukan kavalri Rajput mula berundur daripada medan pertempuran dan beberapa orang pasukan pemanah telah bersuka rela untuk memastikan pengunduran tersebut. Pemanah Rajput berjaya mengalihkan tentera Mughal untuk bertempur pada sesuatu masa dan ia membolehkan lebih daripada separuh tentera Rajput bersama pemimpin-pemimpinnya melepaskan diri.
Pratap terus melancarkan perang gerila menentang penceroboh Mughal buat selama beberapa dekad seterusnya. Buat tempoh masa yang singkat, beliau berjaya menguasai semula sebahagian besar wilayah Mewar ketika Empayar Mughal sedang mengalami krisis.
Catatan
suntingSumber
sunting- Sarkar, Jadunath (1960). Military History of India. Orient Longmans. m/s. 75–81.CS1 maint: ref=harv (link)
- Chandra, Satish (2005). Medieval India (Part Two): From Sultanat to the Mughals (dalam bahasa Inggeris). Har-Anand Publications. ISBN 9788124110669.CS1 maint: ref=harv (link)
- Eraly, Abraham (2000). Emperors of the peacock throne : the saga of the great Mughals (ed. Revised). New Delhi: Penguin books. ISBN 9780141001432.CS1 maint: ref=harv (link)
- de la Garza, Andrew (2016). The Mughal Empire at War: Babur, Akbar and the Indian Military Revolution, 1500-1605. Routledge.CS1 maint: ref=harv (link)
- Rana, Dr. Bhawan Singh (2004), Maharana Pratap, Diamond Pocket Books, ISBN 9788128808258
- Charley, Nancy. "The Elephants in the (Reading) Room – Royal Asiatic Society". royalasiaticsociety.org. Royal Asiatic Society. Dicapai pada 17 July 2017.