Televangelisme merupakan kaedah penggunaan medium capaian jauh seperti radio dan televisyen untuk tujuan penyebaran agama oleh golongan agamawan yang berdedikasi (dipanggil televangelis), sama ada ditauliahkan mahupun digelar sendiri).

Fenomena ini ketara dilihat terutamanya di Amerika Syarikat sejak golongan paderi Kristian melihat potensi penyiaran radio yang giat merebak di negara tersebut sejak tahun 1920-an dan kemudiannya apabila teknologi televisyen dipopularkan ke serata negara tersebut pada tahun 1950-an. Perkara ini banyak dikritik kerana realiti sesetengah paderi-paderi ini yang diperhatikan banyak mengumpul kemewahan yang tidak setaraf dengan pekerjaan serta ajaran yang diamalkan mereka; malah, golongan televangelis ini wujud di luar struktur organisasi agama yang biasa maka mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kegiatan pendakwahan mereka.