Tarusbawa (maut 723) ialah raja Kerajaan Tarumanagara yang ketiga belas dan yang terakhir, serta juga pengasas Kerajaan Sunda. Baginda mewarisi bapa mertuanya, Linggawarman, pada tahun 669. Isterinya, Manasih, ialah puteri sulung Linggawarman. Dalam cerita Parahiyangan, Tarusbawa ini digelar "Tohaan di Sunda" (Raja Sunda).

Selepas dimahkotai sebagai raja Kerajaan Tarumanagara pada tahun 669, Tarusbawa menghantar utusan ke China untuk memaklumkan maharaja Cina tentang kemahkotaannya. Kenyataan ini adalah selaras dengan babad-babad Cina yang menyebut bahawa seorang utusan Tarumanagara mengunjungi China pada tahun 669.

Kerana pengaruh Kerajaan Tarumanagara ketika itu sudah merosot, mungkin akibat serangan Sriwijaya, Tarusbawa ingin mengembalikan zaman kegemilangan Purnawarman yang berpusat di ibu kota Sundapura. Oleh itu pada tahun 670, baginda menggantikan nama Tarumanagara menjadi Sunda.

Peristiwa ini dijadikan alasan oleh Wretikandayun, cicit Manikmaya serta pengasas Kerajaan Galuh, untuk memisahkan negaranya di bahagian timur daripada kekuasaan Tarusbawa. Oleh sebab putera mahkota Kerajaan Galuh merupakan menantu Maharani Sima dari Kalingga, sebuah kerajaan di Jawa Tengah, Wretikandayun dengan bantuan Kerajaan Kalingga mendesak bahawa saki baki wilayah Tarumanagara dibahagikan kepada dua kerajaan, iaitu Kerajaan Sunda di bahagian di sebelah timur Sungai Citarum dan Kerajaan Galuh di sebelah kanan. Untuk mengelakkan perang saudara, Tarusbawa mengalah kepada Wretikandayun.

Tarusbawa kemudian mengasaskan ibu kotanya yang baru berhampiran dengan hulu Sungai Cipakancilan. Baginda memerintah Kerajaan Sunda selama 53 tahun sehingga kemangkatannya pada tahun 723. Oleh sebab putera mahkotanya meninggal dunia mendahului Tarusbawa, maka suami kepada Tejakancana, anak perempuan putera mahkota, dilantik sebagai pewaris.


Raja-raja Sunda
Tarusbawa (669 - 723) | Sanjaya Harisdarma (723 - 732) | Tamperan Barmawijaya (732 - 739) | Rakeyan Banga (739 - 766) | Rakeyan Medang Prabu Hulukujang (766 - 783) | Prabu Gilingwesi (783 - 795) | Pucukbumi Darmeswara (795 - 819) | Prabu Gajah Kulon Rakeyan Wuwus (819 - 891) | Prabu Darmaraksa (891 - 895) | Windusakti Prabu Dewageng (895 - 913) | Rakeyan Kemuning Gading Prabu Pucukwesi (913 - 916) | Rakeyan Jayagiri Prabu Wanayasa (916 - 942) | Prabu Resi Atmayadarma Hariwangsa (942 - 954) | Limbur Kancana (954 - 964) | Prabu Munding Ganawirya (964 - 973) | Prabu Jayagiri Rakeyan Wulung Gadung (973 - 989) | Prabu Brajawisesa (989 - 1012) | Prabu Dewa Sanghyang (1012 - 1019) | Prabu Sanghyang Ageng (1019 - 1030) | Prabu Detya Maharaja Sri Jayabupati (1030 - 1042)