Datuk Abdullah Majid merupakan bekas Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Kerja dan setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.

Keluarga sunting

Abdullah Majid dilahirkan pada 26 Ogos 1926 di Kampung Durian Sebatang, Dong, Raub, Pahang. Bapanya Abdul Majid Muhamad Jabar seorang guru. Sementara ibunya Demah binti Haji Mohamad Tahir - seorang suri rumah tangga.

Isterinya Datin Hamidah Hussein. Anaknya Rozhan Anuar, 43, dan anak perempuan Rozana Meili, 44 belajar undang-undang di London.

Pendidikan sunting

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Clifford di Kuala Lipis dan terpilih melanjutkan pelajar ke Kolej Raffles di Singapura. Beliau sambung belajar di Universiti Malaya di Bukit Timah, Singapura tahun 1953. Kemudian menjadi pegawai pembangunan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Kemudian menjadi Pembantu Pengarah Kanan di Bahagian Perhubungan Luar di Wisma Putra.

Tahanan kali pertama sunting

Semasa belajar di universiti, Abdullah Majid aktif berpersatuan. Januari 1951, kerajaan British di Singapura menahan beliau dan dibebaskan pada Jun 1952 dan dibenarkan menyambung semula pengajian di universiti.Setramai 35 orang ahli Anti British League ditahan termasuk Abdul Samad Ismail, wartawan Utusan Melayu. [1]

Tahanan kali kedua sunting

Segelintir mahasiswa berbangsa Melayu, Cina dan India menubuhkan University Socialist Club (USC) Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1953 . Antara lain ialah Ungku Omar, Abdullah Majid, Hock Siew, Soo Kai, Rajakumar, Wang Gungwu dan Philomen Oorjitham. Lain-lain ialah Agoes Salim, Osman Cassim, Syed Husin Ali dan Abdul Razak.

Rencana-rencana dalam majalah bulan Fajar edisi 1954, mengecam imperialisme Barat, undang-undang darurat 1948 dan negara polis yang dikuatkuasakan oleh British di Malaya dengan berselindung di sebalik nama Kampung Baru 1951 . Selepas belajar di Universiti Malaya, mereka menyusup ke dalam kesatuan kerja, parti politik dan berbagai pertubuhan awam . Malangnya Lee Kuan Yew menjadi musuh dalam selimut - mendedahkan aktiviti mereka.[2]

1954 Abdullah Majid ditahan lagi bersama beberapa anggota lembaga pengarang Fajar . Mereka dituduh menghasut membenci British. Beliau dibela oleh peguam terkenal Singapura , Lee Kuan Yew dan QC D.N Pritt. Lee Kuan Yew menanjak naik dengan menyingkirkan sahabat-sahabatnya dalam PAP.

Bahasa Melayu sunting

Abdullah Majid, Ahmad Mustaffa dan Kassim Ahmad berjaya meyakinkan USC tentang betapa pentingnya bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi Malaya .Bahasa Inggeris hanya digunakan oleh orang terpelajar di bandar. Satu seminar bahasa kebangsaan telah diadakan pada tahun 1959.

Abdullah Majid juga pengasas GPMS bersama Aminuddin Baki dan Siti Hasmah mohd Ali dsb.[3]

Parti Buruh dan Barisan Sosialis sunting

Abdullah Majid dan Rajakumar menubuhkan Parti Buruh dan Barisan Sosialis. Beliau berkerja dengan Majlis Bandaraya George Town, (Pulau Pinang) dalam awal tahun 60-an ketika majlis itu dikuasai oleh Barisan Sosialis. Dia menjadi ketua Biro Penerangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang dikuasai oleh mendiang Front Sosialis, gabungan Parti Rakyat dan Parti Buruh tahun 60an dulu.

Menurut Subky Latif, Kelas Bimbingan GPMS di Pulau Pinang diperintah tutup oleh kerajaan kerana guru sukarela kelas sastera Melayunya bernama 'Dolah Majid'. Ketika itu dia telah bersama-sama dengan Dr. Sanusi Othman, bekas Setiausaha Agung Partai Rakyat.

Abdullah Majid diterima menjadi pensyarah di Australia tetapi Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman enggan menyokongnya kerana penglibatan dan hubungannya dengan parti-parti kiri di Tanah Melayu termasuk Parti Komunis Malaya. Dia memang diklasifikasikan sebagai 'orang kiri'. Datuk Senu Abdul Rahman, menteri penerangan dalam kabinet Tunku Abdul Rahman mengambilnya menjadi Setiausaha Politik menggantikan Datuk Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary.

Oktober 1970, Tun Abdul Razak yang baru menjadi Perdana Menteri Malaysia telah melantik beliau menjadi setiausaha akhbar.

Ogos 1974, Pilihan Raya Umum Malaysia 1974 diadakan dan beliau diarahkan bertanding di kawasan Raub , Pahang. Selepas menang, beliau dilantik sebagai setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri. Komuniti wartawan asing menyenanginya kerana mudah mendapat sumber berita yang meyakinkan. Pada 28 Mei - 2 Jun 1974, Tun Abdul Razak menemui Zhou Enlai dan Mao Zedong di China.

1976 Abdullah Majid dipindahkan ke Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar. Kemudian menjadi Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat pada Mac 1976. Tun Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 dan selepas itu Abdullah Majid dicop sebagai komunis.

Tahanan kali ketiga sunting

Pada November 1976 ,beliau ditahan selama 4 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama Tan Sri Abdul Samad Ismail dan Tan Sri Abdullah Ahmad kerana dituduh terbabit dengan kegiatan subversif - komunis.Mereka digelar sebagai 'Tiga Abdul' , sempena filem P. Ramlee. Penangkapan mereka bertiga amat mengejutkan negara kerana mereka intelektual Melayu yang boleh diharapkan . Menteri yang bertanggungjawab menahan beliau ialah sahabatnya sendiri iaitu Tan Sri Ghazali Shafie. Abdullah Majid, Ghazali Shafie dan Tun Razak sama-sama sekolah di Sekolah Hugh Clifford ,Kuala Lipis.[4] Ghazali Shafie juga digelar sebagai 'Ghulam' oleh ,musuhnya dan 'King Ghaz' oleh pemujanya. King Ghaz berusaha menjadi salah seorang Naib Presiden UMNO dan bercita-cita menjadi Timbalan Perdana Menteri. [5] Penangkapan ini dianggap sebagai tindakan golongan tua terhadap golongan muda.

Beliau meringkuk dalam penjara selama 4 tahun dan menderita angin ahmar. Beliau hanya bebas tanpa syarat pada 2 November 1981 apabila Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Selepas dibebaskan, beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka - Bahagian Perkamusan.

Meninggal dunia sunting

Abdullah Majid terlantar sakit di rumahnya di Taman Desa, Jalan Klang Lama kerana diserang angin ahmar/strok sejak 20 tahun. Adiknya Abdul Wahab Majid selalu menziarahinya.


Datuk Abdullah Majid meninggal dunia pada pagi , 3 Januari 2010 kerana sakit tua di Taman Desa, Kuala Lumpur. Beliau berumur 85 tahun. Jenazah dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya jam 10.30 pagi dan akan dikebumikan berhampiran masjid Kampung Durian Sebatang, Dong , Raub ,Pahang.[6] Kuburnya bersebelahan dengan Tengku Kamarulzaman Tengku Abdul Hamid - pernah bekerja dengan Shell dan penggiat PAS.

Rujukan sunting

  1. ^ Former deputy minister, ISA detainee Abdullah Majid dies
  2. ^ [Buku 'The Fajar Generation']
  3. ^ 'Perginya Cendikiawan - Politikus-Patriot Tulen'; Abdullah Ahmad, akhbar Sinar Harian, 14 Februari 2010'
  4. ^ "Selepas King Ghaz, Dollah Majid pula meninggal". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-04-17. Dicapai pada 2010-04-09.
  5. ^ Malaysia Maverick : Mahathir Mohamad in Terbulance Times; Barry Wain
  6. ^ "Abdullah Majid dies". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-06-25. Dicapai pada 2010-02-03.