Uno ("satu" dalam bahasa Itali dan Sepanyol) ialah sejenis permainan kad yang menggunakan dek yang khusus. Permainan ini amat serupa dengan permainan Mau Mau yang memakai daun terup biasa. Permainan Uno asalnya direka oleh Merle Robbins pada tahun 1971, dan kini dimiliki oleh syarikat Mattel.

Set kad Uno terkini.

Peraturan rasmi sunting

Satu dek kad Uno terdiri daripada empat sama bunga mengikut warna, iaitu merah, hijau, biru dan kuning. Setiap sama bunga ini terdiri daripada kad bernombor 0 hingga 9, serta 3 helai kad khas, iaitu "skip" (langkau), "draw two" (cabut dua kad), dan "reverse" (pusing balik). Juga terdapat dua lagi kad khas berwarna hitam iaitu "wild" (kad bebas) dan "wild draw four" (cabut empat kad). Setiap kad bernombor dan tindakan dalam setiap sama bunga ini ada dua salinan, kecuali kad 0 yanc cuma satu salinan. Terdapat empat helai kad "wild" dan empat helai kad "wild draw four", maka terdapat 108 helai kad kesemuanya. Asalnya, cuma kad 6 bertanda garis bawah agar dibezakan dari kad 9 yang tak bertanda; kini kedua-dua kad 6 dan 9 ditanda garis bawah agar lagi mudah dibezakan.

Sebelum bermain, seorang pembahagi (dealer) harus dipilih dengan setiap pemain mencabut kad. Pemain yang mencabut kad yang paling tinggi nilainya dipilih menjadi pembahagi. Pemilihan ini hanya menerima kad bernombor, yang selebihnya disimpan balik dalam dek.

Selepas memilih pembahaginya, tujuh helai kad diedarkan kepada setiap pemain, dan kad teratas dari simpanan didedahkan sebagai asas timbunan. Jika kad itu merupakan kad khas (iaitu skip, draw two, reverse, atau wild), maka dianggap bahawa pembahagi memainkan kad itu dan melakukan tindakannya. Jika kad wild draw four didedahkan pula, maka kad itu disimpan balik dalam dek dan sehelai lagi kad dicabut. Permainan bermula dengan pemain di sebelah kiri pembahagi, oleh itu para pemain mengambil giliran mengikut arah jam (melainkan dikenakan kad reverse).

Dalam setiap giliran, seorang pemain boleh memainkan kad yang memadani warna atau angka/pangkat kad yang terdedah, atau memainkan kad wild atau wild draw four. Sekiranya seseorang pemain tiada kad yang betul, maka dia perlu mencabut kad teratas dari simpanan, sama ada memainkannya atau menyimpan dalam tangannya. Jika pemain itu sahaja tidak mahu meletakkan kad (walaupun ada padanan dengan kad terdedah), sebaliknya mencabut kad baru maka penalti tidak dikenakan. Selepas kad diletakkan atau dicabut, giliran diberi kepada pemain seterusnya mengikut arah jam, atau melawan arah jam sekiranya kad reverse dikenakan. Sekiranya tiada kad lagi dalam simpanan, maka kad timbunan dikocok dan diterbalikkan untuk mengitar semula kad simpanan.

Setelah cuma tinggal sehelai kad, pemain perlu menyebut "uno" untuk mengingatkan pemain lain. Pusingan tamat setelah seorang pemain menghabiskan semua kadnya.

Selepas seorang pemain menghabiskan kadnya, pemain-pemain lain mengira markah mengikut jumlah nilai kad-kad dalam tangan mereka. Kad bernombor mengikut nilai muka (adakalanya kad 0 dikira sebagai 10 markah), kad khas (skip, reverse, draw two) bernilai 20 markah, dan kad wild pula 50 markah. Pemain pertama yang kehabisan kad itu meraih markah dari kad-kad yang tinggal dalam genggaman lawannya. Pemain pertama yang mencapai takat markah yang tertentu (500 mengikut peraturan rasmi) dikira sebagai pemenang.

Kad khas sunting

Kad Huraian
Draw Two
(Cabut Dua)
Pemain seterusnya mesti mencabut dua helai kad dan melepaskan giliran.
Skip
(Langkau)
Pemain seterusnya dilangkau gilirannya.
Reverse
(Pusing Balik)
Urutan giliran beralih dari ikut arah jam ke lawan arah jam, atau sebaliknya. Jika kad ini didedahkan sebagai pemula timbunan, maka pembahagi memainkan kad pertama dan permain dimulakan mengikut giliran melawan arah jam.
Wild
(Bebas)
Pemain yang mendedahkan kad ini menyebut warna, dan pemain seterusnya harus meletakkan kad dalam warna tersebut melainkan sehelai kad wild dimainkan.
Wild Draw Four
(Bebas, Cabut Empat)
Sama fungsinya dengan kad wild, kecuali pemain seterusnya mesti mencabut empat helai kad dari simpanan dan melepaskan gilirannya. Kad ini hanya boleh dimainkan sekiranya pemain yang memegangnya tiada mana-mana kad yang memadani warna kad teratas dalam timbunan. (Rujuk bahagian penalti untuk meklumat lanjut.)

Penalti sunting

Mengikut peraturan rasmi permainan Uno: [1]

  • "Pemain yang terlupa menyebut "UNO" selepas kad kedua terakhirnya diletakkan dalam timbunan, tetapi sempat menyebut "Uno" sebelum "ditangkap" oleh mana-mana pemain lain, adalah terselemat dan terlepas dari penalti. Jika pemain lain menyeru "Uno" pula maka pemain yang satu kad itu mesti mencabut dua lagi kad.
  • "Pemain yang membantu pemain lain dengan memberi cadangan mesti mencabut dua helai kad dari simpanan."
  • "Sekiranya seorang pemain memainkan kad yang salah lalu dikesan oleh mana-mana pemain lain, maka dia mesti mengambil balik kad tersebut lalu mengambil dua kad lain dari simpanan. Permainan bersambung dengan pemain seterusnya mengikut giliran."
  • "Sekiranya pemain tersalah menurunkan kad Wild Draw Four (iaitu sambil memegang kad yang sama warna dengan kad di atas timbunan) lalu dicabar, maka kad-kad dalam pegangannya mesti ditunjukkan kepada pemain yang mencabarnya. Sekiranya kad Wild Draw Four itu menang salah, maka pemain yang membuat kesalahan itu mesti mencabut empat helai kad. Tetapi jika betul, maka pencabarnya mesti mencabar enam helai kad kesemuanya. Dakwan hanya boleh dilakukan oleh pemain yang dikehendaki mencabut empat kad selepas kad Wild Draw Four diturunkan."

Strategi sunting

Salah satu strategi asas adalah memainkan kad sah yang paling tinggi nilainya, dengan tujuan meminimumkan markah yang dipegang di akhir pusingan, namun tidak mengambil kira kegunaan memegang kad wild dan wild draw four sebelum akhir permainan.

Diingatkan bahawa memainkan kad 0 mampu mengelak pertukaran warna berbanding mana-mana kad lain dalam mengikut warna.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting