Wanita Tidur dan Pasu Hitam

Wanita Tidur dan Pasu Hitam (Bahasa Hungary : Alvó nő fekete vázával) ialah lukisan minyak 1927–1928 oleh Róbert Berény. Ia ialah gambaran isteri pelukis yang sedang tidur berbaring berpakaian biru di sebalik meja yang terdapat pasu hitam. Lukisan tersebut dijual pada tahun 1928 dan dianggap hilang selepas Perang Dunia II.

Wanita Tidur dan Pasu Hitam
Bahasa HungaryAlvó nő fekete vázával
PelukisRóbert Berény
Tahun1927–1928
BahanMinyak pada kanvas
SubjekEta Berény
Dimensi64 cm × 87 cm (25 in × 34 in)
LokasiKoleksi peribadi

Ia telah dilelong sebagai karya Róbert pada pertengahan 1990-an dan, dengan karyanya yang dinilai murah pada ketika tersebut, kemudian dijual kepada Sony Pictures, yang menggunakannya dalam filem 1999 Stuart Little sebagai hiasan latar di rumah watak utama. Pada tahun 2009, sejarawan seni Gergely Barki mengenalpasti lukisan tersebut semasa menonton filem tersebut bersama anak perempuannya, dan menjejakinya. Ia dimiliki oleh pereka latar, yang menjualnya kepada pengumpul seni, yang menjualnya di lelongan pada 2014 dengan harga $285,700.

Pemerihalan sunting

Lukisan tersebut ialah potret isteri kedua Róbert, Eta (née Breuer) dan dihasilkan dalam gaya art deco. Ia telah dikatakan sebagai antara karya terbaik Róbert. Subjek yang ketiduran mempunya gaya rambut lazim tahun 1920-an dan pakaian biru. Dia bersandar jauh dari meja yang diletakkan sebuah pasu hitam.[1][2] Ia dicat menggunakan minyak pada kanvas dalam orientasi landskap berukuran 64 kali 87 sentimeter (25 in × 34 in). Ia ditandatangani oleh pelukis di kiri bawah.[3]

Sejarawan seni, Judit Virág, menerangkan Wanita Tidur dan Pasu Hitam sebagai gambaran "sempurna" seni Eropah 1920-an yang menggabungkan unsur-unsur aliran seni sezaman Perancis, Jerman, dan Rusia.[4]

Sejarah sunting

Sejarah awal sunting

Róbert berkemungkinan telah melukis Wanita Tidur dan Pasu Hitam pada tahun 1927 hingga 1928, sewaktu beliau telah kembali ke negara asalnya di Budapest, Hungary dari Berlin, Jerman, tempat beliau melarikan diri selepas Perang Dunia I.[2][5] Lukisan tersebut kali terakhir dilihat di khalayak ramai pada tahun 1928 apabila dipamerkan di Muzium Ernst sebelum dijual.[2][6] Pembeli berkemungkinan warga Yahudi dan meninggalkan negara tersebut sebelum atau semasa Perang Dunia II. Ketika itu, suasana di Hungary bergelora dan lukisan tersebut dianggap telah hilang.[2][7]

Penemuan semula sunting

Lukisan tersebut dijual pada harga $40 di lelongan amal di rumah lelong St Vincent de Paul di San Diego pada pertengahan 1990-an kepada pengumpul seni, Michael Hempstead.[2] Beliau menjualnya kepada sebuah kedai antik di Pasadena, California dengan harga $400, iaitu kadar harga bagi sebuah karya Róbert Berény ketika itu. Lukisan tersebut dibeli dari kedai tersebut oleh pereka latar, bagi pihak Sony Pictures, dengan harga $500.[2][1][5] Pada tahun 1999, Michael Hempstead mengecam lukisan tersebut dalam filem Stuart Little, di mana ia digunakan sebagai hiasan latar di latar belakang tangkapan di dalam rumah watak utama.[1] Michael mempertimbangkan untuk menjejaki lukisan tersebut dan membelinya semula, kerana mengetahui bahawa harga untuk karya Róbert Berény telah meningkat sejak beliau menjualnya.[2] Selain Stuart Little, lukisan tersebut juga dipaparkan dalam beberapa episod drama lipurlara, termasuklah beberapa episod Family Law.[8][6] Pereka latar tersebut kemudian membeli lukisan tersebut daripada Sony Pictures untuk digantung di rumahnya.[1]

Pada 24 Disember 2009, penyelidik Galeri Nasional Hungary dan sejarawan seni, Gergely Barki, mengecam lukisan tersebut sambil menonton Stuart Little di rumah bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun.[1][7][9] Gergely mengecam lukisan tersebut daripada gambar hitam-putih 1928 yang pernah dilihatnya.[1] Oleh kerana beliau tidak mempunyai perisian rakaman, beliau tidak dapat menjeda atau memainkan semula bahagian yang menunjukkan lukisan tersebut, tetapi ia sering muncul dalam filem tersebut. Gergely percaya bahawa lukisan tersebut tidak mungkin sebuah cetakan atau salinan kerana ia tidak terkenal umum.[1] Gergely menghantar 40–50 e-mel kepada syarikat produksi dan ahli kru yang berbeza dalam usaha untuk menjejaki lukisan tersebut.[10][1] Selepas dua tahun, beliau mendapat sambutan daripada pereka latar yang memilikinya.[11][1] Gergely telah dijemput untuk pergi ke Amerika Syarikat, di mana ia digantung di rumah pereka latar tersebut, untuk mengesahkan identitinya.[1] Gergely bertemu dengan pereka latar tersebut di sebuah taman di Washington, DC dan selepas membuka bingkai dengan pemutar skru yang dipinjam daripada penjual hot dog, beliau dapat mengesahkan bahawa lukisan tersebut ialah tulen.[12][1]

Akhirnya, pereka latar menjual karya tersebut kepada pengumpul seni, yang melelongkannya pada Disember 2014.[1] Lukisan tersebut disenaraikan dengan harga rizab $121,220 dan telah dijual pada 13 Disember kepada pengumpul warga Hungary yang tidak dinamakan dengan harga $285,700.[9][11] Disebabkan publisiti yang dihasilkan oleh penemuan semulanya yang luar biasa, ia telah dikatakan sebagai lukisan Hungary yang paling terkenal.[5]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h i j k l Saner, Emine (2015-07-30). "Miracle art: could there be a priceless masterpiece lurking in your home?". The Guardian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 June 2021.
  2. ^ a b c d e f g Nolan, Daniel (2014-12-12). "Hungarian masterpiece spotted in Stuart Little film to be auctioned". The Guardian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 June 2021.
  3. ^ Tünde, Topor (10 May 2015). "Artmagazin hírek". Artmagazin. Dicapai pada 5 July 2021.
  4. ^ "A nagy képvadászat". 24.hu (dalam bahasa Hungary). 26 November 2014. Dicapai pada 5 July 2021.
  5. ^ a b c "Hazatért a Stuart Little-ben felfedezett remekmű". NOL.hu (dalam bahasa Hungary). 26 November 2014. Dicapai pada 5 July 2021.
  6. ^ a b Szerk, A. (15 April 2021). "Dr. House, Stuart Little, kisegér és a magyar avantgárd". Librarius.hu (dalam bahasa Hungary). Dicapai pada 5 July 2021.
  7. ^ a b Charter, David (29 November 2014). "Lost painting found on Stuart Little's wall". The Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 June 2021.
  8. ^ "Lost-and-found Bereny painting sold for EUR 226,500". Daily News Hungary. 2014-12-14. Dicapai pada 30 June 2021.
  9. ^ a b "Missing masterpiece found in 'Stuart Little' sold in Hungary". The Korea Herald (dalam bahasa Inggeris). 2014-12-14. Dicapai pada 30 June 2021.
  10. ^ "Hungarian art historian discovers long-lost painting in kids' film 'Stuart Little'". CBC Radio. 28 November 2014. Dicapai pada 30 June 2021.
  11. ^ a b Copeland, Wesley (1 December 2014). "Long-lost Painting Masterpiece Found Thanks to Stuart Little - IGN". IGN.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 June 2021.
  12. ^ Balázs, Pándi (26 November 2014). "A Stuart Little, kisegérből került elő a kilencven éve eltűnt magyar festmény". Index.hu (dalam bahasa Hungary). Dicapai pada 5 July 2021.