Revolusi Gemilang merujuk kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada tahun 1688 hingga 1689 di mana Raja James II dari England telah digulingkan dan takhtanya diganti oleh puterinya, Mary II dari England serta suami, William III dari England. Revolusi yang bermotifkan politik dan keagamaan ini telah mengubah corak pemerintahan England dari bentuk monarki mutlak kepada raja berpelembagaan menerusi penerapan Perakuan Hak 1689 (English Bill of Rights 1689) . Istilah Revolusi Gemilang pertama kali digunakan oleh ahli parlimen England pada tahun 1689, walau bagaimanapun revolusi ini juga turut dikenali dengan nama lain seperti Revolusi Tanpa Darah atau Revolusi 1688.

Ketegangan hubungan antara penganut Protestan dan penganut Katolik di England bertambah buruk apabila Raja James II beragama Katolik menaiki tahkta England pada tahun 1685. Namun, perkara ini dianggap ancaman sementara kerana pewaris tunggal kepada Raja James II, iaitu Mary II adalah seorang penganut Protestan. Di bawah penguasaannya, James II telah mengabaikan Parlimen Scotland dan Parlimen England dan memerintah secara prerogatif. Keadaan ini menambahkan lagi rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Krisis politik ini memuncak pada bulan Jun 1688. Pada 10 Jun 1688, zuriat Raja James II, James Francis Edward sebagai prospek pewaris Katolik dilahirkan seterusnya bakal menggantikan tempat Mary II sebagai pewaris takhta penganut Protestan. Pada bulan tersebut juga tujuh biskop telah dihadapkan ke perbicaraan atas dakwaan penghasutan fitnah , suatu perkara yang dianggap sebagai penghinaan serius ke atas Gereja England. Ini membangkitkan lagi kemarahan dan mencetuskan rusuhan anti-Katolik.

Pada 1688, satu pakatan telah menghantar undangan kepada menantunya William III dari England untuk mengambil alih takhta kerajaan bersama isterinya di England. William III sebagai pemerintah di Belanda sememangnya dalam proses mengambil tindakan ketenteraan ke atas England menjadikan undangan tersebut sebagai motif tambahan untuk menyerang England. Beliau telah menyiapkan armada seramai 15000-18000 orang tentera dan mendarat di Torbay, Devon pada November 1688. James III telah bersedia untuk pertempuran tersebut tetapi segelintir tentera dan ahli keluarganya telah berpaling tadah dan memihak kepada William III, tambahan pula kesihatan Raja James III turut merosot pada ketika itu. Beliau kemudiannya berundur ke London pada 23 November 1688 dan merancang untuk lari ke luar negara demi keselamatannya. Pada Disember 1688 Raja James III melakukan cubaan untuk melarikan diri tetapi telah di tawan. Cubaan melepaskan diri kali kedua telah berjaya dan beliau telah lari ke Perancis dan mendapatkan perlindungan daripada sepupunya yang menganut Katolik, Raja Louis XIV dan meninggal dunia dalam buangan pada tahun 1701.