LATAR BELAKANG KAMPUNG SUNGAI RUAL

    Kampung/Pos Sungai Rual ialah sebuah kawasan petempatan Orang Asli Jahai di jajahan Jeli, Kelantan, Malaysia. Kampung ini memiliki sebuah sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Penderas. Nama kampung ini adalah bersempena dengan Sungai Rual yang mengalir di kampung ini, dan mengalir ke Sungai Pergau. Kampung ini ditubuhkan pada 1972 dalam program petempatan semula dan rancangan kampung baru oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

   RKB Sungai Rual mempunyai empat buah kampung, iaitu kampung Baru Seberang, kampung Sungai Rual (kawasan pentadbiran), kampung Kalok dan kampung Manok. RKB Sungai Rual ditadbir oleh dua orang Penghulu, iaitu Tok Rosli Salim (penghulu kampung Sungai Rual, Seberang & Kalok) dan Tok Dollah Teras (penghulu kampung Manok). Seorang lagi ialah Penghulu khas, iaitu Tok Ramli bin Pisang. Di kampung ini, istilah Penghulu digunakan dan bukannya Tok Batin.

    RKB Sungai Rual dicatatkan dibuka sekitar tahun 1972, yang sebelum ini mereka hidup berselerak dan berpindah randah. Majoritinya di kampung tersebut didiami oleh suku kaum Jahai. Maksudnya, RKB Sungai Rual bukan hanya didiami oleh Jahai sahaja, tetapi juga terdapat tiga suku kaum lain, iaitu Bateq, Mendriq dan Lanoh. Bateq di RKB Sungai Rual adalah kedua teramai selepas Jahai, yang mana dikatakan mereka juga antara terawal berada di kawasan Sungai Rual. Ada juga maklumat yang menyatakan Bateq di RKB Sungai Rual adalah suku kaum Bateq yang berasal dari kawasan Aring, Gua Musang, suku Kaum Lanoh pula adalah berasal dari kampung Air Bah, Lenggong Perak dan suku kaum Mendriq pula berasal dari kampung Orang Asli Kuala Lah, Gua Musang.

    Kini, mereka telah hidup menetap di kawasan yang disediakan oleh pihak Kerajaan melalui pendekatan tertentu, khususnya pendekatan Rancangan Kampung Baru (RKB) di RKB Sungai Rual Jeli. Namun demikian, ketika saya melaksanakan kajian di sana (MEI 2023), sudah tidak  ada orang asli suku Jahai yang berpindah-randah secara berkelompok, untuk mencari kawasan yang lebih baik, dari aspek kemudahan asas, khususnya sekolah. Kedudukan RKB Sungai Rual jika mengikuti jalan baharu adalah kurang lebih 9 kilometer dari bandar Jeli. Manakala jika mengikuti jalan lama, jaraknya adalah 22 kilometer dari bandar Jeli.