Polis rahsia, kekadang juga digelar polis politik, ialah agensi polis yang beroperasi secara rahsia bagi melindungi kuasa sesuatu rejim politik atau negara. Ia berkait dengan rejim autoritarian demi menyokong kuasa politiknya tanpa menghiraukan kedaulatan undang-undang. Daripada menguatkuasakan kedaulatan undang-undang secara terbuka dan bersedia untuk ditaklukkan oleh tafahusan awam, sebagaimana dengan agensi polis yang biasa, pertubuhan polis rahsia bertujuan semata-mata untuk beroperasi di luar lingkup undang-undang bagi menindas ketaksepakatan politik menerusi tindakan keganasan dan intimidasi yang sulit (seperti penculikan, soal siasat paksaan, seksa, buangan dalam negeri, kehilangan paksaan, dan pembunuhan politik) yang menyasarkan musuh politik pemerintah.

Pasukan polis rahsia hanya bertanggungjawab kepada cabang eksekutif pemerintahan dan kekadang hanya kepada diktator. Operasi bawah tanah mereka terlindung dan disembunyikan dari orang awam dan pemerintahan kecuali pegawai-pegawai eksekutif yang teratas. Kedudukan separa rasmi itu membenarkan kawalan pemerintahan terhadap rakyat dan pada waktu yang sama, membenarkan pemerintahan menafikan pengetahuan terhadap sebarang pencabulan kebebasan awam. Agensi polis rahsia sering digunakan sebagai alat penindasan politik. Negara yang polis rahsia amat berkuasa kekadang dirujuk sebagai negara polis atau negara risik balas.

Berbanding dengan polis rahsia, agensi keselamatan dalam negeri di negara demokratik yang liberal umumnya tertakluk kepada peraturan pemerintahan, syarat pelaporan, dan langkah-langkah kebertanggungjawapan. Meskipun demikian, masih terdapat kemungkinan bahawa agensi tersebut dapat bertindak di luar undang-undang dan mengambil sesetengah ciri polis rahsia. Dalam sesetengah kes, agensi keselamatan dalam negeri di negara demokratik telah dituduh sebagai polis rahsia. Misalnya, kelompok radikal di Amerika Syarikat pernah berkali-kali menuduh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebagai polis rahsia.[1] Yang mana satu agensi kerajaan boleh digolongkan, sebahagiannya atau sepenuhnya, sebagai "polis rahsia" masih merupakan suatu pertikaian ahli sains politik.

Rujukan sunting

  1. ^ Noelle Hanrahan, "America's Secret Police: FBI COINTELPRO in the 1990s", on Judi Bari Web Site of the Redwood Summer Justice Project [1]