Wikipedia:Konvensyen penamaan (kereta api)

Ini adalah panduan konvensyen penamaan bagi rencana Wikipedia tentang kereta api, yang termasuk stesen dan sistem kereta api.

Konvensyen ini dibuat bagi menyelaraskan dan menyeragamkan rencana-rencana dalam projek ini. Konvensyen ini bertujuan untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul dalam penterjemahan istilah. Penterjemahan bukan senang: akan selalu terjadi apabila terdapat dua pilihan penulisan dan kadangkala timbul keraguan samada untuk menterjemahkan perkataan, terutamanya nama, ataupun tidak. Oleh itu, konvensyen ini akan memberikan panduan umum bagi para penyunting. Konvensyen ini bukan mutlak, tetapi perlu diingat apabila lebih banyak rencana dicipta, lebih susah untuk menukar konvensyen!

Namun begitu, diingatkan bahawa terdapat banyak rencana yang telah dicipta sebelum konvensyen sebegini dicipta. Jikalau kesempatan, diharapkan rencana-rencana lama dapat disunting supaya mematuhi konvensyen penamaan ini.

Terjemahan sunting

Secara umumnya, istilah bahasa asing tidak patut digunakan melainkan istilah tersebut kerap digunakan dalam bahasa Melayu. Walaupun terdapat banyak pembaca yang arif tentang pengangkutan akan memahami istilah asing, ia mungkin tidak difahami oleh pembaca yang hanya fasih dalam Bahasa Melayu sahaja. Gunakan istilah rasmi yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melainkan istilah tersebut hanya merujuk kepada Singapura dan Brunei sahaja.

Apabila sesuatu istilah dalam bahasa asing tidak diketahui terjemahan sesuai baginya, wajarnya terjemahan kasar digunakan tetapi huruf-huruf perkataan asal dicondongkan dalam kurungn supaya penyunting lain dapat terjemahkannya.

Akhirnya tujuan terjemahan adalah untuk perkataan Bahasa Melayu yang setaraf. Ia boleh dicapai dengan mempertimbangkan penggunaan bahasa Melayu piawai dalam bidang tersebut bersama dengan konteksnya, bukan dengan menerjemahkan perkataan secara harfiah. Sebagai contoh, suburb mungkin merujuk kepada subbandar atau pinggir bandar; hanya konteks yang akan menentukannya.

Laluan kereta api sunting

Xxxx-Yyyy line perlu diterjemahkan kepada 'Laluan Xxxx-Yyyy' (gunakan sengkang en "-"). cth. Acton-Northolt line menjadi 'Laluan Acton-Northolt'. Dimana laluan tersebut diikuti dengan jenis laluan seperti .... branch line, tukarkan nama jenis kepada bahasa Melayu tetapi kekalkan nama tempat dalam bahasa asal. cth. Chiltern main line menjadi 'Laluan utama Chiltern'.

Untuk nama laluan yang mengandungi istilah warna, topografi dan arah, terjemahkan istilah tersebut kepada bahasa Melayu. cth. North Auckland Line menjadi 'Laluan Auckland Utara' dan Gold Line menjadi 'Laluan Emas'.

Nama stesen sunting

Secara umumnya, Xxxx mod-yy station perlu diterjemahkan kepada 'Stesen mod-yy Xxxx'. cth. Poplar DLR station menjadi 'Stesen DLR Poplar' dan Swindon railway station menjadi 'Stesen keretapi Swindon'. Istilah 'Stesen Xxxx' hanya digunakan apabila terdapat lebih daripada satu mod kereta api dalam sesebuah stesen. cth. Trem dan kereta api antarabandar.

Sesebuah nama tempat haruslah menggunakan nama asal dengan imbuhan sewajarnya beberapa kekecualian:

  • Bagi nama stesen asal yang bukan dalam bahasa rumi (cth. bahasa Korea atau bahasa Arab), sewajarnya menggunakan nama Inggerisnya dan terjemahkan nama Inggeris kepada bahasa Melayu. cth. 마포구청역 menjadi 'Stesen metro Pejabat Mapo-gu' dan bukan 'Stesen bawah tanah Mapo-gu Office'.
  • Bagi nama stesen dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada jalan, terjemahkan istilah jalan tetapi kekalkan nama jalan. Avenue atau Av diterjemahkan menjadi Persiaran dan ...th Street diterjemahkan menjadi 'Lebuh'. cth. 125th Street station menjadi 'Stesen metro Lebuh 125' dan Pacific Avenue station menjadi 'Stesen LRT Persiaran Pacific'.

Nama sistem dan syarikat sunting

Walaupun tiada panduan yang tetap dan kukuh, sewajarnya nama-nama sistem dan syarikat diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Ketika menterjemah, pastikan nama lokasi sistem atau syarikat terletak di belakang. cth. Utah Transportation Authority menjadi 'Pihak Berkuasa Pengangkutan Utah' dan Scarborough LRT menjadi 'LRT Scarborough'.

Namun begitu, terdapat beberapa pengecualian diberikan kepada beberapa nama disebabkan popularitinya. Hal ini kerana terjemahan nama-nama sebegini akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan berbanding mengekalkan nama asalnya. cth. London Underground, bukan Keretapi Bawah Tanah London; dan Deutsche Bahn, bukan Syarikat Keretapi Kebangsaan Jerman.