Coast Guard Malaysia: Ops Helang

Coast Guard Malaysia: Ops Helang ialah sebuah filem aksi Malaysia 2023 arahan sulung Pitt Hanif. Dibintangi oleh Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana Marin, Hazama Azmi dan ramai lagi, ia mengisahkan tentang kisah Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terpaksa berdepan dengan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya menjadi tebusan. Filem ini ditayangkan pada 2 Februari 2023 dan merupakan filem pertama dan terakhir arahan Pitt sebelum kematiannya pada Oktober 2019.[1][2][3]

Coast Guard Malaysia: Ops Helang
PengarahPitt Hanif
Lakon layar
Dihasilkan oleh
  • Arie Zaharie
  • Azlan Zaharie
  • Rozita Mat Isa (eksekutif)
  • David Teo (bersekutu)
  • Khairul Anwar Salleh (bersama)
Dibintangi
SinematografiSham Mokhtar
Disunting oleh
  • Hapil Zan Mazlan
  • Anand R.
Muzik oleh
  • Donald Bangkong
  • Reza Ramsey
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehPrimeworks Studios
Tarikh tayangan
  • 2 Februari 2023 (2023-02-02) (Malaysia)
Masa tayangan
83 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM13 juta
Pecah panggungRM5 juta

Sinopsis sunting

Kisah kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan) yang ingin memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau setelah mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi.

Hafiz juga membawa tunangnya Nurul (Jaja Iliyes) untuk tinggal bersama setelah mereka memutuskan untuk berkahwin. Namun, ketika Majlis Sambutan Pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang tidak dikenali telah menyerang mereka dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu-bapanya serta beberapa lagi tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan.

Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana), seorang Pegawai Penyiasat APMM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu berjaya menemui dan menyelamatkan Hafiz, Nurul dan bapanya.

Krisis terus meruncing apabila kumpulan penjenayah itu berterusan mencabar komitmen Hafiz dan APMM lalu menyebabkan satu operasi besar-besaran diaktifkan sehingga kumpulan penjenayah terbabit tumpas.

Pelakon sunting

  • Saharul Ridzwan sebagai Leftenan (Maritim) Hafiz Othman, pegawai STAR Team
  • Adlin Aman Ramlie sebagai Samat, Ketua lanun dan bapa saudara kepada Rima & adik kepada Mustafa
  • Julia Farhana Marin sebagai Leftenan (Maritim) Melati, Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Maritim dan kawan kepada Leftenan (Maritim) Hafiz
  • Hazama Azmi sebagai Kadok, Orang kanan kepada Samat
  • Sabri Yunus sebagai Pak Amir @ Mustafa, dalang kumpulan lanun yang menyamar sebagai anggota PSMM
  • Aziz M. Osman sebagai Rahmat, ayah kepada Nurul dan pemilik resort
  • Sherie Merlis sebagai Khatijah, ibu kepada Nurul dan isteri kepada Rahmat
  • Akmal Ahmad sebagai Rima, anak kepada Pak Amir @ Mustafa
  • Wanna Ali sebagai Nadia, Kawan kepada Nurul
  • Azlan Komeng sebagai Pak Tam, pembekal dadah untuk Samat dan Mustafa
  • Yuznor sebagai Mambang, orang kanan ke-3 Samat
  • Trisha Ooi sebagai Trisha/Riska, Pengikut Samat dan Pak Amir @ Mustafa (bertindak sebagai stuntgirl)
  • Kodi Rasheed sebagai Bintara Muda (M) Mat Bon, Anggota peronda & Mangsa pertama
  • Fizz Fairuz sebagai Bintara Muda (M) Norman
  • Aman Nassim sebagai Bintara Muda (M) Jambu
  • Iman Zulkarnain sebagai Bintara Muda (M) Iman
  • Gambit Saifullah sebagai Bintara Muda (M) Shamil, penembak tepat
  • Eqy Affandi sebagai Bintara Muda (M) Eddy
  • Hushairy Hussein sebagai Zali, Pengikut Samat dan asset untuk Leftenan (Maritim) Melati
  • Jaja Iliyes sebagai Nurul Lestari, tunang kepada Leftenan (Maritim) Hafiz Othman
  • Qazem Nor sebagai Hashim
  • Amai Kamarudin sebagai Tamas
  • Bohari Ibrahim sebagai Ayahanda I (kameo)
  • Rahim Jailani sebagai Ayahanda II (kameo)
  • Jesse Lim sebagai Ayahanda III (kameo)
  • Arie Zaharie sebagai Ayahanda IV
  • Zali Shuhali sebagai Ayahanda VI

Penerbitan sunting

Idea untuk menerbitkan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang bermula pada 2017.[4] Ia diarahkan oleh Pitt Hanif yang sebelum ini pernah menjadi pembantu pengarah untuk beberapa filem tempatan dan mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD); Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Maritim Malaysia.[1] Ia juga merupakan filem pertama dan terakhir arahan Pitt sebelum kematiannya pada Oktober 2019 akibat kemalangan bot.[4]

Penerbit filem ini, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, beliau bersama penerbit eksekutif Flying Deals, Rozita Mat Isa dan penulis skripnya, Jason Chong mengemukakan kertas idea kepada Maritim Malaysia untuk menerbitkan filem ini. Skrip filem ini kemudian dihasilkan dengan bantuan dan nashat daripada Maritim Malaysia menerusi beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan. Menurutnya, selepas mendapat kelulusan dan dana untuk projek filem kenegaraan daripada FINAS, pihaknya bekerjasama dengan Arie Zaharie dari Arie Zaharie Production yang berminat untuk menerbitkan filem ini, yang pada awalnya diarahkan bersama oleh Hashim Rejab sebelum menarik diri.[4]

Menurut Arie Zaharie selaku penerbit, ia merupakan filem pertama di Malaysia yang mengetengahkan sebuah agensi penguatkuasaan laut khususnya Maritim Malaysia sebagai penegak kepada undang-undang negara dan memaparkan kemampuan dan aset yang dimiliki oleh Maritim Malaysia. Beliau juga menjelaskan pemilihan Pitt sebagai pengarah untuk filem ini kerana "kredibiliti dalam pengarahan termasuk lakonan dan lakon layar menjadi antara keistimewaan" yang dimilikinya. Katanya: "Kreativiti beliau dalam merealisasikan kehendak skrip selain memenuhi kemahuan para penerbit juga menjadi antara faktor pemilihan beliau sebagai pengarah filem kali ini".[1]

Penggambaran sunting

Penggambaran dijalankan selama 55 hari di Langkawi, Kedah, Kuantan dan Jerantut di Pahang, Perlis dan Melaka dari 3 Ogos sehingga 24 Oktober 2019 dengan kos pembikinan berjumlah sekitar RM13 juta.[5][6] Kosnya dikawal berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan masalah jerebu yang melanda sepanjang penggambaran di Langkawi.[1] Selepas Pitt meninggal dunia, Arie dan penerbit eksekutif, Rozita Mat Isa meneruskan sesi penggambaran di lokasi darat sebanyak 2 peratus.[4]

Keluaran sunting

Coast Guard Malaysia: Ops Helang dikeluarkan pada 2 Februari 2023 di 132 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.[7][8]

Sambutan sunting

Kutipan sunting

Dalam tempoh 4 hari tayangannya, Coast Guard Malaysia: Ops Helang berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM2.5 juta.[9][10] Kutipan terus meningkat sebanyak RM5 juta dalam tempoh 10 hari selepas tayangan perdana rasminya.[11] Penerbitnya, Arie Zaharie mensasarkan kutipan RM7 juta dalam tempoh tayangan berbaki dua minggu, terutamanya semasa musim cuti sekolah.[12]

Ulasan kritis sunting

Filem ini menerima pelbagai ulasan daripada pengkritik filem. Hans Hanis dari portal Rollo de Pelicula mengulas bahawa filem ini "berjaya membawakan satu definisi yang memberi gambaran terbaru terhadap kekuatan pertahanan negara dengan cukup baik".[13] Menulis untuk The Malay Mail, Aidil Rusli memuji keseluruhan jalan cerita filem ini.[14]

Pencalonan sunting

Filem ini dicalonkan dalam Festival Film Asian Rome di Itali untuk tiga kategori iaitu pelakon terbaik, sinematografi dan filem terbaik. Tayangan perdana diadakan pada 21 April 2023 ketika negara menyambut hari raya.[15]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d "Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang tonjol budaya sebenar Maritim Malaysia". Utusan Borneo. 20 Januari 2023. Dicapai pada 19 Februari 2023.
  2. ^ Siti Rohaizah Zainal (6 Februari 2023). "Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang martabat nama Maritim Malaysia". SelangorKini. Dicapai pada 19 Februari 2023.
  3. ^ "Filem Coast Guard: Ops Helang jadi platform kenali MARITIM Malaysia". Berita RTM. 9 Februari 2023. Dicapai pada 19 Februari 2023.
  4. ^ a b c d "'Coast Guard Malaysia: Ops Helang' sentuhan terakhir Pitt Hanif, angkat kisah agensi Maritim Malaysia". mStar Online. 30 Januari 2023. Dicapai pada 26 Februari 2023.
  5. ^ "Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang Telan Kos RM13 Juta". Oh Bulan!. 31 Januari 2023. Dicapai pada 26 Februari 2023.
  6. ^ Amri Hassan (30 Januari 2023). "Filem Coast Guard Telan Kos RM13 Juta, Penerbit: "Kami Letupkan 'Perkampungan Lanun', Guna Helikopter, Kapal Besar, Bot..."". Astro Gempak. Dicapai pada 26 Februari 2023.
  7. ^ Noel Wong (6 Februari 2023). "Explosions, seamen aplenty in 'Coast Guard Malaysia: Ops Helang'" (dalam bahasa Inggeris). Free Malaysia Today. Dicapai pada 26 Februari 2023.
  8. ^ "Filem Coast Guard: Ops Helang Tayang Serentak di Malaysia, Singapura & Brunei Mulai 2 Feb 2023". Bro Framestone. 2 Februari 2023. Dicapai pada 26 Februari 2023.
  9. ^ Siti Athirah Dzulkifly (7 Februari 2023). "4 hari tayangan, filem Coast Guard raih kutipan RM2.5 juta". Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 April 2023.
  10. ^ Affan Rostam (6 Februari 2023). "Coast Guard kutip RM2.5 juta dalam tempoh 4 hari tayangan". Harian Metro. Dicapai pada 3 April 2023.
  11. ^ Ramlah Zainal (14 Februari 2023). "Coast Guard kutip RM5 juta selepas 10 hari ditayangkan". Harian Metro. Dicapai pada 3 April 2023.
  12. ^ Hasif Idris (20 Februari 2023). "Coast Guard sasar kutip RM7 juta lagi". Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 April 2023.
  13. ^ Hans Hanis (3 Februari 2023). "Review Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang". Rollo de Pelicula. Dicapai pada 3 April 2023.
  14. ^ Aidil Rusli (11 Februari 2023). "'Coast Guard Malaysia: Ops Helang' will give you that 80s/90s action feels" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 3 April 2023.
  15. ^ Fatin Farhana Ariffin (8 April 2023). "Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Abang Adik wakili negara ke Itali". Berita Harian. Dicapai pada 1 Mei 2023.

Pautan luar sunting