Ruang liminal (estetik)

Dalam estetika Internet, ruang liminal ialah tempat kosong atau terbiar yang kelihatan seram, suram dan lazimnya di luar realiti. Ruang liminal kebiasaannya merupakan tempat peralihan yang merujuk kepada konsep liminaliti.

Photo of liminal space
Gambar sebuah koridor dalam hotel kosong, contoh ruang liminal

Kajian dari Journal of Environmental Psychology mengatakan bahawa ruang liminal nampak menakutkan atau pelik kerana ia berada dalam lembah gerun dari segi seni bina dan tempat fizikal. [1] Sebuah rencana dalam Pulse: Journal of Science and Culture telah menyandarkan kegerunan atau kengerian ini kepada tempat biasa yang tidak berada dalam konteks di mana ia biasanya dilihat. [2]

Estetika ini menjadi terkenal sejak 2019 susulan sebuah siaran tular di 4chan yang menunjukkan gambar sebuah ruang liminal yang dipanggil The Backrooms. Sejak itu, lebih banyak gambar ruang liminal telah disiarkan di serata Internet, termasuk di Reddit, Twitter dan TikTok.

Ciri-ciri sunting

Istilah ruang liminal secara umumnya digunakan untuk menggambarkan tempat atau keadaan perubahan atau peralihan, sama ada fizikal (cth ambang pintu) atau psikologi (cth zaman remaja). [3] Imej ruang liminal ini selalunya mendatangkan perasaan berada "di tengah-tengah", di mana tempat-tempat peralihan (seperti tangga, jalan raya, koridor atau hotel) boleh mendatangkan rasa gelisah kerana ketiadaan orang di sekeliling. [4] Estetik ini boleh menyampaikan perasaan ngeri, berada di luar realiti, nostalgia atau sedih, dan boleh menimbulkan tindak balas selesa dan resah gelisah pada masa yang sama. [5]

 
Gambar yang menunjukkan taman permainan yang kosong ini boleh menimbulkan keresahan kerana ia tidak berada dalam konteks yang diharapkan (iaitu kehadiran kanak-kanak).

Kajian oleh Alexander Diel dan Michael Lewis dari Cardiff University telah mengaitkan sifat ruang liminal yang menggelisahkan ini dengan fenomena lembah gerun. Fenomena ini, biasanya digunakan untuk menggambarkan perasaan kurang senang yang timbul apabila melihat ciri serupa tapi tak sama antara sebuah humanoid atau robot manusia dengan manusia sebenar, boleh menjelaskan tindak balas serupa yang terhasil akibat gambaran liminal, di mana tempat fizikal yang kelihatan biasa tetapi menyimpang sedikit daripada realiti boleh mewujudkan rasa ngeri. [1]

Peter Heft daripada Pulse: Journal of Science and Culture telah mengkaji rasa ngeri ini dengan lebih mendalam. Berdasarkan karya Mark Fisher, Heft mengulas bahawa kengerian ini boleh dirasai apabila seseorang individu melihat sesebuah situasi dalam konteks yang berbeza dengan apa yang diharapkan. Sebagai contoh, sebuah sekolah, yang kebiasaannya menjadi tempat yang sibuk dengan percampuran guru dan pelajar, boleh menimbulkan perasaan tidak selesa apabila sekolah itu ditunjukkan sebagai kosong. "Kegagalan kehadiran" ini dianggap oleh Fisher sebagai salah satu ciri utama dalam pengalaman estetik yang menakutkan. [2]

Sejarah sunting

 
Contoh gambaran The Backrooms, dipaparkan secara digital

Imej yang menggambarkan ruang liminal ini mula menjadi terkenal pada 2019 apabila sebuah creepypasta pendek yang tidak diketahui asal usulnya disiarkan di 4chan dan menjadi tular. [6] Creepypasta itu menunjukkan imej yang menggambarkan ruang liminal—koridor dengan permaidani kuning dan kertas dinding—dengan kapsyen yang menyatakan bahawa dengan "menyingkirkan batasan dalam kehidupan sebenar", seseorang boleh memasuki Bilik Belakang atau The Backrooms, iaitu koridor ruang kosong yang tiada apa-apa di dalamnya selain "bau permaidani lembap yang lama, warna mono-kuning yang menggilakan, bunyi latar belakang lampu pendarfluor pada kedengungan maksimum yang tidak berkesudahan, dan lebih kurang enam ratus juta batu persegi bilik kosong yang dibahagikan secara rawak untuk terperangkap di dalamnya". [7] Bilik Belakang atau The Backrooms juga telah digambarkan sebagai tempat yang didiami oleh makhluk ghaib. [8]

Imej ruang liminal tidak lama kemudian menjadi terkenal di serata Internet, dan menjelang November 2022, sebuah subreddit bernama /r/LiminalSpace mendapat lebih 500,000 ahli, akaun @SpaceLiminalBot di Twitter yang menyiarkan gambaran ruang liminal mendapat lebih 1.2 juta pengikut, dan tanda pagar #liminalspaces di TikTok mendapat lebih dua bilion tontonan. [5]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b Diel, Alexander; Lewis, Michael (2022-08-01). "Structural deviations drive an uncanny valley of physical places". Journal of Environmental Psychology. 82: 101844. doi:10.1016/j.jenvp.2022.101844.
  2. ^ a b Heft, Peter (2021). "Betwixt and Between: Zones as Liminal and Deterritorialized Spaces" (PDF). Pulse: The Journal of Science and Culture. Budapest: Central European University. 8: 1–20.
  3. ^ Neumann, Kimberly Dawn (2022-09-06). "Liminal Space: What Is It And How Does It Affect Your Mental Health?". Forbes Health (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-01-03.
  4. ^ Xiao, Madelyne (2021-04-16). "The Pleasant Head Trip of Liminal Spaces". The New Yorker (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-01-03.
  5. ^ a b Pitre, Jake (2022-11-01). "The Eerie Comfort of Liminal Spaces". The Atlantic (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-01-02.
  6. ^ Koch, Karl (2020-11-02). "Architecture: The Cult Following Of Liminal Space". Musée Magazine (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-01-02.
  7. ^ Sandal, Michael L. (2020-04-30). "'The Backrooms Game' Brings a Modern Creepypasta to Life [What We Play in the Shadows]". Bloody Disgusting (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-01-02.
  8. ^ Patston, Manning (3 August 2021). "The Backrooms: an eerie phenomenon lies behind these familiar hallways". Happy Mag (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 February 2022. Dicapai pada 2023-12-26.

Bacaan lanjut sunting

Pautan luar sunting