Unjuran Mercator ialah Unjuran peta silindrikal yang diperkenalkan oleh ahli geografi dan kartografi Flemish Gerardus Mercator pada tahun 1569. Ia menjadi unjuran peta piawai bagi tujuan pelayaran kerana kemampuannya menggambarkan garis-garis haluan tetap, yang dikenali sebagai garisan rhumb atau loksodrom, dalam bentuk segmen-segmen lurus yang mengekalkan sudut yang sama antara meridian. Walaupun skala linearnya sama dari sebarang titik ke semua arah, oleh sebab itu mengekalkan sudut dan bentuk objek-objek kecil (yang menjadikan unjuran ini unjuran konformal), unjuran Mercator mengherotkan saiz dan bentuk objek-objek besar kerana skalanya meningkat dari khatulistiwa ke kutub, di mana skalanya menjadi tidak terhingga.

unjuran Mercator dunia di antara latitud 82°S dan 82°U.
Peta dunia Mercator (Nova et Aucta Orbis Terrae Descriptio ad Usum Navigantium Emendate Accommodata) (1569). Untuk imej-imej leraian tinggi dan berwarna, lihat peta dunia Mercator 1569. Halaman itu mengandungi butiran berkenaan peta ini dan terjemahan teks-teks.

Ciri-ciri dan butiran sejarah sunting

Edisi 1569 Mercator adalah sebuah planisfera besar berukuran 202 cm × 124 cm, dicetak di atas lapan belas helaian berasingan. Seperti mana dalam unjuran-unjuran silinder yang lain, selarian-selarian latitud dan meridian-meridian adalah lurus dan serenjang antara satu sama lain. Untuk mencapai yang sedemikian, regangan bentuk timur-barat yang tidak dapat dielakkan, yang meningkat semakin jarak daripada khatulistiwa meningkat, diikuti dengan regangan bentuk utara-selatan yang bertepatan, supaya dari mana-mana titik lokasi, skala timur-barat adalah sama dengan skala utara-selatan, lalu menjadikan unjuran ini konformal. Peta Mercator tidak boleh menunjukkan kawasan kutub secara penuh, kerana skala linear menjadi tidak terhingga di kawasan kutub. Oleh sebab ini adalah unjuran konformal, sudut-sudut dikekalkan di sekeliling semua lokasi. Namun skala peta ini berbeza dari tempat ke tempat, menyebabkan saiz objek-objek geografi terherot dan menyampaikan idea yang salah terhadap geometri keseluruhan planet. Pada latitud lebih daripada 70° utara atau selatan, unjuran Mercator secara praktikalnya tidak boleh digunakan.

Semua garisan dengan bearing tetap (garis-garis rhumb atau loksodrom—garis-garis yang membentuk sudut-sudut tetap dengan meridian-meridian) dinyatakan dengan segmen-segmen lurus di atas peta Mercator. Dua ciri peta ini, kekonformal dan garis-garis rhumb lurus, menyebabkan peta ini dipadankan secara unik dengan navigasi marin: haluan-haluan dan bearing-bearing diukur dengan jangka sudut atau carta angin, dan arah-arah bersamaan boleh dipindahkan dengan mudah dari titik ke titik di atas peta dengan bantuan satu pembaris selari atau sepasang segi tiga jangka sudut navigasi.

Nama dan penjelasan-penjelasan yang diberikan oleh Mercator kepada peta dunianya (Nova et Aucta Orbis Terrae Descriptio ad Usum Navigantium Emendata: "penerangan baru dan ditambah tentang Bumi yang dibetulkan untuk kegunaan pelayar-pelayar") menunjukkan yang ia dihasilkan untuk kegunaan navigasi marin. Walaupun kaedah penghasilannya tidak dijelaskan oleh pengarang, Mercator mungkin menggunakan kaedah grafik; memindahkan beberapa garis rhumb yang sebelumnya diplot di atas glob ke atas gratikul segi empat tepat, kemudian membetulkan jarak di antara selarian latitud supaya garis-garis rhumb itu menjadi lurus dan membentuk sudut yang sama dengan meridian-meridian seperti di dalam glob.